Categories
KENYATAAN MEDIA

MB: Selangor arah JAIS dapat nasihat Exco dan Penasihat Undang-Undang kendali kes BSM

Kerajaan Selangor menyambut baik kenyataan Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail yang telah memutuskan tiada kes terhadap Persatuan Bible Malaysia (BSM) dan tiada pendakwaan akan dibuat.

Kerajaan Negeri juga telah dinasihatkan oleh Kamar Penasihat Undang-Undang Negeri untuk mengambil langkah-langkah yang perlu mengikut perundangan dalam mengendali barang kes yang telah diambil oleh JAIS daripada BSM.

Jais-logo kecikSehubungan itu, Kerajaan Negeri telah meminta Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Islam, Permodenan Pertanian dan Pembangunan Desa, YB Salehen Mukhyi dan Penasihat Undang-undang Kerajaan Selangor, Dato’ Nik Suhaimi Nik Sulaiman untuk membantu JAIS memulangkan semua barang kes tersebut.

YB Salehen Mukhyi dan JAIS juga telah diminta untuk mengadakan perbincangan lanjut dengan pihak-pihak yang terlibat khususnya BSM bagi menyelesaikan perselisihan pendapat secara baik dan adil demi keharmonian beragama yang dituntut dalam Islam dan agama-agama lain.

Kerajaan Selangor berterima kasih kepada Pejabat Peguam Negara di atas nasihat itu dan juga kepada BSM yang memberikan kerjasama yang baik kepada JAIS ketika siasatan berjalan.

YAB TAN SRI DATO’ SERI ABDUL KHALID BIN IBRAHIM
DATO’ MENTERI BESAR SELANGOR

Leave a Reply

Your email address will not be published.