Categories
NASIONAL

Menteri usul gantung Surendran 6 bulan, bukti sikap ‘authoritarian’ BN

Oleh: NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 19 JUN: Rakyat Malaysia sekali lagi berpeluang melihat rupa sebenar ‘demokrasi ala Malaysia’ apabila satu usul untuk menggantung Ahli Parlimen Padang Serai, N Surendran, bakal dibawa Menteri di Jabatan Perdana Menteri, hari ini.

Usul itu bercadang menggantung Surendran selama enam bulan kerana kenyataan yang dibuat beliau dalam satu sidang media dengan menyatakan kononnya Dewan Rakyat bersifat ‘authoritarian’ yang mengekang hak bersuara pembangkang, pada 18 Jun lalu.

Pengarah Komunikasi Parti Keadilan Rakyat (PKR), Fahmi Fadzil, berkata Surendran juga membangkitkan kegagalan Parlimen berfungsi dengan baik dan menyindir institusi itu sebagai “rubber stamp” kerajaan.

parliment“Tindakan membawa usul penggantungan ini menjadi bukti paling kukuh betapa Kerajaan Pusat bersifat ‘authoritarian’, tidak mahu menerima kritikan dan tidak mahu menerima realiti bahawa komen juga kritikan Surendran itu adalah suatu yang demokratik, selain adalah hak beliau untuk bersuara seperti yang termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Dalam sebarang demokrasi matang, perbezaan pendapat diraikan serta diberi perlindungan di sisi undang-undang.

“Seharusnya, kritikan Surendran dijadikan pencetus untuk menambahbaik proses Parlimen demi kebaikan rakyat,” katanya dalam satu kenyataan media kepada Selangor Kini.

fahmi-fadzilFahmi berkata, mereka yang bercakap berkenaan realiti sebenar di negara ini pula akan dikenakan hukuman dan tindakan membawa usul penggantungan itu jelas mencemar nama demokrasi Malaysia serta langsung tidak membantu imej atau prestij Dewan Rakyat.

“Barisan Nasional perlu jaga daripada lena dan sedar bahawa di era media baru masa kini, seluruh dunia melihat cara demokrasi diamalkan di negara ini.

“Janganlah kerana mengejar ‘maruah’, demokrasi pula menjadi mangsa,” katanya.

-NFN-

Leave a Reply

Your email address will not be published.