Categories
SELANGOR

Kualiti air lombong dibentang dalam sidang DNS

Oleh: NAEEM RAFFI

SHAH ALAM, 13 JUN: Kerajaan Negeri akan mengemukakan penyata berkenaan alternatif air lombong sebagai sumber air tambahan Selangor untuk dibentang dan dibahas pada sesi Sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) yang bermula 16 Jun ini.

Speaker DNS, Hannah Yeoh, berkata Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan Selangor (SELCAT) sudah memanggil satu pendengaran berhubung perkara itu, baru-baru ini.

“Kita sudah mendengar aduan daripada ahli parlimen berkenaan kekhuatiran mereka terhadap sumber air lombong yang dipam ke dalam sungai (Sungai Selangor) yang diragui keselamatannya untuk kegunaan pengguna Selangor.

ISU AIR SELANGOR BARU“Kita juga sudah mendengar taklimat daripada Pengarah Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) dan dua saksinya dari Jabatan Kimia dan Jabatan Kesihatan Selangor,” katanya pada satu sidang media di Pejabat Speaker DNS, di Bangunan Annex, di sini, hari ini.

Selangor Kini difahamkan, dua jabatan terbabit memberitahu SELCAT bahawa air lombong yang dipam ke dalam sungai Selangor selamat digunakan.

Pada 10 Jun lalu, Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan Selangor (SELCAT) memanggil satu pendengaran berhubung kualiti air lombong yang diragui keselamatannya selepas dibangkitkan beberapa pihak.

Mesyuarat yang berlangsung pada jam 10 pagi dan berakhir dua jam kemudian itu membabitkan empat saksi iaitu Exco Belia dan Sukan, Insfrastruktur dan Kemudahan Awam, Dr Ahmad Yunus Hairi; Pengarah LUAS, Md Khairi Selamat dan dua Ahli Parlimen, Wong Chen (Kelana Jaya) dan Charles Santiago (Klang).

Bagaimanapun Dr Yunus tidak turut serta dalam pendengaran itu kerana menghadiri Majlis Dialog Belanjawan 2015 di SACC.

Charles sebelum ini mendesak Kerajaan Negeri mendedahkan analisa kandungan air lombong itu ekoran timbul beberapa kebimbangan berkenaan keselamatan pengguna di Lembah Klang.

Beliau juga bertindak untuk menyaman Kerajaan Negeri atas tindakan menggunakan air lombong sebagai sumber bekalan ke lembangan empangan Selangor untuk penduduk Lembah Klang ketika berlaku krisis bekalan air, baru-baru ini.

khalidMenteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dalam reaksinya berkata, tiada keperluan untuk Charles mengambil tindakan undang-undang kerana Kerajaan Negeri ‘berbesar hati’ untuk mendedahkan dapatan analisa yang menunjukkan bahawa sumber air dari kolam lombong itu selamat untuk diminum.

“Kami jalankan ujian setiap minggu. Kementerian Kesihatan, negeri dan konsesi airsemuanya melakukan ujian,” kata Abdul Khalid dalam satu kenyataan media, semalam (12 Jun).

Khalid berkata, keputusan ujian itu juga boleh dilihat dengan mengakses laman web LUAS.

-NFN-

Leave a Reply

Your email address will not be published.