Categories
NASIONAL

Tony: 3 faktor DAP tewas, Dyana bukan penyebab

Oleh: NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 1 JUN: Peratusan pengundi luar balik mengundi dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Teluk Intan merupakan salah satu daripada tiga faktor utama DAP tidak dapat mempertahankan kerusi yang dimenanginya.

Ketua Publisiti DAP, Tony Pua berkata, keputusan PRK Teluk Intan yang tidak akan mengubah kerajaan pusat dan tawaran Barisan Nasional meletakkan Menteri di kawasan parlimen terbabit juga merupakan faktor yang diambil kira pengundi dalam PRK kali ini.

dyana22“Pengundi melihat PRK tidak sepenting seperti mana PRU, apabila sebarang keputusan tidak akan mengubah kerajaan.

“Maka disebabkan itu peratusan pengundi luar balik kampung untuk mengundi sangat rendah.

“Pengundi juga berpendapat oleh kerana tidak boleh ubah kerajaan, jadi mereka rasa apa salahnya dapatkan seorang menteri di Teluk Intan,” kata Pua ketika dihubungi Selangor Kini di sini, hari ini.

Jelas Pua lagi, kempen BN untuk melantik calon BN, Datuk Mah Siew Keong itu lebih menambat hati pengundi tua berbanding pengundi muda.

Pua juga memberitahu, kempen perkauman yang dimainkan BN juga menjadi faktor kemenangan tipis BN.

tony-puaKatanya BN dalam kempen mereka turut menekankan mesej undi Cina untuk Cina yang berjaya mempengaruhi sesetengah pengundi.

Manakala ketika berkempen di kawasan majoriti Melayu, BN dilihat berjaya memesongkan kempen mereka dengan menekankan kononnya DAP sebuah parti Cina yang harus ditolak masyarakat Melayu.

“Keputusan meletakkan calon anak muda Melayu, Dyana Sofya Mohd Daud bukanlah faktor utama kekalahan DAP,” kata Pua lagi.

PRK Teluk Intan yang berlangsung semalam menyaksikan BN berjaya dengan majoriti amat tipis sebanyak 238 undi.

Mah yang mewakili BN memperolehi 20,157, manakala Dyana dari DAP memungut 19,919 undi dan 543 undi rosak.

Dalam PRK kali ini juga menyaksikan peratusan keluar mengundi yang rendah, 66.67 peratus berbanding PRU-13 sebanyak 80.7 peratus.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.