Categories
NASIONAL

SUHAKAM kesal konsep hak asasi manusia disalah anggap

Oleh : AFEEQA AFEERA

SHAH ALAM, 18 MEI : Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) melahirkan kekesalannya terhadap tindakan sesetengah pihak yang mendakwa konsep hak asasi manusia sebagai satu bentuk ancaman baru kepada Islam dan berteraskan ‘kemanusiaan, sekularisme serta liberalisme’.

Pengerusinya, Tan Sri Hasmy Agam, berkata walaupun SUHAKAM mengiktiraf setiap orang memberi pendapat sendiri, namun beliau kesal konsep kesejagatan hak asasi manusia sekali lagi disalah tafsir sebagai nilai ‘sesat’ yang terhad kepada hak kebebasan beragama atau kepercayaan.

“Ini adalah tidak benar kerana konsep kesejagatan seperti yang termaktub dalam Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Pengisytiharan Hak Asasi Manusia Sejagat (UDHR) menyatakan Malaysia selaku ahli PBB harus menegakkan, merangkumi nilai dan prinsip yang diterima pakai keseluruhan masyarakat antarabangsa termasuk negara Islam,” katanya dalam satu kenyataan.

hasmi agam suhakamHasmy berkata, dalam usaha mematuhi prinsip dan norma sejagat itu, Malaysia menyertai proses Penilaian Penggalan Sejagat (UPR) dan menerima 150 daripada 232 syor yang dikemukakan negara anggota PBB ketika sesi UPR kedua, baru-baru ini.

Selain itu, katanya, satu Pelan Tindakan Hak Asasi Manusia Nasional (NHRAP) juga sedang dilaksanakan bagi memantapkan konsep hak asasi manusia.

“SUHAKAM berpendapat penting bagi semua pihak berkepentingan memahami bahawa hak asasi manusia adalah hak dan kebebasan yang wujud semula jadi, yang mana semua manusia berhak menuntut, tanpa mengira bangsa, agama, jantina, bahasa dan sebarang status yang lain.

LOGO-SUHAKAM“Adalah menjadi peranan utama negara untuk memastikan bahawa hak asasi manusia dinikmati sepenuhnya rakyat tanpa diskriminasi.

“SUHAKAM bimbang peningkatan salah tanggap tentang konsep hak asasi manusia ini akan menimbulkan keraguan serius terhadap kedudukan Malaysia berkenaan dengan pematuhannya terhadap prinsip sejagat ini,” katanya.

-NFN-

Leave a Reply

Your email address will not be published.