Categories
SELANGOR

Penduduk jadi mangsa, MBSA gagal beri notis tutup jalan Taman Bukit Saga

Oleh: AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 29 MEI: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) diminta mencari jalan penyelesaian berhubung masalah penutupan jalan di Taman Bukit Saga dan Tanah Merah yang menimbulkan rasa tidak puas hati penduduk setempat.

Hal itu kerana penduduk yang ingin masuk ke kawasan kediaman mereka dari arah Puchong terpaksa membuat pusingan U di lampu isyarat berhampiran Kilang F&N selepas MBSA membuat keputusan menutup jalan masuk di Jalan Bukit Hijau berhampiran stesen minyak Shell.

Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad, berkata MBSA menutup jalan berkenaan bermula 23 Mei lalu dan hanya mengeluarkan notis pada 24 Mei tanpa pengetahuan penduduk.

khalid samadKatanya, setiap hari jalan berkenaan digunakan pelbagai kenderaan termasuk lori sebagai jalan pintas ke Persiaran Klang untuk ke Puchong.

“Penduduk minta cari jalan penyelesaian yang baik. Kita kecewa dengan sikap tidak mahu duduk berbincang dengan semua pihak juga tanpa memberikan notis awal.

“Bila sudah ada penyelesaian, hebahkan kepada media supaya semua orang maklum berkenaan perkara ini,” katanya dalam satu sidang media, di sini, hari ini.

Sebagai penyelesaian katanya, satu pusingan U baru perlu dibuat di persimpangan lampu isyarat berhadapan Kilang Hicom bagi memudahkan penduduk untuk ke kawasan mereka tanpa perlu membuat pusingan jarak jauh.

Difahamkan kawasan berkenaan adalah sempadan kawasan di bawah tanggungjawab MBSA dan Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ).

89166e278900_1_V550Sementara itu, Khalid turut membangkitkan soal tapak hentian teksi di Stesen Komuter Seksyen 19 Shah Alam yang sudah dibaik pulih, namun tidak memberikan tapak sewa kepada persatuan teksi.

Katanya, persatuan teksi yang sudah beroperasi selama 17 tahun mahu menyewa tapak tempat meletakkan kenderaan di kawasan berkenaan seperti sebelum ini bagi menempatkan teksi mereka.

Beliau berkata, MBSA perlu berbincang dengan persatuan teksi serta syarikat yang mengendalikan operasi berkenaan supaya kadar sewa tidak dinaikkan dan kekal pada nilai sewa sebelum ini.

-NFN-

Leave a Reply

Your email address will not be published.