Categories
NASIONAL

Pemilihan semula PKR lancar, JPP laksanakan penambahbaikan

Oleh: NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 1 JUN: Pemilihan semula PKR bermula semalam berjalan lancar apabila Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) melaksanakan beberapa penambahbaikan bagi mengatasi isu berbangkit yang berlaku dalam pemilihan dibatalkan sebelum ini.

Pengerusi JPP, Datuk Johari Abdul berkata, antara penambahbaikan dilakukan, meletakkan Pegawai Pemilihan daripada PKR pusat dan petugas berkecuali cabang beberapa negeri yang tidak terlibat dengan pemilihan semula itu.

Pemilihan 2014“JPP mengambil pendekatan yang boleh mengelakkan kekecohan contohnya tidak lagi membenarkan Cabang terlibat secara aktif. Kita bawa petugas dari pusat dan juga dari negeri lain. Ini membantu paling tidak mengurangkan pergeseran antara calon.

“Banyak dah kita perbaiki di samping menambah bilangan petugas, peti undi sampai jauh lebih awal, 12 jam sebelum waktu pemilihan di mana kebanyakkan tong sampai malam sebelumnya dan ini mengelakkan suasana kelam kabut untuk menyediakan tempat mengundi,” kata Johari ketika dihubungi Selangor Kini di sini, hari ini.

Jelas Johari, selain bilangan petugas ditambah, JPP juga mengambil langkah dengan memilih beberapa pusat pemilihan baru yang jauh lebih selesa berbanding lokasi sebelum ini.

“Kali ini kita juga menyediakan tempat pengundian lebih selesa daripada lalu dan akhir sekali bantuan logistik dari cabang sendiri yang membolehkan proses berjalan dengan lancar berbanding yang lepas,” kata Johari lagi.

Johari juga berharap agar kejayaan kelancaran pemilihan hari ini dan semalam dapat diteruskan dalam proses sama di 13 cabang di Selangor yang diadakan pada 7 Jun nanti bagi mengukuhkan semangat pertandingan kekeluargaan ini.

“Walaupun saya tahu masing-masing mempunyai minat dalam politik kepartian tetapi tatasusila dan tertib mestilah dijaga. Saya harap semua pihak dapat beri kerjasama dengan JPP bagi menjamin kelancaran berterusan.

“Kita juga kena ingat, konsep Pemilihan PKR adalah satu ahli, satu parti. Calon kena bijak mendekatkan diri dengan ahli parti bagi memperolehi sokongan mereka,” kata Johari lagi.

Minggu pertama pemilihan semula di cabang-cabang yang dibatalkan semalam dan hari ini, menyaksikan ahli akar umbi di 10 cabang sekali lagi membuang undi bagi memilih pemimpin peringkat cabang dan pusat.

Cabang terbabit, Kemaman, Kuala Nerus, Setiu dan Dungun di Terengganu, Pasir Puteh, Kelantan; Jerantut dan Paya Besar bagi Pahang; Pengerang dan Tenggara bagi Johor serta Sungai Petani, Kedah.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.