Categories
NASIONAL

Empat kawasan di Selangor kembali catat IPU tidak sihat

Oleh: LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 3 OKT: Empat kawasan di Selangor kembali mencatatkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) berwarna kuning iaitu tidak sihat, hari ini.

Laman sesawang Jabatan Alam Sekitar (JAS) setakat jam 9 pagi tadi melaporkan Pelabuhan Klang, Shah Alam, Banting dan Petaling Jaya mencatatkan bacaan melebihi 100.

jerebu di lembah klangKecuali Kuala Selangor yang kekal dengan catatan 83, Pelabuhan Klang pula mencatatkan bacaan 128, Shah Alam (120) sementara Petaling Jaya dan Banting masing-masing 108.

Beberapa kawasan lain turut mencatatkan bacaan tidak sihat iaitu Batu Muda, Kuala Lumpur dengan 117 dan Putrajaya (113).

Bandaraya Melaka dan Bukit Rambai, Melaka terus kekal dengan bacaan tidak sihat iaitu 122 dan 119 sementara beberapa kawasan di Negeri Sembilan juga dikategorikan tidak sihat iaitu Nilai (134), Seremban (130) dan Port Dickson (106).

Bagaimanapun, keadaan jerebu di Johor kelihatan pulih apabila hanya Pasir Gudang berada di zon tidak sihat iaitu dengan tahap bacaan 107.

Secara kesuluruhannya, majoriti kawasan mencatatkan bacaan sederhana sementara baki yang lain dikategorikan sebagai sihat.

Bacaan IPU antara 0 dan 50 adalah baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 hingga 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat) dan 300 ke atas (berbahaya).

-NFN-

Categories
NASIONAL

IPU Shah Alam dan Pelabuhan Klang sangat tidak sihat

Oleh: NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 27 SEP: Shah Alam mencatatkan Indeks Pencemaran Udara (IPU) sangat tidak sihat ekoran mencecah 243 setakat jam 8.00 pagi.

Ia diikuti dengan Pelabuhan Klang (229) dan Batu Muda, Kuala Lumpur 224.

Menurut portal Jabatan Alam Sekitar, Banting mencatatkan IPU tidak sihat iaitu 178, Kuala Selangor (164) dan Petaling Jaya (199).

jerebu di lembah klangBacaan itu menunjukkan peningkatan berbanding jam 6.00 pagi.

Manakala, 12 kawasan lain turut mencatatkan IPU tidak sihat termasuk Putrajaya, Sarawak, Melaka, Negeri Sembilan, Pahang dan Perak.

Selain itu, 24 kawasan lain mencatatkan IPU sederhana.

IPU antara 0 dan 50 adalah baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 hingga 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat) dan 300 ke atas (berbahaya).

Orang ramai boleh merujuk portal apims.doe.gov.my untuk mengetahui bacaan IPU semasa.

Sementara itu, Ketua Pengarah Alam Sekitar, Datuk Halimah Hassan, berkata bacaan IPU tidak ada hubungan secara terus dengan ketampakan kerana ia dikira berdasarkan purata kepekatan PM-10 zarah terampai.

“Particulate Matter (zarah terampai) bersaiz kurang daripada 10 mikron dalam tempoh 24 jam. Purata 24 jam mengambil kira standard protokol antarabangsa bagi pendedahan kepada kesihatan awam,” katanya kepada Bernama.

Justeru, ukuran ketampakan di kawasan yang mempunyai penglihatan kabur tidak boleh diukur setara dengan bacaan IPU, kata Halimah.

-NFN-

Categories
NASIONAL

Dua kawasan catat IPU sangat tidak sihat

Oleh: SYASYA SUFIAN

SHAH ALAM, 17 SEP: Keadaan cuaca semakin membimbangkan apabila dua kawasan mencatatkan IPU sangat tidak sihat iaitu hampir mencecah 200 dan 12 kawasan lain mencatatkan tidak sihat sehingga jam 10 pagi tadi.

Menurut Portal Jabatan Alam Sekitar, dua bacaan tertinggi dicatatkan di Sarawak iaitu Kuching (209) dan Samarahan (207).

Manakala, keadaan jerebu di beberapa kawasan lain mencatatkan bacaan IPU tidak sihat iaitu Kapit (135), Sarikei (111), Sibu (105), Sri Aman (129), Banting (114), Shah Alam (105) dan Putrajaya (105).

Jerebu-Shah-AlamBagaimanapun, Melaka dan Negeri Sembilan menjadi kawasan terbaharu yang mencatat bacaan IPU tidak sihat iaitu di Bandaraya Melaka (120), Bukit Rambai (124), Nilai (107), Port Dickson (109) dan Seremban (114)

Selain itu, 24 kawasan lain mencatatkan udara sederhana dan 12 kawasan selebihnya mencatatkan udara sihat.

IPU antara 0 dan 50 dikategorikan baik, 51 hingga 100 adalah sederhana, 101 hingga 200 tidak sihat, 201 hingga 300 sangat tidak sihat dan 300 ke atas berbahaya.

Orang ramai boleh merujuk portal http://apims.doe.gov.my untuk mengetahui bacaan IPU semasa.

-NFN-

Categories
SELANGOR

4 daerah di Selangor catat IPU tidak sihat

Oleh: LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 25 JUN: Lima daerah di Selangor terus mencatatkan kualiti udara sederhana dan tidak sihat ekoran jerebu yang melanda di beberapa negeri ketika ini.

Menurut laman web Jabatan Alam Sekitar, Banting mula mencatatkan penurunan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) tidak sihat bermula awal pagi tadi dengan bacaan 112, berbanding semalam 120.

jerebu di lembah klangSementara itu, Pelabuhan Klang pula mencatatkan peningkatan sejak awal pagi ini dengan bacaan 112, Shah Alam (106), Petaling Jaya (104) dan Kuala Selangor (97).

Ketika ini, negeri yang turut mengalami jerebu adalah Johor, Kedah, Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Perak, Pulau Pinang, Terengganu, Sabah dan Sarawak.

Bagi Wilayah Persekutuan, beberapa daerah turut mengalami kualiti udara tidak sihat iaitu Batu Muda (101), Cheras (107) dan Putrajaya (113).

Pencemaran jerebu yang merentas sempadan negara ketika ini berikutan musim Monsun Barat Daya di jangka berterusan sehingga September.

Lingkaran asap jerebu sederhana daripada kebakaran di Wilayah Riau, Sumatera Tengah, Indonesia dan tiupan angin dari arah barat daya membawa asap jerebu ke kawasan tengah pantai barat Semenanjung Malaysia.

Bacaan IPU pada tahap 5-50 adalah baik, 51-100 (sederhana), 101-200 (tidak sihat), 201-300 (sangat tidak sihat) dan melebihi 300 (berbahaya).

Orang ramai boleh menyemak status IPU di kawasan masing-masing dengan melayari portal http://apims.doe.gov.my.

-NFN-

Categories
NASIONAL

Kes Rayuan Liwat II Ditangguh, Anwar Bantah Pelantikan Shafee

anwar mahkamah

PUTRAJAYA, 22 JULAI : Mahkamah Rayuan Putrajaya hari ini bersetuju untuk menangguhkan prosiding rayuan Kerajaan Malaysia terhadap keputusan pembebasan Datuk Seri Anwar Ibrahim daripada tuduhan meliwat bekas pembantu peribadinya, Mohd Saiful Bukhari Azlan.

Keputusan itu dibuat tiga panel hakim, Datuk Ramly Ali, Datuk Tengku Maimun Tuan Mat dan Datuk Mohd Zawawi Salleh pagi tadi berikutan peguam utama Anwar, Karpal Singh disahkan tidak sihat dan sedang menerima rawatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL) kerana sakit tulang belakang.

Mahkamah menetapkan 1 Ogos ini untuk pengurusan kes.

Anwar tiba di perkarangan mahkamah kira-kira pukul 9 pagi tadi dengan ditemani isterinya, Datin Seri Wan Azizah Ismail dan diiringi Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli serta Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail.

Sementara itu, Anwar ketika ditemui di luar kamar mahkamah berkata, pihaknya menghantar notis bagi membantah keputusan Kerajaan yang melantik peguam, Datuk Shafee Abdullah sebagai Ketua Pendakwaraya dalam kes ini.

“Pelakuannya tidak profesional sejak 1998.

“Kita beri notis untuk membantah keputusan Kerajaan Umno-BN kerana melantik Datuk Shafee Abdullah yang sememangnya telah dituduh terlibat dalam kes prosiding ini sejak awal.

“Ketiadaan pendakwaraya yang sesuai untuk meneruskan perbicaraan ini tidak boleh dijadikan alasan bagi melantik seseorang yang terlibat dengan perbicaraan menentang saya di dalam dan luar mahkamah,” kata Ketua Pembangkang itu merujuk peranan Shafee dalam kes liwat I yang menyaksikan beliau dibebaskan Mahkamah Persekutuan pada 2004.

Tegas Anwar, Ram Karpal Singh akan menyerahkan notis ini kepada mahkamah bagi membantah pelantikan Shafee.

“Kita tidak boleh memandang ringan perkara tersebut kerana saya percaya ada motif politik yang besar dalam kes ini.

“Peguam Negara tidak mahu selesaikan kes lain, tetapi cuba hendak mengganggu karier politik saya,” katanya lagi.