Categories
SELANGOR

Selangor rampas tanah pemilik ingkar lakukan pembakaran terbuka

Oleh: NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 26 JUN: Individu yang secara sengaja atau tidak menyebabkan pembakaran terbuka di atas tanah milik mereka akan berdepan tindakan rampasan pemilikan bagi mengawal masalah jerebu yang sedang berlaku sekarang.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, berkata dua daerah sudah dikenal pasti iaitu Klang dan Kuala Langat, bahkan borang rampasan tanah mula diedarkan.

Katanya, jabatan khas melalui pihak berkuasa tempatan (PBT) ditugaskan untuk memantau kebakaran terbuka sedang mengesan kawasan yang dikenal pasti menyumbang kepada masalah berkenaan.

jerebu pembakaran terbuka johan setia 02“Buat masa ini, dua kawasan iaitu di Klang dan Kuala Langat kita kenal pasti dan senarai tanah yang dalam proses rampasan akan saya keluarkan secara rasmi esok (hari ini),” katanya ketika sidang media selepas Mesyuarat Exco, di Bangunan SUK, di sini, semalam.

Abdul Khalid turut mengingatkan masyarakat di negeri itu khususnya pemilik tanah supaya bertanggungjawab terhadap aset mereka dan memantau supaya pembakaran terbuka tidak sering berulang.

“Kerajaan Negeri hendak ingatkan kepada masyarakat, jika didapati pembakaran berleluasa dan sering berlaku di tempat sama, maka kita akan kenakan proses rampas tanah.

_MG_6215 copy“Tidak bermakna terbakar sahaja, Kerajaan Negeri hendak ambil alih. Yang kita maksudkan adalah tanah yang asyik terbakar kerana ia memburukkan lagi jerebu terutama pada musim panas ini.

“Kita ambil keputusan ini kerana tuan tanah adalah mereka yang bertanggungjawab menjaga kepentingan aset mereka,” katanya.

Dalam laporan daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat terdapat 49 kebakaran terbuka dikesan di Selangor yang menyumbang kepada keadaan jerebu.

-NFN-

Leave a Reply

Your email address will not be published.