Categories
SELANGOR

Atasi kesesakan trafik LDP dengan pengangkutan awam

Oleh :LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 14 JUN: Masalah kesesakan trafik di laluan Lebuhraya Damansara Puchong (LDP) perlu diatasi dengan pelaksanaan sistem pengangkutan awam lebih efisien dan bukannya dengan pembinaan Lebuhraya Kinrara Damansara (Kidex) sahaja.

Adun Bukit Gasing, R. Rajiv berkata, masalah kesesakan jalan raya tidak akan dapat diselesaikan melalui pembinaan jalan atau lebuh raya baru sahaja kerana jumlah kenderaan akan sentiasa bertambah dari tahun ke tahun.

bas komunitiOleh itu, katanya, kos Kidex yang mencecah RM 2.2 billion itu seharusnya diperuntukkan untuk memperkasakan pengangkutan awam seperti komuter dan transit aliran ringan (LRT) selain menyediakan lebih banyak bas awam.

“Kita boleh melakukan anjakan paradigma menggantikan cadangan jajaran Kidex dengan laluan transit ringan yang boleh menghubungkan empat laluan sedia ada dan masih dalam pembinaan seperti MRT 1, LRT Kelana Jaya, LRT Ampang dan KTM Komuter.

“Dengan bas yang mencukupi pula kita pasti dapat penuhi permintaan orang ramai,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pada 12 Jun lepas, Menteri Kerja Raya Datuk Fadillah Yusof berkata pembinaan Kidex mampu mengurangkan kesesakan lalu lintas di Lebuh Raya Damansara Puchong (LDP) sebanyak 20 hingga 30 peratus berdasarkan laporan Penilaian Kesan Trafik (TIA).

kidexBeliau berkata Kidex perlu dilaksanakan untuk menangani masalah di LDP bagi membolehkan pengguna mempunyai pilihan lain terutama ketika waktu puncak.

Sehari sebelum itu, Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim pula berkata Kerajaan Negeri berhak untuk mempersoalkan pembinaan Kidex sekiranya ia tidak memberi manfaat yang besar kepada penduduk di kawasan berkenaan.

Beliau berkata persetujuan kepada pembinaan lebuh raya berkenaan hanya dari segi prinsip dan Kerajaan Negeri akan memantau segala aspek terutama dari sudut pengurangan trafik serta impak sosial.

Awal bulan ini, sekumpulan penduduk sekitar Petaling Jaya (PJ) mengadakan pertemuan dengan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) bagi menyuarakan hasrat membantah pembinaan lebuh raya bertingkat Kidex.

Mereka turut mendakwa projek itu bukan hanya memusnahkan alam sekitar namun akan menyebabkan harga hartanah merudum malah turut menyifatkan Kidex bukanlah penyelesaian bijak kepada masalah lalu lintas.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.