Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

31 pelajar asrama tahfiz terbakar Kuala Langat terima RM500

SHAH ALAM, 10 SEPT: Seramai 31 pelajar perempuan asrama Maahad Integrasi Tahfiz Selangor (MITS) Kuala Langat yang terbakar awal Ogos lalu diberi sumbangan RM500.

Pengetuanya, Abdul Halim Saljadi berkata bantuan itu membolehkan mereka yang mendiami tingkat empat bangunan membeli semula barangan peribadi yang musnah termasuk keperluan persekolahan.

“Pelajar juga menerima sumbangan baju sekolah selain barangan dan keperluan peribadi. Semua barangan mereka musnah ketika kebakaran itu dan tak dapat diselamatkan,” katanya kepada SelangorKini.

Beliau berkata semua pelajar menjalani sesi persekolahan seperti biasa namun ditempatkan di kuarters guru dan satu kem jati diri berhampiran.

Tambahnya, pelajar dijangka mendiami semula bangunan asrama pertengahan Oktober ini selepas kerja baik pulih selesai.

“Kekuda tingkat atas yang rosak siap dipasang. Proses pendawaian dan cat akan dilakukan selepas ini. Bagaimanapun kita akan pastikan semua selamat sebelum membenarkan masuk asrama,” katanya.

Pagi 4 Ogos lalu, 131 pelajar maahad berkenaan selamat selepas bangunan asrama tingkat empat didiami mereka terbakar. Kejadian jam 5.45 pagi itu berlaku ketika mereka bersiap untuk menunaikan solat Subuh.

Categories
SELANGOR

Sedekah, ulang bacaan mudah hafaz al-Quran

OLEH: Amin Ridzuan Ishak

SHAH ALAM, 14 MAC: Suka bersedekah menjadi amalan seorang pelajar Maahad Integrasi Tahfiz Selangor (MITS) Kuala Langat yang memudahkannya untuk menghafaz al-Quran.

Uwais Mohamad Aidil, 18, berkata seperti pelajar lain dia perlu berdisiplin dan sering mengulang bacaan untuk mengingati ayat untuk menghafaz 30 juzuk al-Quran.

“Mungkin ia ada kaitan dengan amalan sedekah saya yang diajar dalam al-Quran yang menjanjikan pulangan berlipat kali ganda, bila bersedekah penerimanya mendoakan kebaikan serta kesejahteraan kita.

“Saya mudah menghafaz al-Quran dan pernah mendapat markah tertinggi sehingga 99.8 peratus dalam ujian pada 2018,” katanya ketika ditemui selepas menerima Anugerah Khas Qurra’ 2019 pada Majlis Graduasi Qurra’ MITS kali ketujuh di Dewan Jubli Perak di sini, semalam.

Anugerah itu disampaikan oleh Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari.

Penerima Anugerah Khas Qurra 2019, Aini Amiera Muhd Aznor,18 menunjukan anugerah khas Qurra yang diterima selepas Majlis Graduasi Qurra’ Maahad Integrasi Tahfiz Negeri Selangor kali ke 7 Tahun 2020 di Dewan Jubli Perak Sultan Abdul Aziz, Shah Alam pada 13 Mac 2020. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Bagi seorang lagi penerima anugerah sama, Aini Amiera Muhd Aznor, 18, berkata dia dan rakannya selalu membawa al-Quran bagi memudahkan untuk dibaca.

“Kami membaca al-Quran sebelum belajar termasuk bagi subjek lain bagi memudahkan proses pembelajaran,” katanya dari MITS Klang di Alam Impian.

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

MITS Pandan perkukuh institusi pendidikan aliran agama Islam

OLEH AFIX REDZUAN

PANDAN INDAH, 8 APR: Kerajaan Negeri terus memperkukuh institusi pendidikan aliran agama Islam dengan penubuhan sebuah lagi Maahad Integrasi Tahfiz Sains dan Teknologi (MITS) Pandan, Daerah Hulu Langat.

Bersebelahan Masjid Al-Azim Pandan Indah, MITS ini dibina di atas sebidang tanah berkeluasan 7.4 ekar dengan kos pembangunan ditampung sepenuhnya Kerajaan Negeri berjumlah RM29 juta.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, permintaan kemasukan pelajar ke dalam bidang aliran agama semakin meningkat dan Kerajaan Negeri sedaya upaya memenuhi keperluan itu dengan matlamat melahirkan modal insan berkualiti.

“Pendidikan aliran agama kini mendapat permintaan yang semakin tinggi.

“Maahad Integrasi turut menyumbang kepada pembangunan modal insan dalam melahirkan individu berketerampilan bagi menghadapi ujian getir masa kini.

“Saya harap MITS dapat menyuntik dinamik baru kerana bagi kita (Kerajaan Negeri) sektor pendidikan adalah sebuah pelaburan penting,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Pecah Tanah MITS Pandan di sini hari ini.

Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Negeri Selangor, Datuk Ir Ruslan Abdul Aziz dalam taklimatnya berkata, komponen MITS ini terdiri daripada blok akademik dan pentadbiran empat tingkat, blok asrama perempuan tiga tingkat, asrama lelaki tiga tempat dan sebuah dewan makan beserta blok-blok sokongan.

“Objektif utama pembangunan projek ini adalah bagi menyediakan kemudahan prasarana kepada pelajar dan pengajar serta kakitangan supaya proses pembelajaran dan pengajaran dapat berjalan dengan selesa.

“Ini selaras dengan matlamat melahirkan golongan da’i, ulama dan umara’ yang mahir dalam bidang sains serta teknologi,” katanya.

Menurutnya, projek ini dijangka siap dalam tempoh 130 minggu dengan tarikh siap semasa pada 21 Mei 2020.

Dalam majlis sama, Mohamed Azmin turut menyampaikan sumbangan bantuan pembangunan dan baikpulih masjid, surau serta madrasah.

Sumbangan hampir RM300,000 kepada enam buah institusi diberikan menerusi Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) manaka Pemerbadanan Menteri Besar (MBI) turut menyalurkan sumbangan berjumlah RM500,000 kepada 10 buah masjid bagi Daerah Hulu Langat.

=EZY=

Categories
PENDIDIKAN SELANGOR

MITS kelima tampung keperluan pelajar

OLEH HAFIZAN TAIB

CYBERJAYA 21 FEB: Kerajaan Negeri melalui Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) akan membina sebuah Maahad Integrasi Tahfiz Sains dan Teknologi (MITS) pada tahun ini, bagi memenuhi keperluan pelajar dalam pendidikan agama Islam.

Pengarah JAIS, Dato’ Haris Kasim, berkata pendidikan aliran agama kini mendapat perhatian istimewa ibu bapa dan jumlah peningkatan pelajar ke MITS menjadikan keperluan bagi penambahannya.

“Pada tahun lalu, seramai 1,016 pelajar berjaya mendaftar diri di empat MITS manakala tahun ini berlaku peningkatan apabila 1,031 iaitu 545 pelajar lelaki dan 486 pelajar perempuan mendaftar.

“Dengan peningkatan jumlah permintaan ke MITS, Kerajaan Negeri bersetuju membina MITS kelima di Pandan, pada tahun ini,” katanya dalam Majlis Tilawah dan Menghafaz Al-Quran 1439H/2018M peringkat Selangor di sini, semalam.

Beliau berkata, ketika ini terdapat empat MITS di bawah JAIS iaitu di Jugra, Klang, Sabak Bernam dan Sepang.

Katanya, jumlah kemasukan ke Sekolah Agama Menengah (SAM) juga menunjukkan peningkatan di Selangor dengan 3,528 pelajar pada tahun ini berbanding 3,456 pelajar tahun lalu dan peningkatan kemasukan itu adalah melebihi berbanding tawaran disediakan JAIS.

‘Majlis tilawah dan menghafaz Al-Quran diadakan ini bukan sahaja untuk meningkatkan mutu bacaan dan menghafaz Al-quran di kalangan peserta tetapi juga bermatlamat agar umat Islam dapat menghayati isi kandungan ayat suci Kalamullah disampaikan huffaz dan dilagukan qari dan qariah,’ katanya.

Hadir sama, Exco Hal Ehwal Agama Islam, Adat Melayu & Warisan, Pembangunan Desa dan Kampung Tradisi, Dato’ Dr Ahmad Yunus Hairi mewakil Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Mohd Amin Ahmad Ahya.

=EZY=

Categories
PBT SELANGOR

MPAJ bakal bertindak tapak MITS lokasi sampah haram

OLEH HAFIZAN TAIB

KUALA LUMPUR, 16 DIS: Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) akan mengambil tindakan segera mengatasi masalah sebuah tapak Maahad Integrasi Tahfiz Sains (MITS), di Pandan Indah yang dijadikan tempat pelupusan sampah haram.

Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Kehidupan Bandar, Dato’ Iskandar Abdul Samad berkata, Yang Dipertua MPAJ, Abdul Hamid Hussain sudah dimaklumkan berkenaan perkara itu dan tindakan susulan akan dilakukan Pihak Berkuasa Tempatan berkenaan.

“Tindakan segera perlu memandangkan tapak terbabit beberapa ratus meter dari Menara MPAJ dan ia akan memberi persepsi seolah tiada kawalan ke atas tindakan membuang sampah.

“Bagaimanapun, satu tindakan akan menyusul,” katanya dalam kenyataan.

Iskndar berkata, perkara itu berdasarkan aduan orang ramai yang memaklumkan tapak MITS dijadikan tempat pembuangan sampah haram oleh pihak tidak bertanggungjawab.

Mengulas lanjut, beliau berkata, tapak MITS itu adalah antara Masjid Al-Azim dan Sekolah Rendah Agama (SRA) Pandan Indah, di Jalan Pandan Mewah, Pandan Indah.

“Kontraktor baru sahaja dilantik dan kerja pembinaan akan dimulakan sebelum akhir tahun ini dan dijangka siap, pada akhir 2019.

“MITS ini dijangka beroperasi, pada Januari 2020,” katanya.

Categories
PENDIDIKAN SELANGOR

182 Huffaz MITS terima insentif RM1,000 seorang

OLEH AFIX REDZUAN

CYBERJAYA, 5 DIS: Kerajaan Selangor berbesar hati memberikan insentif RM1,000 setiap seorang kepada 182 huffaz Maahad Tahfiz Integrasi Selangor (MITS) yang berjaya menamatkan hafazan 30 juzu’ Al-Quran.

Berita gembira diumumkan Exco Hal Ehwal Agama, Jawatankuasa Adat Melayu, Pembangunan Desa dan Kampung Tradisi, Dato’ Dr Ahmad Yunus Hairi menyaksikan kesemua huffaz menerima insentif dalam bentuk cek yang diserahkan terus kepada mereka hari ini.

“Saya merasakan satu nikmat dan setinggi kesyukuaran dalam usaha melahirkan huffaz menerusi MITS dan kita juga berjaya melahirkan huffaz tidak sampai dua tahun.

“Kita perlu terus melahirkan lebih banyak huffaz dan ulama sebagai benteng untuk menangkis tanggapan buruk terhadap Islam,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama Majlis Graduasi Qurra’ Maahad Integrasi Tahfiz Selangor (MITS) Kali Ke-5 2017 di Dewan Masjid Raja Haji Fisabilillah, Cyberjaya.

Menurutnya, Kerajaan Negeri akan terus merealisasikan matlamat membina MITS di setiap daerah dengan lokasi terbaru pembinaan tahun hadapan di Hulu Langat.

Setakat ini terdapat empat MITS yang beroperasi di Sepang, Klang, Kuala Langat dan Sabak Bernam.

Dalam majlis sama, Muhammad Ridhwanil Abrar Mohamad Azhar dari MITS Sabak Bernam dan Iffah Abd Rahim dipilih selaku penerima Anugerah Huffaz Cemerlang 2017 dengan masing-masing membawa pulang insentif bernilai RM5,000.

Manakala Muhammad Hafidz Sharil Izwan, 14, dipilih selaku penerima Anugerah Khas di atas kejayaan menghafal Al-Quran dalam tempoh kurang dua tahun dan membawa pulang insentif RM3,000.

Muhammad Hafidz yang ditemui selepas itu berkata beliau mula menghafal Al-Quran sejak sekolah rendah sebelum menyambung pengajian di MITS Bagan Lalang.

“Antara cabaran menghafal Al-Quran adalah malas dan mengantuk.

“Sebagai langkah mengatasi saya terpaksa rajinkan diri untuk menghafal dengan cara berdiri sambil mengunyah makanan seperti kismis. Alhamdulillah dengan berkat kesabaran saya berjaya menamatkan hafazan,” katanya.

=EZY=

Categories
SELANGOR

Rancang bina MITS seluruh negeri

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 14 NOV: Kerajaan Negeri merancang pembinaan Maahad Integrasi Tahfiz Sains (MITS), di seluruh Selangor bagi memenuhi keperluan pelajar mendapat pendidikan peringkat menengah berteraskan Islam.

Exco Hal Ehwal Agama Islam, Adat Melayu & Warisan, Pembangunan Desa dan Kampung Tradisi, Dato’ Dr Ahmad Yunus Hairi berkata, perancangan terbabit dijalankan secara berterusan mengikut daerah, di negeri itu.
“Sejak 2013, Kerajaan Negeri membangunkan dua MITS iaitu di Bagan Terap, Sabak Bernam dan Bagan Lalang, Sepang.

“Satu lagi MITS akan dibina pada tahun depan,” katanya menjawab pertanyaan Ahli Dewan Negeri (ADN) Meru, Dr Abdul Rani Osman dalam sidang Dewan Negeri Selangor (DNS), di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, Kerajaan Negeri juga memperuntukkan kira-kira RM2.7 juta bagi keduaMITS berkaitan dalam tempoh dua tahun ini.

“Ia meliputi perbelanjaan bagi pelantikan guru dan bukan guru, pembekalan kawalan asrama, kawalan keselamatan dan kontraktor pembersihan kawasan serta yang berkaitan,” katanya.

Dua lagi MITS siap 2018, menempatkan 600 pelajar


Pembinaan dua Maahad Tahfiz Integrasi Sains dan Teknologi (MITS) di Pandan dan Bagan Lalang, Selangor dijangka siap sepenuhnya pada 2018.

Categories
SELANGOR

MITS tampung 600 pelajar dijangka siap 2018

Oleh: NAZLI IBRAHIM

SEPANG, 2 MAC: Pembinaan dua Maahad Tahfiz Integrasi Sains dan Teknologi (MITS) di Selangor dijangka siap sepenuhnya pada 2018, kata Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali.

Katanya, MITS di Pandan dan Bagan Lalang yang dibina melalui peruntukan RM52 juta itu tanda komitmen Kerajaan Negeri melahirkan golongan berkerjaya dengan menjadikan Al-Quran sebagai teras kehidupan.

MOHAMED AZMIN“Imam Al-Ghazali dalam kitab Ihya Ulumuddin berkata, pembelajaran agama dan Al-Quran harus diimbangi dengan pembelajaran ilmu dunia.

“Mempelajari ilmu dunia adalah fardu kifayah bagi umat Islam manakala ilmu agama adalah fardhu ain.

“Maka atas tuntutan ini, Kerajaan Negeri meluluskan peruntukan RM 52 juta untuk membina MITS yang akan menempatkan 600 pelajar dengan kurikulum bersepadu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Negeri Selangor 1437H/2016M di Masjid Jamek Sultan Hishamuddin, Bandar Baru Salak Tinggi di sini, malam tadi.

Mohamed Azmin turut yakin usaha berterusan Kerajaan Negeri dalam melaksanakan pelbagai program dan aktiviti berorientasikan Al-Quran mampu menjadi wadah terbaik melahirkan ilmuan Muslim.

Maahad Tahfiz“Mudah-mudahan rasa cinta terhadap Al-Quran dalam kalangan masyarakat kita akan menebal dan kian meningkat dari masa ke masa.

“InsyaAllah jika umat Islam berjaya melaksanakan tuntutan ini, sudah tentunya kita akan menjadi umat terunggul dan dicontohi seluruh masyarakat dunia,” katanya.

Selain MITS, Kerajaan Negeri akan membelanjakan RM18 juta untuk membina tiga Maahad Tahfiz baru dan RM3 juta bagi menaik taraf Maahad Tahfiz Darul Qura di Sabak Bernam.

-AA-

Maahad Integrasi : Permohonan meningkat, cecah 2,050

Permohonan kemasukan ke Maahad Integrasi Tahfiz Selangor (MITS) bagi sesi 2016 meningkat kepada 2,050 pelajar.

Categories
SELANGOR

JAIS : Permohonan ke MITS cecah 2,050

Oleh : NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 13 JAN: Permohonan kemasukan ke Maahad Integrasi Tahfiz Selangor (MITS) bagi sesi 2016 meningkat ekoran ramai ibu bapa menyedari kepentingan pendidikan Islam untuk anak mereka.

Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Datuk Haris Kasim, berkata pihaknya menerima 2,050 permohonan, namun hanya 800 pelajar ditemuduga dan 230 sahaja mendapat tawaran.

Katanya, peningkatan itu turut didorong kesedaran pelajar yang mula memberi perhatian kepada bidang agama, tanpa mengabaikan akademik lain.

IMG_8090“Sehingga kini, Selangor sudah mendirikan empat buah MITS iaitu di daerah Kuala Langat, Klang, Sabak Bernam dan Sepang.

“Daripada 230 orang ditawarkan, 196 pelajar sudah mendaftar bagi mengikuti pengajian sesi 2016 dan kekosongan yang ada kini 34 sahaja iaitu kouta pelajar lelaki.

“Sehingga kini, empat MITS menempatkan keseluruhan pelajar mencecah 773 orang dan saya percaya ia akan terus bertambah dari tahun ke tahun,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Manghafaz Al-Quran Peringkat Selangor di Dewan Jubli Perak, di sini, malam tadi.

Majlis Manghafaz Al-Quran Peringkat Selangor yang berlangsung 12 hingga 15 Januari itu disertai 42 peserta terdiri daripada 25 Hafiz dan 17 Hafizah.

Peserta yang menyertai pertandingan itu adalah mereka yang berjaya melepasi saringan peringkat daerah masing-masing.

IMG_8403Pada masa sama, Haris berkata, peningkatan itu selaras dengan dasar Kerajaan Negeri untuk memperkukuhkan kualiti pendidikan dan latihan Islam bagi melahirkan lebih ramai modal insan.

Katanya, Bahagian Pendidikan Islam JAIS baru-baru ini turut mengadakan Majlis Graduasi Qurra MITS bagi meraikan pelajar Tahfiz yang berjaya menamatkan hafazan 30 juzuk Al-Quran.

“Seramai 122 pelajar menerima sijil khatam Al-Quran dan Sijil Perakuan Hafazan Al-Quran yang disampaikan Exco Hal Ehwal Agama Islam, Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi,” katanya.

-AA-

Categories
SELANGOR

3 Maahad Integrasi Tahfiz Sains ditubuh akhir tahun

Oleh: NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 14 JUN: Tiga buah lagi Maahad Integrasi Tahfiz Sains (MITS) akan ditubuhkan di negeri ini pada akhir tahun ini.

Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Peneroka Bandar, Iskandar Samad berkata cadangan penubuhan MITS itu sudah dibentangkan dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) dan mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Selangor (MTES).

tahfiz MITS sumbangan 1Katanya, keputusan akhir penubuhan tiga MITS itu berada di tangan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Beliau berkata manifesto Pakatan Rakyat Selangor pada pilihan raya umum lalu menjanjikan penubuhan tiga MITS jika diberi mandat semula mentadbir Selangor.

“Perancangan terperinci telah disediakan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) dengan kerjasama pejabat Exco Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembinaan Insan negeri, Dr Halimah Ali dan pejabat Exco Hal Ehwal Islam, Ustaz Sallehin Mukhyi.

“Kerajaan negeri amat memahami hasrat ibu bapa yang mahu anak-anak mereka mendapat pendidikan peringkat menengah berteraskan Islam.

“Ramai daripada mereka terpaksa menghantar anak-anak ke sekolah-sekolah swasta di negeri ini atau ke sekolah-sekolah di Kelantan, Terengganu, Pahang, Perak dan Negeri Sembilan. Insya Allah MITS akan dapat memenuhi keperluan mereka di masa akan datang,” katanya dalam kenyataan media.

Kerajaan negeri bercadang menubuhkan MITS di Bagan Terap, Sabak Bernam dan dua lagi di daerah Sepang dan Selayang.