Categories
AGENDA NASIONAL

Khidmat pengangkutan awam perlu pohon surat benar operasi

PUTRAJAYA, 13 JUN: Semua perkhidmatan pengangkutan awam termasuk teksi dan e-panggilan hanya perlu mengemukakan surat Kementerian Pengangkutan (MOT) sebagai bukti kebenaran beroperasi dalam tempoh pelaksanaan sekatan pergerakan penuh yang dilanjutkan hingga 28 Jun ini.

MOT dalam kenyataan hari ini berkata pemandu teksi boleh mendapatkan surat kebenaran beroperasi daripada Sistem Maklumat Industri Logistik (SMILE) di https://application.mot.gov.my. manakala pemandu e-panggilan pula boleh mendapatkan salinan surat kebenaran MOT yang telah diberikan kepada syarikat operasi e-panggilan masing-masing.

Sebelum ini, MOT dilaporkan berkata Lesen Kenderaan Perkhidmatan Awam yang dikeluarkan oleh Agensi Pengangkutan Awam Darat diperlukan sebagai bukti kebenaran beroperasi di sekatan jalan raya.

Semalam, Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata semua perkhidmatan pengangkutan awam termasuk teksi dan e-panggilan, dibenarkan beroperasi sepanjang pelaksanaan sekatan pergerakan penuh yang dilanjutkan hingga 28 Jun ini dengan mengikuti prosedur operasi standard ketat.

MOT berkata setiap perkhidmatan teksi dan e-panggilan dihadkan kepada kapasiti dua orang sahaja iaitu seorang pemandu dan seorang penumpang.

Bagaimanapun bagi tujuan perubatan seperti janji temu hospital yang disertakan surat pengesahan doktor atau vaksinasi yang disahkan melalui aplikasi MySejahtera, atau bagi tujuan kecemasan, tiga orang termasuk pemandu dibenarkan menaiki sebuah teksi atau kenderaan e-panggilan pada satu-satu masa.

Sekatan pergerakan penuh di bawah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 yang dijadualkan tamat pada 14 Jun ini bersambung selama dua minggu lagi, berkuat kuasa 15 hingga 28 Jun ini.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata keputusan tersebut dibuat setelah mengambil kira jumlah kes baharu harian yang masih tinggi iaitu melebihi 5,000 kes sehari.

— BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Had operasi bas, teksi dan e-panggilan di mukim Klang

SHAH ALAM, 8 OKT: Pengangkutan awam seperti bas, teksi dan perkhidmatan e-panggilan dibenarkan beroperasi dalam waktu terhad sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di mukim Klang.

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri berkata perkhidmatan tersebut dibenarkan beroperasi bermula jam 6 pagi sehingga 12 tengah malam.

“Mesyuarat juga bersetuju Pelabuhan Klang beroperasi seperti biasa. Senarai lebih terperinci kegiatan ekonomi yang dibenarkan dan tidak dibenarkan akan diumumkan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri,” katanya menerusi siaran langsung Facebook hari ini.

Kerajaan memutuskan PKPB dikuatkuasa di mukim Klang mulai jam 12.01 pagi pada Jumaat ini.

Klang bertukar kepada zon merah semalam apabila mencatatkan 77 pesakit aktif yang sedang dirawat.

Categories
ADN BERITA UTAMA SELANGOR

100 pemandu teksi terjejas terima bantuan makanan

KAJANG, 18 JULAI: Seramai 100 ahli Persatuan Pemandu Teksi dan Kereta Sewa Hulu Langat yang terjejas akibat Covid-19 menerima bantuan makanan.

Ahli Dewan Negeri Kajang berkata bantuan beras, minyak, gula dan susu itu diharap dapat meringankan beban mereka.

“Wang tunai RM5,000 turut disumbang kepada persatuan supaya aktiviti tertangguh sebelum ini dapat dijalankan. Jumlah keseluruhan bantuan RM10,000.

“Sepanjang PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) pendapatan pemandu ini sangat terjejas malah berlanjutan hingga sekarang. Mereka hanya terima antara RM30 hingga RM35 sehari,” kata Hee Loy Sian selepas menyerahkan bantuan di sini hari ini.

Beliau turut meminta Kerajaan Persekutuan melalui kementerian pengangkutan menyediakan aplikasi bagi menjadikan sistem kerja pemandu teksi lebih sistematik.

“Kita harap aplikasi seperti Grab dapat diluaskan ke pemandu teksi. Ini dapat meningkatkan pendapatan kerana mereka turut bersaing dengan pengangkutan awam,” katanya.

Categories
NASIONAL

Kerajaan tidak pinggir warga teksi

KUALA LUMPUR, 26 MEI: Kerajaan Pakatan Harapan (PAKATAN) tidak meminggirkan kebajikan pemandu dan pengusaha teksi serta telah memberikan bantuan sewajarnya, yang tidak kurang daripada apa diterima daripada kerajaan sebelum ini.

Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Kamaruddin Jaafar berkata, jika ada sebarang langkah atau keputusan kerajaan yang dianggap tidak begitu menguntungkan kepada kumpulan tersebut, satu penyelesaian terperinci akan dilakukan.

“Dalam kita mempertimbangkan operasi e-hailing, sudah tentu pertimbangan kita adalah untuk mempastikan bahawa kebajikan pemandu dan pengusaha teksi tidak terjejas dan terabai.

“Tetapi kita sudah tentulah tidak dapat menafikan oleh kerana adanya Grab ini, akan ada pertambahan jumlah perkhidmatan teksi e-hailing, dan ia menjadikan perkhidmatannya kepada rakyat lebih baik kerana mudah untuk rakyat menggunakan perkhidmatan ini,” katanya ketika ditemui pada majlis Jalinan Kasih Ramadan di sini, hari ini.

Beliau mengulas laporan sebuah portal memetik Penasihat Big Blue Taxi Facilities Sdn Bhd, Shamsubahrin Ismail yang mendakwa rata-rata pemandu teksi menyuarakan rasa kecewa dengan pentadbiran kerajaan PAKATAN kerana gagal menjaga kebajikan mereka selepas setahun mentadbir Putrajaya.

Kamaruddin yang juga Anggota Parlimen Bandar Tun Razak berkata, langkah pihaknya mengenakan syarat yang ketat terhadap penyedia perkhidmatan e-hailing pada masa ini jelas menunjukkan bahawa kerajaan tegas dalam menguatkuasakan undang-undang.

Katanya, ia juga menunjukkan kerajaan PAKATAN tidak memberikan kelebihan kepada penyedia perkhidmatan e-hailing berbanding pemandu dan pengusaha teksi.

Terdahulu, Kamaruddin menyampaikan sumbangan Hari Raya kepada 400 penduduk sekitar Parlimen Bandar Tun Razak pada majlis yang dianjurkan Persatuan Kontraktor Bumiputera Malaysia (PKBM) dengan kerjasama persatuan penduduk Kampung Malaysia Raya.

— BERNAMA

Categories
NASIONAL

Pendapatan terjejas, kami ditendang seperti bola

Oleh: LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 10 JUN: Tindakan pihak berkuasa saling menolak aduan dan keluhan pemandu teksi berhubung aplikasi UBER sangat dikesali.

Pengerusi Badan Bertindak Pemandu Teksi Bermeter (BBPTB), Amran Jan, berkata aduan di Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) dan Suruhanjaya Komunikasi Media Malaysia (SKMM) disahut sepi.

teksi gambar file 01Katanya, tindakan sambil lewa itu memandang ringan kebajikan dan pendapatan pemandu teksi berdaftar yang membayar permit sertasewa kepada kerajaan.

“Kami pergi ke SPAD disuruh ke SKMM. Sampai di SKMM diarahkan pula merujuk SPAD kembali.

“Perkara ini berterusan menjadikan kami seperti bola ditendang ke sana sini. Akhirnya kami yang kalah dan mengalah,” katanya kepada Selangor Kini.

Semalam, kira-kira 100 orang pemandu teksi mengadakan perhimpunan aman di hadapan bangunan Parlimen dan menyerahkan memorandum kepada semua ahli parlimen sebagai bantahan kepada aplikasi Uber itu.

amran janMengulas penyerahan memorandum itu, Amran berkata, langkah itu adalah jalan terakhir pemandu teksi mendapatkan hak mereka.

“Kami percaya ahli parlimen akan memandang serius isu ini dengan membawa usul mengharamkan terus aplikasi seperti UBER, Myteksi dan yang lain.

“Jika usaha membawa ke Parlimen masih gagal, kami mungkin akan menghantar memorandum untuk perhatian Yang DiPertuan Agong,” katanya.

-NFN-

Categories
SELANGOR

Teksi percuma untuk OKU & orang miskin

Oleh: SYASYA SUFIAN

SHAH ALAM, 16 APR:  Tiga ADUN melancarkan Skim Teksi Percuma (STP) bagi membantu golongan miskin dan Orang Kelainan Upaya (OKU).

Skim itu dilancarkan ADUN Damansara Utama, Yeo Bee Yin; Kampung Tunku, Lau Weng San dan Bukit Gasing, R Rajiv  dengan kerjasama perkhidmatan MyTeksi bertujuan membantu rakyat mendapatkan teksi percuma menguruskan hal berkaitan kerajaan.

20150416_113850_resizedYeo Bee Yin berkata, antara tempat yang diberi khidmat percuma adalah hospital dan klinik kerajaan, Jabatan Pendaftaran (JPN) serta Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

“Buat permulaan, skim ini dijalankan di tiga kawasan untuk melihat keberkesanan membantu golongan miskin dan OKU. Pendapatan isi rumah RM1200 ke bawah juga layak memohon skim ini,” katanya.

Bee Yin berkata, masalah pengangkutan awam yang tidak sistematik dan kos teksi yang mahal menyukarkan golongan berkenaan membuat sebarang urusan.

“Dua bulan pertama, kos penuh ditaja MyTeksi. Orang ramai boleh memohon skim ini di tiga Pusat Khidmat DUN terbabit,” katanya.

-NFN-

Categories
SELANGOR

80 pemandu teksi lega, MB ambil perhatian serius selesai masalah

Oleh: NAEEM RAFFI

SHAH ALAM 18 JUN: Seramai 80 pemandu teksi bernaung di bawah Persatuan Pemandu Teksi dan Kereta Sewa Daerah Kuala Langat kini menarik nafas lega apabila masalah mereka mendapat perhatian serius daripada Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

ADUN Morib, Hasnul Baharuddin, berkata masalah lokasi hentian teksi tidak strategik itu akan dibincangkan di Majlis Tindakan Ekonomi Selangor (MTES) terlebih dahulu sebelum satu tindakan khusus diputuskan.

Hentian Teksi Banting 2“Menteri Besar sedia maklum akan perkara ini dan ia akan dibincangkan dalam MTES yang turut melibatkan peranan SPAD dan Pejabat Tanah dan Daerah.

“Kerajaan Negeri akan berusaha mendapatkan kembali tanah tersebut untuk dijadikan tapak teksi,” jelas Hasnul kepada Selangor Kini.

Beliau berkata demikian seusai perjumpaan Wakil Persatuan Pemandu Teksi dan Kereta Sewa Daerah Kuala Langat bersama Menteri Besar di Bilik Menyuarat Dewan Annex di sini hari ini.

Hasnul berkata dengan adanya hentian baru itu, suasana perkhidmatan pengangkutan awam di wilayah itu lebih lancar selain memudahkan orang awam mendapatkan perkhidmatan teksi.

“Diharap Kerajaan Negeri dapat mengambil semula tanah berkenaan daripada pemaju swasta bagi pembangunan terminal teksi yang lebih efisen,” jelasnya.

Sebelum ini Persatuan Teksi dan Kereta Sewa Kuala Langat berada di hadapan Perhentian Bas Banting sebelum ia dipindahkan ke terminal baru di Bazar Banting pada tahun 2008.

Lokasi baru yang berada 200 meter dari lokasi asal itu dilihat kurang strategik ekoran berada di bangunan yang terselindung daripada kawasan tumpuan orang ramai.

Kesannya, pelanggan semakin berkurangan selain aktiviti kereta sapu yang mengambil penumpang sewenang-wenangnya semakin berleluasa.

Sebagai penyelesaian sementara, pemandu teksi dan kereta sewa memohon kebenaran kepada Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL) untuk menggunakan empat petak parkir di hadapan hentian bas.

“Saya meminta kepada Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL) untuk memberi ruang dan tidak mengambil tindakan kepada Persatuan untuk menggunakan petak parkir itu.

“Dengan kebenaran tersebut, memudahkan pemandu teksi dan kereta sewa mendapatkan pelanggan sekaligus menampung pendapatan mereka yang selama ini terjejas teruk ekoran lokasi dan aktiviti kereta sapu,” katanya.

EZY

Categories
NASIONAL

Pemandu teksi minta penjelasan SPAD penggunaan kupon

Oleh : AFEEQA AFEERA

SHAH ALAM, 8 JUN : Pengerusi Badan Bertindak Pemandu Teksi Bermeter (BBPTB), Amran Jan menghantar notis kepada Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) bagi menuntut penjelasan berkaitan peraturan mengesahkan penggunaan sistem kupon dalam perkhidmatan teksi.

Amran dalam satu kenyataan berkata notis itu dihantar melalui syarikat guaman R.Kengadharan & Co pada 6 Mei lalu kepada Pengerusi SPAD, Tan Sri Syed Hamid Albar.

teksi lembah klangBeliau berkata satu salinan turut diserahkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak; Pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein serta Ketua Pengarah Biro Pengaduan Awam, Datuk Mahani Tan Abdullah.

“Sistem kupon ini membebankan serta mengelirukan penumpang tempatan dan asing, di samping memberi imej buruk terhadap mutu perkhidmatan teksi di negara ini.

“Ia tidak selari atau bercanggah dengan Akta Pengangkutan Jalan 1987 (teksi mengunakan kadar tambang meter).

“Saya yang menjadi pemandu teksi selama 10 tahun merasa kecewa kerana setelah lebih sebulan berlalu, Pengerusi SPAD kekal berdiam diri serta gagal memberi sebarang maklum balas terhadap tuntutan ini,” katanya.

Amran berkata isu ini mula menjadi pertikaian sejak tahun 2010 lagi, namun tiada pihak berkepentingan tampil memberi penjelasan bahawa wujudnya peraturan atau akta yang membenarkan operasi sistem kupon berkenaan dilaksanakan.

teksiBeliau turut mendakwa SPAD seperti sedang menyembunyikan sesuatu perkara daripada pengetahuan pemandu teksi sehingga dilihat begitu sukar memberi penjelasan berhubung isu berkenaan.

“Adakah SPAD tidak diperuntukkan bidang kuasa untuk mencampuri urusan perniagaan sistem kupon yang diketahui umum operatornya adalah pihak pengusaha teksi sendiri?

“Senario perkhidmatan teksi negara dari dahulu sehingga ke hari ini jelas menunjukkan bahawa pihak pengusaha teksi terlalu mendominasi industri ini khususnya dalam perniagaan sistem kupon.

“Siapakah sebenarnya yang berkuasa didalam industri teksi negara? SPAD atau Persatuan Pengusaha Teksi?” soalnya.

Beliau turut mencadangkan supaya Syed Hamid Albar meletakkan jawatan serta-merta sekiranya tidak mampu untuk mengambil tindakan tegas bagi menghentikan sistem kupon yang didakwa menjejaskan pemandu teksi.

“Dan jika keseluruhan organisasi SPAD tidak berupaya berfungsi sebagai badan yang diamanahkan oleh kerajaan bagi mengawalselia serta menambahbaik perkhidmatan pengangkutan awam negara, maka SPAD ini seharusnya dibubarkan saja,” katanya lagi.

EZY

Categories
NASIONAL SELANGOR

Tarif Insurans Kenderaan Naik Mulai Esok

INSURANS NAIK 01

SHAH ALAM, 14 FEB: Pemilik kenderaan di seluruh negara bakal berhadapan kenaikkan tarif insurans kenderaan bermula esok 15 Februari 2013.

Penstrukturan ini akan melibatkan motosikal, kereta, bas dan teksi dan setiap kenaikan adalah berbeza mengikut risiko kemalangan kenderaan terbabit melalui kriteria rekod kemalangan serta keadaan kenderaan semasa.

Wartawan Tv Selangor menghubungi beberapa ejen insurans bagi mendapatkan penjelasan lanjut berhubung berita berkenaan.

Berdasarkan maklumat yang diberi kenaikan ini sebanyak RM12 bagi setiap RM1,000 nilai insurans yang dibayar pengguna.

Bagaimanapun kenaikan ini bergantung kepada syarikat insurans sama ada akan menaikan esok ataupun syarikat boleh menangguhkan sehingga Mac depan.

Kenaikan secara berperingkat sehingga tahun 2015 bermula pada tahun 2012 dan ini merupakan tahun kedua kenaikan ini berlaku

Berdasarkan laporan beberapa media pada Februari 2011, perkara ini pernah diumumkan sendiri oleh Penolong Gabenor Bank Negara, Abu Hassan Alshari.

Categories
NASIONAL

TEKSI Tuntut Pemberian Permit Individu

KUALA LUMPUR, 31 OKT : Gerakan Tuntutan Pemandu Teksi Malaysia (Teksi) menyerahkan satu memorandum kepada Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz bagi menuntut kerajaan memberikan perhatian terhadap tuntutan pemandu teksi.

Memorandum tersebut diserahkan oleh Pengerusinya, Mohd Ridzuan Mohd Daud di pejabat Nazri di tingkat 1 lobi Parlimen sambil diiringi oleh Ahli Parlimen Ampang, Zuraida Kamaruddin.

Dalam tuntutannya, Teksi mendesak kerajaan agar memberikan mereka permit individu, berbanding permit syarikat yang akan memberikan lebih peluang untuk kehidupan yang lebih selesa.

Tegas Ridzuan, pihaknya mengharapkan kerajaan memberi perhatian serius terhadap tuntutan mereka sebelum Pilihan Raya Umum ke-13.

“Sekiranya permohonan mereka tidak diendahkan, seluruh pemandu teksi Malaysia akan mengadakan protes secara berterusan setiap negeri sehingga tuntutan kami ditunaikan,” katanya.

Beliau menambah, sekiranya kerajaan bertegas untuk mengekalkan permit tersebut kepada syarikat, pemandu teksi perlu diberi cuti setiap hari Ahad tanpa sewa, setiap cuti umum diwartakan hari umum tanpa sewa, insuran kereta dibuat sebagai pihak pertama dan bukan pihak ketiga, dan pemandu yang dimasukkan ke wad atau hospital diberi cuti tanpa sewa.