Categories
SELANGOR

Teknik SPAH terbukti berkesan, bantu MBPJ tangani masalah alam sekitar

Oleh: AFEEQA AFEERA

PETALING JAYA, 29 MEI: Pelaksanaan Sistem Pengumpulan dan Penggunaan Semula Air Hujan (SPAH) yang dikuatkuasakan pada tahun 2010 di Petaling Jaya membuktikan keprihatinan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) dalam usaha memelihara alam sekitar secara efektif.

Datuk Bandar MBPJ, Datin Paduka Alinah Ahmad, berkata MBPJ melalui Undang-undang Kecil Bangunan Seragam Selangor 1986 (Pindaan 2012) mewajibkan pemasangan SPAH dalam pembangunan baru seperti kediaman sesebuah dan berkembar, bangunan kerajaan, industri, institusi dan komersial.

Beliau berkata, 672 pembangunan sudah disyaratkan melaksanakan sistem itu sejak tahun 2010 sehingga April lalu.

ALINAH“Teknik SPAH dapat mengurangkan permintaan air awam, menjimatkan kos memproses rawatan air dan menyalurkan air serta dapat mengelakkan banjir kilat akibat hujan lebat.

“Di atas keprihatinan MBPJ dalam menangani masalah alam sekitar selain menggunakan syarat SPAH, syarat lain juga turut dikenakan seperti ‘Green Building’ dan perkara lain berkenaan alam sekitar dan alam semula jadi.

“Usaha ini sangat memerlukan komitmen daripada pihak pemaju,” katanya ketika Mesyuarat Penuh MBPJ di ibu pejabatnya, dekat sini, hari ini.

Beliau berkata, teknik SPAH akan dapat membantu membekalkan air kepada pengguna yang mengaplikasikannya di kediaman mereka jika terdapat krisis bekalan air awam.

Katanya, SPAH hanya perlu dipasang kepada bangunan yang mempunyai keluasan kawasan bumbung sama atau melebihi 100 meter persegi, yang mana tangki air hujan sesuai untuk dipasang adalah bersaiz minima tiga meter padu untuk rumah kediaman.

MBPJAlinah berkata, kos pemasangan SPAH pada rumah banglo dan rumah berkembar pula dianggarkan RM3000 hingga RM5000 sahaja.

“Antara projek perintis yang pernah dijalankan adalah pada 189 unit rumah teres PKNS di Kota Damansara dan Kompleks Membeli Belah One Utama pada tahun 2003.

“Dengan kos pembinaan sejumlah RM1.16 juta dan kapasiti simpanan air 2.3 juta gelen pada satu-satu masa, ia mampu mengurangkan jumlah bil air di One Utama sehingga RM30,000 sebulan,” katanya.

Selain itu, Alinah turut memaklumkan MBPJ sudah mula menguatkuasakan pelaksanaan SPAH di bangunan MBPJ sedia ada dan berusaha memberi kesedaran kepada penduduk Petaling Jaya berkenaan kepentingan sistem SPAH.

-NFN-

Leave a Reply

Your email address will not be published.