Categories
SELANGOR

75% pangsapuri Selangor capai status Komuniti Bestari pada 2022

Oleh: NAEEM RAFFI

SHAH ALAM, 12 JUN: Kerajaan Selangor mensasarkan 75 peratus komuniti pangsapuri di Selangor mencapai status Komuniti Bestari menjelang 2022.

Sasaran tersebut melibatkan 1,313 kawasan (198,141 unit) bagi pangsapuri kos rendah dan 105 kawasan (45,556 unit) bagi penempatan peneroka bandar.

pangsapuriKetua Pegawai Eksekutif Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS), Norzaton Aini Mohd Kassim, berkata sebagai negeri tumpuan migrasi, Selangor perlu merangka perumahan disamping memastikan tanah mencukupi untuk keperluan masa hadapan.

“Apabila tanah terhad, baki tanah yang ada juga perlu diagih untuk simpanan akan datang. Maka, bentuk perumahan akan berubah dan pada ketika itu pembangunan kediaman teres, semi-d dan banglo perlu berubah kearah kediaman jenis pangsapuri,” jelasnya.

Norzaton menambah, Kerajaan Negeri kini dalam gerak kerja mendidik rakyat untuk bersedia menghadapi kehidupan di pangsapuri.

Jelasnya, segala program yang telah dan akan dilaksanakan untuk komuniti pangsapuri adalah bertujuan kearah itu.

“Ini adalah konsep yang ingin diterapkan Kerajaan Negeri. Konsep anda (rakyat) bukan dipaksa duduk di pangsapuri tetapi kebahagian, keselesaan serta keharmonian itu ada di pangsapuri.

“Sebab itu, pelbagai program seperti CERIA, SEROJA, BCH dan banyak lagi telah digerakkan sejak awal Kerajaan Negeri mentadbir,” jelasnya.

Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Peneroka Bandar, Iskandar Abdul Samad berkata kesemua pelaksanaan program memberdayakan komuniti pangsapuri bukan sahaja bertujuan memberi suasana yang selesa dan harmoni.

Malah ia bertujuan memupuk kesedaran dan rasa tanggungjawab di kalangan komuniti tersebut.

“Kita telah laksanakan pelbagai program membimbing komuniti ini dan pada penghujungnya nanti, kita mahu lihat mereka sendiri yang mentadbir urus pangsapuri.

“Kerajaan Negeri hanya membimbing sementara mereka mampu berdikari, kaedah yang sama dipraktikkan di negara-negara maju,” jelasnya.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.