Categories
SELANGOR

Jerebu di Selangor makin pulih, 4 daerah catat IPU baik

Oleh: NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 30 JUN: Keadaan jerebu yang melanda Selangor semakin pulih berikutan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) mencatatkan tahap baik di empat daerah negeri itu setakat jam 6 hingga 10 pagi tadi.

Menurut laman sesawang Jabatan Alam Sekitar (JAS), empat daerah iaitu Pelabuhan Klang, Kuala Selangor, Petaling Jaya dan Shah Alam masing-masing berada di keadaan baik.

Manakala, hanya satu daerah mencatatkan bacaan IPU sederhana iaitu Banting dengan bacaan 55 ke 52.

Jerebu-Shah-AlamBacaan IPU baik menunjukkan Pelabuhan Klang (33), Kuala Selangor (23), Petaling Jaya (35) dan Shah Alam (32).

Manakala, negeri lain yang turut mengalami jerebu baru-baru ini juga pulih termasuk Wilayah Persekutuan, Terengganu, Melaka, Johor, Kedah, Pahang, Perak dan Sarawak.

Bagaimanapun Melaka dan Negeri Sembilan masih mencatatkan IPU sederhana.

Bacaan IPU antara 0 dan 50 dikategori sebagai baik, 51 hingga 10 (sederhana), 101 hingga 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat) dan 300 ke atas (berbahaya).

Orang ramai boleh merujuk laman sesawang http://www.doe.gov.my untuk mengetahui bacaan IPU semasa di kawasan masing-masing.

Pencemaran jerebu yang merentas sempadan negara berikutan musim Monsun Barat Daya dijangka berterusan sehingga September.

Lingkaran asap jerebu sederhana daripada kawasan Wilayah Riau, Sumatera Tengah, Indonesia dan tiupan angin dari arah barat daya membawa asap jerebu ke kawasan tengah Pantai Barat Semenanjung Malaysia.

-NFN-

Leave a Reply

Your email address will not be published.