Categories
SELANGOR

3 Maahad Integrasi Tahfiz Sains ditubuh akhir tahun

Oleh: NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 14 JUN: Tiga buah lagi Maahad Integrasi Tahfiz Sains (MITS) akan ditubuhkan di negeri ini pada akhir tahun ini.

Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Peneroka Bandar, Iskandar Samad berkata cadangan penubuhan MITS itu sudah dibentangkan dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) dan mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Selangor (MTES).

tahfiz MITS sumbangan 1Katanya, keputusan akhir penubuhan tiga MITS itu berada di tangan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Beliau berkata manifesto Pakatan Rakyat Selangor pada pilihan raya umum lalu menjanjikan penubuhan tiga MITS jika diberi mandat semula mentadbir Selangor.

“Perancangan terperinci telah disediakan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) dengan kerjasama pejabat Exco Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembinaan Insan negeri, Dr Halimah Ali dan pejabat Exco Hal Ehwal Islam, Ustaz Sallehin Mukhyi.

“Kerajaan negeri amat memahami hasrat ibu bapa yang mahu anak-anak mereka mendapat pendidikan peringkat menengah berteraskan Islam.

“Ramai daripada mereka terpaksa menghantar anak-anak ke sekolah-sekolah swasta di negeri ini atau ke sekolah-sekolah di Kelantan, Terengganu, Pahang, Perak dan Negeri Sembilan. Insya Allah MITS akan dapat memenuhi keperluan mereka di masa akan datang,” katanya dalam kenyataan media.

Kerajaan negeri bercadang menubuhkan MITS di Bagan Terap, Sabak Bernam dan dua lagi di daerah Sepang dan Selayang.

Leave a Reply

Your email address will not be published.