Categories
NASIONAL

Pelajar Perubatan Malaysia maut selepas kemalangan 3 Jun

SHAH ALAM, 17 JUN: Pelajar Tahun Dua Fakulti Perubatan (Pergigian) Malaysia di Mesir, Ummi Nadiah Filzah Daud, yang terbabit dalam kemalangan jalan raya pada 3 Jun lalu, meninggal dunia di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Miri Iskandariah, kelmarin. 

Kementerian Luar dalam satu kenyataan berkata berdasarkan laporan awal, Allahyarham Ummi Nadiah Filzah, 21, meninggal pada jam 8 malam (waktu tempatan) akibat kecederaan teruk pada paru-paru.

Memetik Bernama, Duta Besar Malaysia ke Mesir Datuk Ku Jaafar Ku Shaari bersama pegawai Kedutaan kini berada di Iskandariah bagi membantu urusan membawa pulang jenazah ke Malaysia atas permintaan ibu bapa Allahyarham.

al-FatihahKenyataan itu menjelaskan ibu bapa itu mahukan Allahyarham dikebumikan di Bandar Tasik Putri, Rawang, Selangor.

“Kementerian menyampaikan takziah dan simpati mendalam kepada keluarga Ummi Nadiah Filzah,” kata Wisma Putra.

Kemalangan itu dilaporkan berlaku bila van yang membawa Ummi Nadiah Filzah dan bersama lima lagi rakannya yang juga penuntut Universiti Iskandariah melanggar bahagian belakang sebuah lori lalu terbabas.

Mereka tercampak keluar van dalam perjalanan ke Lapangan Terbang Antarabangsa Borg El Arab untuk pulang bercuti semester di Malaysia, namun lima pelajar lain cedera dan pemandu terselamat.

Leave a Reply

Your email address will not be published.