Categories
SELANGOR

PKNS meterai penyelesaian bersama MRCB & Nusa Gapurna

SHAH ALAM, 24 JUN: Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) mengesahkan Perjanjian Penyelesaian (MOA) dimeterai bersama Malaysian Resources Corp Berhad (MRCB) dan Nusa Gapurna Development Sdn Bhd (Nusa Gapurna) pada 20 Jun.

Pengurus Perhubungan Awam PKNS, Ishak Hashim, berkata perjanjian itu merupakan penyelesaian luar mahkamah bagi kes rayuan di antara PKNS Holdings Sdn Bhd (PHSB), MRCB dan Nusa Gapurna di Mahkamah Rayuan.

pkns-usahawanIa berkaitan pelupusan saham dalam syarikat PJ Sentral Sdn Bhd, pemaju tapak pembangunan yang dikenali sebagai PJ Sentral City Garden.

Katanya, melalui penyelesaian itu, PHSB bersetuju membenarkan Nusa Gapurna untuk menyempurnakan perjanjian jual beli saham di antara Nusa Gapurna dan MRCB di mana Nusa Gapurna menjual pegangan 70 peratus saham di dalam PJ Sentral Development Sdn Bhd (PJ Sentral) kepada MRCB.

“PKNS melalui anak syarikatnya PHSB bersetuju melepaskan 30 peratus saham di dalam PJ Sentral kepada MRCB dengan nilai balasan RM85.3 juta.

“Melalui penyelesaian ini, PHSB mendapat hak untuk membangunkan dan memiliki sebuah mercu tanda setinggi 65 tingkat di tapak pembangunan tersebut dengan nilai pembangunan kasar (GDV) RM800 juta,” katanya dalam satu kenyataan media baru-baru ini.

Ishak berkata, keluasan lantai bersih mercu tanda tersebut seluas 80,130 meter persegi membentuk 32.05 peratus daripada jumlah keluasan lantai bersih keseluruhan pembangunan PJ Sentral City Garden dan nilai balasan yang dibayar oleh PHSB kepada PJ Sentral bagi hak pembangunan tersebut adalah RM91.12 juta.

PHSB diwakili oleh Pemangku Pengurus Besar PKNS, Azlan Md Alifiah dan Pengerusi PHSB, Datin Paduka Norazlina Zakaria sementara MRCB diwakili oleh Ketua Pegawai Kewangannya (CFO), Ann Wan Tee dan Nusa Gapurna oleh Pengarah Urusan, Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din.

“Di dalam perkembangan lain, PHSB menarik semula rayuannya di Mahkamah Rayuan,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published.