Categories
NASIONAL

Ibu Dyana akan saman pemfitnah

IPOH, 3 JUN: Ibu Dyana Sofya Mohd Daud, Yammy Samat akan mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak yang memfitnah beliau berhubung kontrak, aset dan kekayaan yang didakwa dimilikinya.

Yammy, 59, berkata demikian ekoran tersebarnya pelbagai maklumat di laman sosial dan menyifatkan tuduhan itu amat berat serta meminta pihak yang menyebarkan fitnah itu mengemukakan bukti.

Katanya, dakwaan itu disifatkan berniat jahat dan fitnah yang bertujuan menjatuh serta menimbulkan persepsi buruk masyarakat terhadap beliau.

image“Kenyataan di laman sosial itu tidak benar. Jika benar, saya cabar kemukakan bukti dan kalau profesional buat aduan mengikut saluran betul bukan membuat tuduhan melulu.

“Saya cabar kemukakan fakta seperti didakwa bukan hanya membuat tuduhan di laman sosial,” katanya yang dipetik daripada Sinar Harian.

Terdahulu, laman Facebook Ahli Parlimen Langkawi, Datuk Ir Nawawi Ahmad, berkongsi maklumat yang mendakwa Yammy memiliki pelbagai aset dan memperoleh pinjaman kewangan daripada Majlis Amanah Rakyat (MARA).

Dalam muat naik status terbaharu Nawawi, beliau mendakwa, semua tuduhan itu diterima menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) dan berkongsi semua maklumat berkenaan.

Maklumat yang dikongsi itu antaranya menyebut Yammy menerima enam permit teksi di Ipoh, memiliki kawasan balak seluas 600 hektar di Kroh, rumah kedai di Pusing dan rumah berkembar di Gopeng, di samping memperoleh pinjaman MARA berjumlah RM750,000.

TELUKINTANDYANA_200514_TMIAFIF_016_yammy_540_360_100Selain itu, Yammy juga didakwa mendapat permit mengimport (AP) beras Siam dan pajakan 40 hektar tanah lombong besi di Kinta.

Kos pelajaran tiga anak Yammy juga dikatakan ditanggung Yayasan Menteri Besar Perak sejak mereka berusia tujuh tahun hingga melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi awam (IPTA).

Yammy berkata, beliau menyerahkan kepada peguamnya untuk mengambil tindakan undang-undang berkenaan semua tuduhan itu.

“Saya sudah membuat laporan di Balai Polis Kampung Tawas petang semalam (kelmarin),” katanya.

Katanya, dakwaan yang dikongsi Nawawi bahawa beliau memegang jawatan Setiausaha Wanita Umno Bahagian tidak benar kerana Yammy hanya ahli biasa.

Leave a Reply

Your email address will not be published.