Categories
SELANGOR

Bacaan braille kini boleh diakses di Perpustakaan Awam

Oleh: AFEEQA AFEERA

SHAH ALAM, 22 JUN : Golongan kurang upaya (OKU) terutama yang mengalami cacat penglihatan kini boleh mengakses bahan bacaan dalam bentuk braille selain menikmati pelbagai kemudahan lain disediakan khas di Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS).

Pengarah Urusan KL Braille Resources, Datuk Mah Hassan Omar, berkata hasil kerjasama yang julung kali diadakan bersama perpustakaan berkenaan adalah bagi memberi manfaat kepada golongan OKU untuk bersama-sama mendapat ilmu melalui pelbagai bahan bacaan.

braille aBeliau berkata, bahan bacaan khusus untuk golongan OKU itu ditempatkan dalam sebuah bilik khas di tingkat dua perpustakaan berkenaan.

“Persatuan kita membantu mereka yang cacat penglihatan ini dengan menyediakan bahan bacaan yang boleh dibaca melalui sentuhan jari selaras dengan fokus kita untuk memberi ilmu dan manfaat kepada golongan berkenaan.

“Kalau dulu mereka terpaksa datang ke Brickfields untuk mendapat bahan bacaan, tetapi kini dengan kerjasama PPAS kami sendiri membawa buku dan peralatan khas untuk golongan cacat penglihatan datang ke Shah Alam bagi membaca buku,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Tilawah al-Quran Braille peringkat kebangsaan yang berlangsung di Perpustakaan Raja Tun Uda, dekat sini.

Selain PPAS di Shah Alam, Mah berkata kemudahan sama turut disediakan di PPAS cawangan Ampang Waterfront untuk golongan cacat penglihatan mendapatkan bahan bacaan.

Katanya, projek terbaru persatuan berkenaan adalah menerbitkan al-Quran dalam tulisan braille khusus bagi golongan cacat penglihatan yang ingin mendalami kitab suci berkenaan.

“Ramai orang cacat penglihatan yang minat untuk mendalami al-Quran tetapi mereka tiada kemudahan itu, maka kita ambil inisiatif untuk sediakan kepada mereka.

“Agensi kerajaan, syarikat korporat dan para dermawan dijemput untuk membantu kos perniagaan naskah al-Quran ini yang akan diberikan kepada golongan memerlukan,” katanya lagi.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.