Categories
SELANGOR

80 pemandu teksi lega, MB ambil perhatian serius selesai masalah

Oleh: NAEEM RAFFI

SHAH ALAM 18 JUN: Seramai 80 pemandu teksi bernaung di bawah Persatuan Pemandu Teksi dan Kereta Sewa Daerah Kuala Langat kini menarik nafas lega apabila masalah mereka mendapat perhatian serius daripada Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

ADUN Morib, Hasnul Baharuddin, berkata masalah lokasi hentian teksi tidak strategik itu akan dibincangkan di Majlis Tindakan Ekonomi Selangor (MTES) terlebih dahulu sebelum satu tindakan khusus diputuskan.

Hentian Teksi Banting 2“Menteri Besar sedia maklum akan perkara ini dan ia akan dibincangkan dalam MTES yang turut melibatkan peranan SPAD dan Pejabat Tanah dan Daerah.

“Kerajaan Negeri akan berusaha mendapatkan kembali tanah tersebut untuk dijadikan tapak teksi,” jelas Hasnul kepada Selangor Kini.

Beliau berkata demikian seusai perjumpaan Wakil Persatuan Pemandu Teksi dan Kereta Sewa Daerah Kuala Langat bersama Menteri Besar di Bilik Menyuarat Dewan Annex di sini hari ini.

Hasnul berkata dengan adanya hentian baru itu, suasana perkhidmatan pengangkutan awam di wilayah itu lebih lancar selain memudahkan orang awam mendapatkan perkhidmatan teksi.

“Diharap Kerajaan Negeri dapat mengambil semula tanah berkenaan daripada pemaju swasta bagi pembangunan terminal teksi yang lebih efisen,” jelasnya.

Sebelum ini Persatuan Teksi dan Kereta Sewa Kuala Langat berada di hadapan Perhentian Bas Banting sebelum ia dipindahkan ke terminal baru di Bazar Banting pada tahun 2008.

Lokasi baru yang berada 200 meter dari lokasi asal itu dilihat kurang strategik ekoran berada di bangunan yang terselindung daripada kawasan tumpuan orang ramai.

Kesannya, pelanggan semakin berkurangan selain aktiviti kereta sapu yang mengambil penumpang sewenang-wenangnya semakin berleluasa.

Sebagai penyelesaian sementara, pemandu teksi dan kereta sewa memohon kebenaran kepada Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL) untuk menggunakan empat petak parkir di hadapan hentian bas.

“Saya meminta kepada Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL) untuk memberi ruang dan tidak mengambil tindakan kepada Persatuan untuk menggunakan petak parkir itu.

“Dengan kebenaran tersebut, memudahkan pemandu teksi dan kereta sewa mendapatkan pelanggan sekaligus menampung pendapatan mereka yang selama ini terjejas teruk ekoran lokasi dan aktiviti kereta sapu,” katanya.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.