Categories
SELANGOR

MB menghadap DYMM Sultan Selangor esok, bentang isu bible

Oleh: LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 17 JUN: Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim akan menghadap Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berhubung isu pemulangan kitab Bible kepada Persatuan Bible Malaysia (BSM).

Abdul Khalid berkata, beliau akan membentangkan beberapa pilihan yang dicapai hasil perbincangan dengan anggota Exco Negeri berhubung isu berkenaan di hadapan Sultan, pada 18 Jun ini (esok).

Katanya, keputusan berhubung isu itu perlu dilaksanakan dengan tatacara dan prosedur yang betul berdasarkan pandangan Kerajaan Negeri dengan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), selain keputusan yang diputuskan Peguam Negara (AG) sebelum ini.

bible bahasa melayu“Semalam (16 Jun) ada perbincangan bersama MAIS dan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), manakala hari ini dengan Exco, selepas itu kalau ada ketetapan saya akan hadap Tuanku Sultan esok, kemudian baru ada pengumuman berkenaan sebarang keputusan.

“Saya akan beri kepada Tuanku pilihan yang dipersetujui kita.Sudah tentu akan pulangkan tetapi prosesnya perlu dilakukan dengan betul,” katanya di Lobi Dewan Negeri Selangor (DNS), di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya hasil perbincangan bersama MAIS berhubung pemulangan kitab Bible kepada BSM dan turut menafikan perbincangan berlangsung dalam keadaan tegang, petang semalam (17 Jun).

khalid dun 5“Bila berbincang, sudah tentu ada perbezaan dan kita hanya bersetuju berbincang berkenaan ketetapan yang boleh dilakukan dan tidak seharusnya boleh selesai dalam hari ini. Boleh jadi, Exco juga ada beberapa pandangan,” katanya.

Pada 12 Jun lalu, Peguam Negara memutuskan kes BSM ditutup kerana tidak ada isu untuk didakwa dan menasihatkan Kerajaan Negeri mengikut proses undang-undang dalam mengendali barang kes yang diambil daripada persatuan itu.

Kerajaan Negeri kemudiannya meminta JAIS mendapat khidmat nasihat Exco Agama, Salehen Mukyi dan Penasihat Undang-undang Negeri, Datuk Nik Suhaimi Nik Sulaiman berkenaan prosedur dan tatacara menurut peruntukan undang-undang bagi tindakan lanjut yang perlu diambil.

Bagaimanapun, MAIS dalam kenyataannya menyatakan tidak bersetuju dengan keputusan Peguam Negara menutup kes dan mendakwa Kerajaan Negeri tidak mempunyai kuasa untuk mengarahkan JAIS memulangkan barang kes kepada BSM.

-NFN-

Leave a Reply

Your email address will not be published.