Categories
SELANGOR

Bot Karam: 61 mangsa berjaya diselamatkan, 5 terkorban

SHAH ALAM 18 JUN: Seramai 61 orang mangsa berjaya diselamatkan setakat ini di dalam operasi mencari dan menyelamat insiden bot karam di kira-kira dua batu nautika dari Sungai Air Hitam di Pulau Carey malam tadi iaitu 48 lelaki, 12 wanita dan seorang kanak-kanak.

Manakala dilaporkan mangsa mati seramai 5 orang iaitu 4 lelaki dan 1 wanita.

Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia berkata operasi di lokasi kejadian masih dijalankan bagi mencari baki mangsa yang terlibat.

“Maklumat terkini berkenaan insiden akan dimaklumkan dari masa ke semasa,” tulis Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia di laman Facebooknya.

karamKetua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Azman Abd Razak berkata, bot seumpama itu biasanya boleh membawa penumpang hanya kira-kira 40 hingga 50 orang.

Katanya bagaimanapun siasatan lanjut akan dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar.

“Kita sedang menjalankan gerakan mengenal pasti punca kejadian, siapa pemilik sebenar bot tersebut, destinasi dan bagaimana proses perjalanan ini berlaku sehingga berlakunya kejadian ini… difahamkan semasa kejadian ada berlaku ribut,” katanya dipetik Bernama.

Beliau berkata mayat dihantar ke Hospital Besar Tengku Ampuan Rahimah manakala mereka yang terselamat disiasat oleh Kastam Diraja Malaysia dan Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Langat mengikut Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Penyuludupan Migran 2007.

Bot nelayan membawa 97 pendatang asing tanpa izin yang dilaporkan karam lewat tengah malam tadi telah ditemui di Muara Kuala Langat, hari ini.

Bot itu dipercayai dalam perjalanan dari Kampung Ayer Hitam Pulau Carey menuju ke Aceh.

Gerakan mencari dan menyelamat masih diteruskan melibatkan APMM, Jabatan Bomba dan Penyelemat Malaysia, Pasukan Gerakan Marin, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia dan Kementerian Kesihatan Malaysia.

Gambar: Harian Metro

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.