Kerajaan Selangor sekali lagi akan menganjurkan Majlis Dialog Belanjawan 2015 sebagai persediaan awal kepada Kerajaan Negeri dalam merangka dan menyiapkan Belanjawan 2015 Negeri Selangor.
Majlis Dialog Belanjawan 2015 yang bertemakan Mendepani Cabaran dan Peluang Ekonomi Demi Kecemerlangan Selangor akan berlangsung pada 9 dan 10 Jun ini bertempat di Shah Alam Convention Centre.
Antara topik yang akan dbincangkan meliputi pembangunan hartanah, pengurusan sisa pepejal, memajukan pendidikan dan pendidikan Islam, pengurusan air, zon industri khas, memperkasakan komuniti pangsapuri, isu wanita dan kemiskinan, sains dan teknologi bidang sukan dan infrastruktur.
Para pembentang kertas kerja terdiri daripada pakar-pakar dari dalam dan luar negara manakala EXCO Kerajaan Negeri akan bertindak sebagai moderator.
Majlis Dialog Belanjawan 2015 ini akan diadakan di peringkat pihak berkuasa tempatan bagi mendapatkan pandangan orang ramai dan dijadikan panduan serta maklumat kepada Kerajaan Negeri untuk menyiapkan Belanjawan 2015.
YAB TAN SRI DATO’ SERI ABDUL KHALID IBRAHIM
DATO’ MENTERI BESAR SELANGOR