Categories
SELANGOR

Paip pecah di dasar laut, Pulau Ketam & Sungai Lima terputus bekalan air

Oleh: Naeem Raffi

SHAH ALAM 24 JUN: Dianggarkan sejumlah 5,921 pengguna di kawasan Pulau Ketam dan Sungai Lima terputus bekalan air tidak berjadual ekoran kejadian paip pecah di dasar laut dengan jajaran paip sepanjang 18 kilometer.

Penolong Pengurus Besar Jabatan Komunikasi Korporat & Hal Ehwal Awam Syabas, Priscilla Alfred berkata pihaknya sedang giat menjalankan kerja-kerja mengenal pasti lokasi dan punca kejadian paip pecah tersebut dengan bantuan kontraktor bertauliah yang dilantik.

syabass“Kerja-kerja mengenal pasti lokasi paip pecah kini giat dijalankan dengan menggunakan kaedah pengesanan (tracing) dan dijangka mengambil sedikit masa berikutan kedudukan paip yang berada di dasar laut.

“Berdasarkan pengalaman lepas, pengesanan lokasi kejadian paip pecah sukar dilakukan dan mengambil masa yang lama untuk dikenalpasti disebabkan keadaan semasa laut yang berlumpur,” jelasnya dalam satu kenyataan.

Kejadian paip pecah itu dilaporkan berlaku pada 21 Jun lalu di jajaran paip bersaiz 450mm, jenis High Density Polyethylene (HDPE) yang membekalkan air bersih kepada 1,184 akaun pengguna di Pulau Ketam dan Sungai Lima.

Menurut Priscilla, setelah lokasi kebocoran dikesan, Syabas memerlukan tempoh sekurang-kurang seminggu untuk melakukan kerja-kerja pembaikan kerana kedudukan paip berkenaan berada jauh di dasar laut.

“Syabas juga memerlukan tenaga penyelam profesional dan peralatan pembaikan khusus untuk kerja-kerja pembaikan paip di dasar laut,” jelasnya.

Syabas mengaktifkan pelan tindakan kecemasan Wilayah Klang dan menyusun gerak kerja semua kakitangan yang terlibat bagi mengatasi masalah yang berlaku dengan segera dan mengelakkan para pengguna mengalami gangguan bekalan air untuk tempoh yang panjang.

Sebagai bantuan awal kepada para pengguna yang terlibat, pihak Syabas telah menyediakan 2,500 botol air mineral berkapasiti 5 liter setiap satu akan ditambah mengikut keperluan dari semasa ke semasa untuk diagihkan kepada pengguna.

“Syabas juga memaklumkan kejadian ini kepada Ketua Kampung Pulau Ketam dan Sungai Lima, dan dalam masa yang sama turut membuka Pusat Perkhidmatan Setempat (PKS) yang beroperasi 24 jam, yang berfungsi sebagai pusat infomasi, bantuan bekalan air kecemasan dan interaksi terus dengan penduduk setempat dan juga wakil-wakil penduduk,” katanya.

Justeru, para pengguna dinasihatkan supaya menggunakan air secara berhemah sepanjang tempoh gangguan bekalan air ini berlaku.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.