Categories
SELANGOR

4 daerah di Selangor catat IPU tidak sihat

Oleh: LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 25 JUN: Lima daerah di Selangor terus mencatatkan kualiti udara sederhana dan tidak sihat ekoran jerebu yang melanda di beberapa negeri ketika ini.

Menurut laman web Jabatan Alam Sekitar, Banting mula mencatatkan penurunan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) tidak sihat bermula awal pagi tadi dengan bacaan 112, berbanding semalam 120.

jerebu di lembah klangSementara itu, Pelabuhan Klang pula mencatatkan peningkatan sejak awal pagi ini dengan bacaan 112, Shah Alam (106), Petaling Jaya (104) dan Kuala Selangor (97).

Ketika ini, negeri yang turut mengalami jerebu adalah Johor, Kedah, Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Perak, Pulau Pinang, Terengganu, Sabah dan Sarawak.

Bagi Wilayah Persekutuan, beberapa daerah turut mengalami kualiti udara tidak sihat iaitu Batu Muda (101), Cheras (107) dan Putrajaya (113).

Pencemaran jerebu yang merentas sempadan negara ketika ini berikutan musim Monsun Barat Daya di jangka berterusan sehingga September.

Lingkaran asap jerebu sederhana daripada kebakaran di Wilayah Riau, Sumatera Tengah, Indonesia dan tiupan angin dari arah barat daya membawa asap jerebu ke kawasan tengah pantai barat Semenanjung Malaysia.

Bacaan IPU pada tahap 5-50 adalah baik, 51-100 (sederhana), 101-200 (tidak sihat), 201-300 (sangat tidak sihat) dan melebihi 300 (berbahaya).

Orang ramai boleh menyemak status IPU di kawasan masing-masing dengan melayari portal http://apims.doe.gov.my.

-NFN-

Leave a Reply

Your email address will not be published.