Categories
SELANGOR

Kes BSM: JAIS diarah dapat nasihat Exco & Penasihat Undang-Undang

Oleh :LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 13 JUN: Kerajaan Negeri menyambut baik kenyataan Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail yang memutuskan tiada kes terhadap Persatuan Bible Malaysia (BSM) dan tiada pendakwaan akan dibuat.

Untuk itu, Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, Kerajaan Negeri akan membantu Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) memulangkan semua barang kes berkenaan.

Jais-logo kecikKatanya, keputusan itu berdasarkan nasihat Penasihat Undang-Undang Negeri untuk mengambil langkah-langkah yang perlu mengikut perundangan dalam mengendali barang kes yang diambil oleh JAIS daripada BSM.

“Sehubungan itu, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Islam, Permodenan Pertanian dan Pembangunan Desa, Salehen Mukhyi dan Penasihat Undang-undang Kerajaan Selangor, Datuk Nik Suhaimi Nik Sulaiman diarahkan membantu JAIS.

“Salehen Mukhyi dan JAIS juga diminta untuk mengadakan perbincangan lanjut dengan pihak terlibat khususnya BSM bagi menyelesaikan perselisihan pendapat secara baik dan adil demi keharmonian beragama yang dituntut dalam Islam dan agama-agama lain.

“Kerajaan Negeri juga berterima kasih kepada Pejabat Peguam Negara di atas nasihat itu dan juga kepada BSM yang memberikan kerjasama yang baik kepada JAIS ketika siasatan berjalan,” katanya dalam satu kenyataan.

Dalam satu kenyataan, Abdul Gani berkata kes rampasan Bible itu ditutup dan terserah kepada JAIS bagi mengambil tindakan selanjutnya mengikut lunas undang-undang.

Beliau berkata Jabatan Peguam Negara meneliti fakta dan keterangan yang terdapat dalam kertas siasatan dan memutuskan buku-buku yang dirampas bukan tulisan yang diterbitkan bawah seksyen 9(1)(a) Enakmen Bukan Islam (Kawalan dan Perkembangan Di Kalangan Orang Islam) 1988.

Pada awal tahun ini, JAIS bertindak mengambil lebih 300 kitab Bible dalam Bahasa Melayu daripada premis BSM di Petaling Jaya.

Kerajaan Negeri kemudian merujuk kepada Peguam Negara (AG) atas nasihat pegawai undang-undang negeri sementara menunggu sebarang keputusan selanjutnya.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.