Categories
AGENDA NASIONAL

18 pemancing serta kru bot ditemui selamat, dua cedera

ALOR SETAR, 27 FEB: Pemancing dan kru yang dilaporkan hilang di perairan Langkawi selepas bot dinaiki mereka disyaki karam petang semalam ditemukan dalam keadaan selamat.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Kedah dan Perlis Laksamana Pertama Maritim Mohd Zawawi Abdullah berkata kesemua mangsa diselamatkan oleh sebuah bot nelayan tempatan.

“Alhamdulillah pada 11.45 malam tadi, kesemua 18 pemancing dan kru bot yang karam itu telah dapat diselamatkan oleh nelayan tempatan sekitar 3 petang di kira-kira 10 batu nautika barat Pulau Singa Besar.

“Kapal Maritim Tenggol dan juga Bot Penyelamat 5 yang juga berada di lokasi kejadian telah memindahkan atau mengambil semua 18 pemancing dan kru tersebut untuk dibawa ke jeti Maritim Malaysia di Bukit Malut, Langkawi,” katanya dalam sidang media malam ini.

Beliau berkata dua pemancing mengalami kecederaan iaitu seorang mungkin patah kaki manakala seorang lagi cedera sebelah di tangan kiri.

“Alhamdulillah, 16 lagi pemancing dan kru lain didapati sihat. Bagaimanapun, kita akan melakukan ujian kesihatan untuk mereka,” katanya sambil menasihati orang ramai yang ingin melakukan aktiviti di laut supaya sentiasa peka dengan keadaan cuaca dan memastikan kelengkapan keselamatan serta komunikasi mencukupi sebelum berbuat demikian.

Terdahulu, tekong utama Syed M Hidayat Syed Mohd Bakhir, 33, berkata bot itu sebenarnya membawa 13 pemancing dan dikendali oleh seorang tekong bersama empat kru.

Beliau bagaimanapun tidak turun ke laut dan telah digantikan dengan orang lain.

“Saya dapat berhubung dengan seorang kru selepas insiden itu dan dia memaklumkan mereka selamat selepas terapung selama enam jam di dalam laut apabila bot dinaiki karam pada 2 petang.

“Mereka kemudian diselamatkan oleh sebuah bot nelayan yang berada di kawasan itu dan kini dalam perjalanan ke Maritim Malaysia Langkawi,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini.

Beliau berkata bot itu keluar ke laut dari Langkawi pada Khamis dan sepatutnya pulang pada Sabtu.

Bagaimanapun, kru itu memaklumkan cuaca buruk telah menyebabkan ombak besar membadai bot tersebut menyebabkan ia hampir karam dan dimasuki air.

“Bot tersebut mempunyai satu unit telefon satelit yang boleh digunakan pada saat kecemasan,” katanya.

— BERNAMA

 

Categories
ADN BERITA UTAMA SELANGOR

ADN Tanjung Sepat sertai misi cari mangsa bot karam

SHAH ALAM, 10 OKT: Wakil rakyat Tanjung Sepat menyertai operasi mencari dan menyelamat (SAR) nelayan yang dikhuatiri lemas selepas bot yang dinaiki karam ketika merawai ikan di Pantai Batu Laut, kelmarin.

Borhan Aman Shah berkata operasi itu turut disertai Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Pasukan Polis Marin, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, Balai Polis Tanjung Sepat serta nelayan setempat.

“Saya menerima taklimat bermula jam 7.30 pagi dan menyertai operasi SAR sehingga jam 12.30 tengah hari semalam. Pada operasi berkenaan, pasukan penyelam bomba melakukan pencarian sehingga 20 meter ke dasar laut, namun masih gagal menemui sebarang petunjuk.

“Oleh itu, kita akan minta bantuan daripada Tentera Diraja Laut Malaysia kerana mereka mempunyai kepakaran. Berdasarkan maklumat, kawasan dasar laut tempat dipercayai hilang itu agak dalam dan airnya lebih keruh,” katanya ketika dihubungi.

Borhan berkata kejadian malang itu berlaku apabila nelayan yang juga warga emas berusia 66 tahun merawai ikan di Pantai Batu Laut bersama anaknya.

Bagaimanapun, beliau berkata anak mangsa terselamat selepas sempat berpaut pada pelampung sebelum jeritannya meminta tolong didengari pemancing berhampiran.

“Operasi akan diteruskan sehingga jam 6 petang ini (semalam), sekiranya masih gagal ditemui, kita akan sambung pencarian esok (hari ini),” katanya memaklumkan anak mangsa kini dirawat di Hospital Banting.

Categories
GLOBAL

Lima maut bot karam di Selatan Thailand

BANGKOK, 27 JULAI: Lima maut selepas bot yang dinaiki mereka terbalik dan karam akibat dibadai ribut berhampiran Pulau Koh Ngam di wilayah Chumphon, selatan Thailand, semalam.

thaiAgensi berita China Xinhua yang memetik jurucakap polis berkata, mayat empat mangsa wanita dan seorang lelaki ditemui di dalam bot yang karam itu.

Polis berkata, 11 lagi mangsa termasuk tiga kru bot yang disewa itu ditemui dalam keadaan terapung berhampiran kawasan kejadian, lapor BERNAMA.

Mereka diselamatkan pasukan polis marin, pada malam 26 Julai lalu.

Mangsa yang maut adalah sebahagian daripada sekumpulan 13 penduduk tempatan yang menyertai kursus menyelam dan bengkel fotografi bawah laut.

Categories
SELANGOR

Bot karam: 20 mangsa ditemui, 7 masih hilang

PELABUHAN KLANG, 20 JUN: Sejumlah 20 mangsa ditemui manakala tujuh lagi masih hilang dalam kejadian terbaharu bot pancung yang membawa 27 warga Indonesia yang karam di Beacon Api Gila, perairan Sepang hari ini.

Pengarah Operasi Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia Klang Leftenan Komander Maritim Mohd Hambali Yaakup berkata enam daripada mereka kini dirawat di Hospital Banting dan Sungai Buloh.

NSTP“Tiada mangsa lemas ditemui setakat ini, tujuh masih hilang, ” katanya dipetik Bernama.

Beliau berkata berdasarkan maklumat awal, bot pancung terbabit bertolak dari Morib, Banting pukul 3 pagi ini menuju ke Tanjung Balai, Indonesia.

Kejadian itu berlaku dalam tempoh 24 jam selepas tragedi bot karam yang membawa 97 pendatang warga Indonesia di perairan Sungai Air Hitam, Pulau Carey.

Sementara itu, Duta Besar Luar Biasa dan Berkuasa Penuh Kedutaan Indonesia di Malaysia Herman Prayitno dalam sidang akhbar sama berkata pihaknya sudah menghubungi waris keluarga seorang mangsa kejadian bot karam di perairan Sungai Air Hitam.

Herman menasihati semua rakyat Indonesia yang tinggal di Malaysia supaya tidak menggunakan laluan haram untuk pulang ke kampung halaman masing-masing bagi mengelak berlakunya sebarang tragedi.

Categories
SELANGOR

Bot Karam: 61 mangsa berjaya diselamatkan, 5 terkorban

SHAH ALAM 18 JUN: Seramai 61 orang mangsa berjaya diselamatkan setakat ini di dalam operasi mencari dan menyelamat insiden bot karam di kira-kira dua batu nautika dari Sungai Air Hitam di Pulau Carey malam tadi iaitu 48 lelaki, 12 wanita dan seorang kanak-kanak.

Manakala dilaporkan mangsa mati seramai 5 orang iaitu 4 lelaki dan 1 wanita.

Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia berkata operasi di lokasi kejadian masih dijalankan bagi mencari baki mangsa yang terlibat.

“Maklumat terkini berkenaan insiden akan dimaklumkan dari masa ke semasa,” tulis Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia di laman Facebooknya.

karamKetua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Azman Abd Razak berkata, bot seumpama itu biasanya boleh membawa penumpang hanya kira-kira 40 hingga 50 orang.

Katanya bagaimanapun siasatan lanjut akan dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar.

“Kita sedang menjalankan gerakan mengenal pasti punca kejadian, siapa pemilik sebenar bot tersebut, destinasi dan bagaimana proses perjalanan ini berlaku sehingga berlakunya kejadian ini… difahamkan semasa kejadian ada berlaku ribut,” katanya dipetik Bernama.

Beliau berkata mayat dihantar ke Hospital Besar Tengku Ampuan Rahimah manakala mereka yang terselamat disiasat oleh Kastam Diraja Malaysia dan Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Langat mengikut Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Penyuludupan Migran 2007.

Bot nelayan membawa 97 pendatang asing tanpa izin yang dilaporkan karam lewat tengah malam tadi telah ditemui di Muara Kuala Langat, hari ini.

Bot itu dipercayai dalam perjalanan dari Kampung Ayer Hitam Pulau Carey menuju ke Aceh.

Gerakan mencari dan menyelamat masih diteruskan melibatkan APMM, Jabatan Bomba dan Penyelemat Malaysia, Pasukan Gerakan Marin, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia dan Kementerian Kesihatan Malaysia.

Gambar: Harian Metro

EZY