Categories
AGENDA NASIONAL PILIHAN MINGGUAN

Isu nyahwarta Hutan Simpan Kuala Langat Utara dibawa ke Selcat

SHAH ALAM, 8 SEPT: Isu penyahwartaan sebahagian Hutan Simpan Kuala Langat Utara (HSKLU) akan dibawa ke sidang Jawatankuasa Pilihan Khas Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan (Selcat).

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari juga menegaskan Kerajaan Negeri mematuhi semua prosedur dan tatacara undang-undang sepanjang proses penyahwartaan sebelum ini.

“Sebagai sebuah kerajaan berteras prinsip akauntabiliti, Kerajaan Negeri akan menulis surat kepada Speaker Dewan Negeri Selangor (Ng Suee Lim) untuk mengadakan sidang Selcat bagi menjawab sebarang isu dibangkitkan berkenaan penyahwartaan sebelum ini,” katanya dalam kenyataan pada 8 September.

Terdahulu, Amirudin mengumumkan keputusan Kerajaan Negeri membatalkan keputusan menyahwarta HSKLU kecuali 104 ekar untuk pemilikan tanah Kampung Orang Asli Busut Baru.

Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri juga mempertimbang sebahagian kecil lagi kawasan kekal dinyahwarta untuk jajaran projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).

Hutan gantian seluas 1,436 ekar di Sungai Panjang, Sabak Bernam; Ampang Pechah, Hulu Selangor dan Bukit Broga, Hulu Langat turut kekal sebagai hutan simpan kekal.

Kawasan itu dicadang menggantikan 1,326 ekar di HSKLU yang dinyahwarta.

Categories
AGENSI SELANGOR

Selcat, Selangor contoh pada negeri lain

SHAH ALAM, 20 FEB: Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan (Selcat) yang ditubuhkan Dewan Negeri Selangor (DNS) menjadi contoh serta ikutan pada negeri lain, kata pengerusinya.

Ng Suee Lim yang juga speaker DNS berkata beliau berbangga apabila kehadiran wakil dewan undangan negeri dari Kelantan, Terengganu, Negeri Sembilan, Perlis dan Melaka memenuhi sesi pendengaran awam penilaian prestasi PBT dan ahli majlis oleh Selcat hari ini.

“Wakil berkenaan datang berkongsi pengalaman Selangor menjalankan sesi tersebut.

“Maka kita bertekad supaya negeri ini sentiasa berada di depan serta menjadi rujukan sekali gus membuktikan kita mengungguli pelbagai bidang termasuk perundangan,” katanya pada sidang media di Bangunan Annex di sini hari ini.

Hadir sama anggota Selcat, Ahli Dewan Negeri (ADN) Hulu Kelang Saari Sungib, ADN Banting Lau Weng San, ADN Bandar Utama Jamaliah Jamaluddin, ADN Sungai Air Tawar Rizam Ismail dan ADN Sijangkang Dato’ Dr Ahmad Yunus Hairi.

Categories
PBT SELANGOR

Keputusan peringkat PBT bukan kuasa mutlak YDP

SHAH ALAM, 20 FEB: Keputusan pada peringkat pihak berkuasa tempatan (PBT) bukan dibuat secara mutlak oleh yang dipertua (YDP), sebaliknya adalah keputusan hasil muafakat, kata YDP Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ).

“Jadi tidak timbul isu YDP atau ahli majlis berkuasa di dalam sesebuah pentadbiran, ini kerana sebarang usul akan dibahas serta diputuskan bersama,” kata Noraini Roslan.

Sudah berkhidmat hampir 30 tahun, beliau berkata MPSJ sentiasa membuka ruang kepada Ahli Dewan Negeri (ADN) berkomunikasi dengan PBT sekiranya mempunyai sebarang masalah.

“Pada masa sama seramai 24 ahli majlis MPSJ boleh membantu ADN dan bertindak sebagai ejen sekiranya terdapat isu ingin dikemukakan. Mereka (ADN) juga boleh hubungi kami pada bila-bila masa,” katanya yang juga saksi pada sesi pendengaran awam penilaian prestasi PBT dan ahli majlis oleh Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan Kebertanggungjawaban dan Ketelusan (Selcat) di Bangunan Annex di sini hari ini..

Turut dipanggil ialah YDP Majlis Daerah Kuala Langat Mohamad Zain A Hamid dan Datuk Bandar Petaling Jaya Dato’ Mohd Sayuthi Bakar.

Ia dipengerusikan ADN Sekinchan Ng Suee Lim serta anggotanya ADN Hulu Kelang Saari Sungib, ADN Banting Lau Weng San, ADN Bandar Utama Jamaliah Jamaluddin, ADN Sungai Air Tawar Rizam Ismail dan ADN Sijangkang Dato’ Dr Ahmad Yunus Hairi.

Categories
EXCO SELANGOR

Ganti ahli majlis gagal tunjuk prestasi kerja memuaskan

SHAH ALAM, 20 FEB: Ahli majlis pihak berkuasa tempatan (PBT) Selangor yang gagal menunjukkan prestasi kerja memuaskan akan diganti, kata EXCO kerajaan tempatan.

Ng Sze Han berkata, Kerajaan Negeri memandang serius dakwaan segelintir ahli majlis tidak tahu skop kerja kerana ia akan menjejaskan kualiti perkhidmatan PBT.

“Sepatutnya tidak timbul isu berkaitan kerana mereka telah menjalani kursus namun secara kesuruhannya prestasi 288 ahli majlis di seluruh negeri adalah baik malah kita banyak melaksanakan reformasi dalam PBT,” katanya.

Beliau menjadi saksi sesi pendengaran awam ‘Penilaian Prestasi PBT dan Ahli Majlis Negeri Selangor’ oleh Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan Kebertanggungjawaban dan Ketelusan (Selcat) di Bangunan Annex di sini hari ini.

Selcat dipengerusikan Ahli Dewan Negeri (ADN) Sekinchan Ng Suee Lim dan ahli jawatankuasa terdiri ADN Hulu Kelang Saari Sungib, ADN Banting Lau Weng San, ADN Bandar Utama Jamaliah Jamaluddin, ADN Sungai Air Tawar Rizam Ismail dan ADN Sijangkang Dato’ Dr Ahmad Yunus Hairi.

Categories
PBT SELANGOR

MBPJ cadang KPI ahli majlis PBT

SHAH ALAM, 20 FEB: Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) bercadang melaksanakan indeks prestasi utama (KPI) bagi memantau gerak kerja ahli majlis pihak berkuasa tempatan (PBT), kata datuk bandarnya.

Dato’ Mohd Sayuthi Bakar berkata, langkah itu bagi memastikan mereka menjalankan tanggungjawab dengan baik selain meningkatkan kualiti penyampaian.

“Sudah tiba masanya KPI diperkenalkan dan cadangan ini perlu dipertimbangkan.

“Seorang Ahli Dewan Negeri (ADN) tidak mampu melaksanakan semua perkara jadi ahli majlis perlu membantu menyelesaikan aduan penduduk,” katanya.

Beliau menjadi saksi sesi pendengaran awam ‘Penilaian Prestasi PBT dan Ahli Majlis Negeri Selangor’ oleh Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan Kebertanggungjawaban dan Ketelusan (Selcat) di Bangunan Annex di sini hari ini.

Selcat dipengerusikan ADN Sekinchan Ng Suee Lim dan ahli jawatankuasa terdiri ADN Hulu Kelang Saari Sungib, ADN Banting Lau Weng San, ADN Bandar Utama Jamaliah Jamaluddin, ADN Sungai Air Tawar Rizam Ismail dan ADN Sijangkang Dato’ Dr Ahmad Yunus Hairi.

Categories
AGENSI SELANGOR

Ahli majlis digesa kerap turun padang, dengar masalah penduduk

SHAH ALAM, 20 FEB: Ahli majlis pihak berkuasa tempatan (PBT) digesa kerap turun padang bagi mendengar dan menyelesaikan masalah penduduk.

Wakil penduduk Kawasan Rukun Tetangga (KRT) SS25A Petaling Jaya, Lim Chin Chye berkata ahli majlis perlu menggunakan pelbagai medium untuk berkomunikasi bukan bergantung kepada media sosial atau elektronik sahaja.

“Penduduk Petaling Jaya ada pelbagai lapisan umur dan latar belakang pendidikan malah ada yang lebih gemar berinteraksi secara langsung dengan ahli majlis,” katanya.

Beliau menjadi saksi sesi pendengaran awam ‘Penilaian Prestasi PBT dan Ahli Majlis Negeri Selangor’ oleh Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan Kebertanggungjawaban dan Ketelusan (Selcat) di Bangunan Annex di sini, hari ini.

Selcat dipengerusikan Ahli Dewan Negeri (ADN) Sekinchan Ng Suee Lim manakala ahli jawatankuasa terdiri ADN Hulu Kelang Saari Sungib, ADN Banting Lau Weng San, ADN Bandar Utama Jamaliah Jamaluddin, ADN Sungai Air Tawar Rizam Ismail dan ADN Sijangkang Dato’ Dr Ahmad Yunus Hairi.

Sementara itu wakil penduduk Zon 5 Damansara Utama, Habeeb Rahman Anwardeen berkata ahli majlis berperanan sebagai penghubung antara penduduk dengan PBT.

“Ahli majlis perlu menjadi lebih interaktif dan senang dihubungi persatuan penduduk pada bila-bila masa,” katanya.

Categories
PBT SELANGOR

Elaun ahli majlis wajar dinaikkan, pastikan prestasi meningkat

SHAH ALAM, 20 FEB: Pengerusi persatuan penduduk mencadangkan kenaikan elaun ahli majlis kerana beban tugas bertambah serta perlu menjaga semakin luas kawasan pentadbiran.

Ir A B Naicker berkata kadar elaun diterima ahli majlis ketika ini tidak setimpal kerana perlu menyelesaikan pelbagai masalah penduduk pada kadar segera.

“(Elaun) sedia ada memang tidak patut kerana RM2,500 gaji seorang kerani. Ahli majlis perlu tanggung semua masalah tambahan,” katanya mewakili Rukun Tetangga SS17, Subang Jaya.

Pandangan sama turut diberikan seorang lagi saksi, Abu Bakar Abdullah mewakili Persatuan Penduduk Taman Wira, Banting mencadangkan kenaikan elaun ahli majlis RM5,000 sebulan.

Beliau berharap ahli majlis lebih proaktif menyelesaikan masalah jika kenaikan itu dilaksanakan memandangkan sebelum ini pihaknya terpaksa berurusan terus dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi membolehkan tindakan diambil segera.

Kedua-dua saksi bercakap pada Sesi Pendengaran Awam Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan (Selcat) menjawab pertanyaan pengerusi Ng Suee Lim sama ada elaun ahli majlis kini memadai di Bangunan Annex, di sini hari ini.

Sebelum itu, kesemua tujuh pengerusi penduduk bersetuju ahli majlis perlu menjalinkan kerjasama erat dengan penduduk bagi menyampaikan cadangan sebelum PBT melaksanakan sebarang polisi.

Categories
ADN SELANGOR

PBT disaran pamer agenda mesyuarat bulanan lebih awal

SHAH ALAM, 20 FEB: Ketelusan di peringkat pihak berkuasa tempatan (PBT) boleh dipertingkatkan dengan memaparkan agenda mesyuarat bulanan lebih awal seperti dipraktikkan di Australia, kata Ahli Dewan Negeri (ADN) Bukit Gasing.

R Rajiv berkata langkah itu membolehkan semua pihak seperti ADN atau badan bukan kerajaan (NGO) mengemukakan pandangan bagi memastikan keputusan lebih baik dibuat.

“Saya ucapkan tahniah kepada Selangor kerana menjadi negeri pertama mewajibkan siaran langsung untuk mesyuarat penuh PBT.

“Cadangan agenda mesyuarat bulanan dipamerkan lebih awal seperti tiga hari memberi ruang kepada pihak mempunyai input mengemukakannya kepada ahli majlis. Ini boleh meningkatkan penglibatan rakyat sebagai pembuat keputusan,” katanya sebagai saksi Sesi Pendengaran Awam Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan (SELCAT) di Bangunan Annex di sini hari ini.

Rajiv berkata setakat ini beliau tidak mempunyai masalah dengan ahli majlis dan sejak mula menjadi ADN pada 2013 turut memberikan penarafan kepada ahli majlis mengikut prestasi tanpa mengira parti politik walaupun berbeza dengan kriteria ditetapkan di peringkat ahli parlimen.

Categories
PBT SELANGOR

Selcat: Penduduk puas hati aduan kepada PBT cepat selesai

SHAH ALAM, 20 FEB: Majoriti wakil persatuan penduduk pada sesi pendengaran awam penilaian prestasi pihak berkuasa tempatan (PBT) berpuas hati dengan prestasi agensi berkenaan.

Wakil Persatuan Penduduk Taman Wira, Abu Bakar Abdullah berkata aduan kepada Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL) mendapat maklum balas sekurang-kurangnya dalam tempoh dua hari dan ia adalah reaksi terpantas.

“Contoh aduan dikemukakan ialah anjing liar dan masalah longkang, aduan diselesaikan dengan kadar segera. Walaupun berbeza jabatan tetapi mereka peka masalah diadukan penduduk,” katanya.

Sementara itu wakil Persatuan SJ Wangsa Baiduri, Haneef Gordon pula memuji sistem Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) yang dianggap baik serta mudah digunakan orang awam.

“MPSJ membina hubungan baik dengan masyarakat namun sebaliknya ahli majlis kurang berinteraksi, dan mereka perlu lebih strategik dan rapat dengan penduduk,” katanya.

Mereka diantara saksi yang hadir bagi sesi pendengaran awam penilaian prestasi PBT dan ahli majlis oleh Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan (Selcat).

Pada sesi itu, seramai tujuh saksi wakil persatuan penduduk di kawasan MPSJ, MDKL dan Majlis Bandaraya Petaling Jaya dipanggil.

Turut hadir ialah Pengerusi Selcat, Ng Suee Lim dan ahli jawatankuasanya termasuk Ahli Dewan Negeri (ADN) Hulu Kelang Saari Sungib, ADN Banting Lau Weng San, ADN Bandar Utama Jamaliah Jamaluddin, ADN Sungai Air Tawar Rizam Ismail dan ADN Sijangkang Dato’ Dr Ahmad Yunus Hairi.

Categories
ADN BERITA UTAMA SELANGOR

Isu banjir Seri Muda akan dibawa ke Selcat

SHAH ALAM, 31 JAN: Isu banjir yang berulang di Taman Seri Muda, Seksyen 25 di sini akan diusulkan kepada Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan (Selcat) untuk tindakan susulan.

Ahli Dewan Negeri Kota Kemuning V Ganabatirau berkata pihaknya sedang menyiapkan kertas kerja bagi mengumpul maklumat sebelum dibawa ke jawatankuasa terbabit.

“Saya sudah berbincang dengan pengerusi Selcat (Ng Suee Lim) dan beliau setuju untuk siasat serta selesaikan perkara ini secepat mungkin bagi mengelakkan penduduk dipindahkan ke pusat pemindahan sementara seperti tahun lalu,” katanya kepada SelangorKini.

Tidak menafikan insiden terbabit ekoran hujan lebat, namun beliau berkata sikap pihak tidak bertanggungjawab membuang sampah ke dalam longkang mengganggu sistem saliran.

Pada 29 Januari lalu, Taman Seri Muda dinaiki air susulan hujan lebat berterusan sejak awal pagi, meskipun semua pam berfungsi dengan skala maksimum.

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Isu Taman Air Manis: SELCAT bakal siapkan penyata lengkap

OLEH ZAIM BADRUL HISHAM

SHAH ALAM, 8 MEI: Jawatan Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan (SELCAT) akan bermesyuarat dalam masa terdekat bagi menyiapkan penyata lengkap berhubung projek pembangunan bersepadu di Taman Air Manis.

Pengerusinya, Ng Suee Lim berkata, SELCAT akan membuat penyata lengkap yang mengandungi penemuan isu secara keseluruhan, punca kelemahan dan syor serta cadangan terhadap isu terbabit.

Katanya, penyata terbabit akan dibentangkan pada persidangan dewan pada akhir Julai jika ia sempat disiapkan.

“Inilah cara dan prosedur SELCAT mendendalikan pendengaran awam, tujuannya tidak lain tidak bukan adalah untuk merealisasikan praktis semak dan imbang.

“Ia bagi memastikan semua syarikat berkaitan kerajaan (GLC), pihak berkuasa tempatan (PBT) dan jabatan kerajaan yang lain berjalan dengan telus dan berintegriti,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas sesi pendengaran awam berhubung isu itu di Bangunan Annex, di sini.

Pendengaran awam itu dijalankan ekoran wujud aduan rasmi kepada SELCAT berhubung projek terbabit berikutan tiada gerak kerja dijalankan sejak pecah tanah pada 2013.

Projek berkeluasan 10.11 hektar itu adalah milik anak syarikat Kerajaan Negeri iaitu Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB).

Perancangan asal pembangunan terbabit adalah berasaskan konsep pembangunan bersepadu, merangkumi Rumah Selangorku serta mempunyai kedai pejabat, stesen minyak dan pusat penjaja rehat dan rawat (R&R).

Pada masa sama, Suee Lim berkata, rumusan awal SELCAT mendapati antara sebab kelewatan pergerakan projek terbabit berpunca daripada kelemahan merancang dan cadangan awal pembangunan yang tidak dibuat dengan teliti.

Categories
SELANGOR

PNSB rancang bina 217 Rumah Selangorku di Taman Air Manis

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 8 MEI : Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB) komited untuk meneruskan pembinaan projek perumahan di Taman Air Manis, Panchang Bedena, Sabak Bernam.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Dato’ Sri Ahmad Omar berkata, pihaknya merancang mahu membina 217 unit Rumah Selangorku, 12 unit kedai dan 12 unit ‘townhouse’.

“Rumah contoh juga sudah ada dan kita jangkakan akan mula membinanya pada hujung tahun ini dan dijangka siap sepenuhnya menjelang 2023.

“Berkenaan pembinaan Rehat dan Rawat (R&R), perkara itu akan dibincangkan semula bersama pihak Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN),”katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui Media Selangor selepas sesi pendengaran awam berkenaan isu projek Pembangunan Perumahan di Taman Air Manis oleh Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan (SELCAT), di Bangunan Annex, di sini.

Pendengaran awam itu dijalankan ekoran wujud aduan rasmi kepada SELCAT berhubung projek terbabit yang tiada gerak kerja sejak 10 tahun lalu.

Projek berkeluasan 10.11 hektar itu adalah milik anak syarikat Kerajaan Negeri iaitu PNSB.

Perancangan asal pembangunan terbabit berasaskan konsep pembangunan bersepadu, merangkumi Rumah Selangorku serta mempunyai kedai pejabat, stesen minyak dan pusat penjaja R&R.