Categories
NASIONAL

Orang ramai luah rasa sedih di laman media insiden ibu kurung anak

Oleh : AFEEQA AFEERA

SHAH ALAM, 24 JUN : Keadaan menyayat hati seorang remaja orang kurang upaya (OKU), Muhammad Firdaus Dullah, 15, yang dipercayai dikurung dengan keadaan menyedihkan mengundang kemarahan orang ramai terutamanya di laman sosial.

Rata-rata pengguna laman sosial menjadikan akaun Facebook dipercayai milik ibu mangsa untuk meluahkan rasa tidak puas hati mereka terhadap tindakan yang dianggap tidak berperikemanusiaan terhadap anak kandung sendiri.

okuAkaun Facebook yang menggunakan nama “Imashima Lola” dengan gambar profil ‘selfie’ bertudung merah mula dikongsi di laman sosial sejak petang Ahad dengan pelbagai komen negatif dilemparkan.

Antara komen yang dipaparkan adalah daripada seorang pengguna yang hanya dikenali sebagai Ana yang berkata, “orang lain ada yang lebih miskin dan memiliki sepuluh orang anak tetapi tidak pula mengabaikan mereka sampai begitu sekali…sungguh tidak berperikemanusiaan.”

Seorang lagi pengguna yang dikenali sebagai Mas pula berpendapat meskipun mengalami kesempitan hidup, seorang ibu tidak boleh mengabaikan anaknya apatah lagi anak itu dilahirkan sebagai OKU.

“Saya suami kerja biasa, anak ramai tetapi tidak pernah biar anak pakai baju buruk, kurus kering tidak makan.

“Sedih tengok manusia yang hidup dalam dunia moden tapi otak masih macam orang zaman batu,” katanya.

Sementara itu, ibu mangsa yang hanya dikenali sebagai Lola, 40, berkata ramai pihak yang menuduhnya tidak tahu menjaga anak dengan baik tanpa mengetahui keadaan keluarganya yang hidup dalam kesempitan.

Beliau mendakwa bukan sengaja meninggalkan anak sulungnya yang menghidap penyakit celebral palsy itu tanpa jagaan dan tidak diberi makan, sebaliknya berkata meninggalkan makanan dalam bekas polisterin sebelum ke tempat kerjanya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Katanya, waktu kerjanya yang tidak menentu menyebabkan dia tiada masa menguruskan Muhammad Firdaus dengan baik dan mahu anak lelakinya itu berdikari.

Remaja malang itu ditemui Pengarah Imigresen Negeri Sembilan Faizal Fazri Othman dalam operasi 6P bersepadu di kawasan flat berkenaan selepas melakukan pemeriksaan di rumah itu.

Beliau dipercayai mengalami kekurangan zat makanan dan hanya mampu merangkak.

Beliau dimasukkan ke Hospital Tuanku Jaafar Seremban, semalam dan kini menerima rawatan pemulihan.

EZY

 

Leave a Reply

Your email address will not be published.