Categories
SELANGOR

2 beradik dilarikan penjenayah berjaya ditemui

Oleh: LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 25 JUN: Detik cemas seorang guru KAFA berakhir apabila dua anaknya yang dilarikan penjenayah berjaya ditemui di Puchong, semalam.

Kejadian berkenaan berlaku ketika guru terbabit berada di rumah pengasuh bagi menghantar bayinya berusia tiga bulan, namun bayi terbabit dan abangnya berusia sembilan tahun yang sedang tidur di dalam kereta dilarikan penjenayah.

Laman Facebook Polis Selangor turut memuatkan berita berkenaan cubaan melarikan dua mangsa terbabit dalam sebuah kenderaan jenis Proton Gen 2 dengan nombor pendaftaran WLX 4727.

Cubaan jahat itu bagaimanapun berjaya dipatahkan orang ramai yang menemui mangsa di tepi jalan berdekatan Kuil India di kawasan Maju Jaya, Puchong Utama, pagi semalam.

Sehubungan itu, polis Selangor menasihatkan orang ramai untuk tidak meninggalkan anak dalam kenderaan secara bersendirian kerana mengundang risiko berbahaya.

Melalui laman sosial Facebook itu juga, polis Selangor turut mengingatkan ibu bapa untuk memberi perhatian kepada keselamatan anak dalam jagaan dan sentiasa mengawasi mereka.

Ingatan itu dibuat ekoran pelbagai kes membabitkan golongan kanak-kanak ketika ini terutama membabiktkan penculikan dan kehilangan.

IMG-20140624-WA0005“Orang ramai dinasihati supaya menjaga keselamatan anak dalam jagaan supaya tidak ditinggalkan di dalam kenderaan sendirian tanpa pengawasan ibu bapa atau penjaga,” tulis Polis Selangor dalam satu status yang dimuat naik, semalam.

IMG-20140624-WA0003Mengikut statistik ibu pejabat polis Bukit Aman, terdapat 4,998 kes orang dilaporkan hilang pada tahun 2013 dan 2,382 orang berjaya dijumpai semula.

Sementara itu, 45 peratus daripada kes orang hilang membabitkan remaja dan kanak-kanak berusia 18 tahun ke bawah.

Antara kes kehilangan kanak-kanak termasuk kes Nurin Jazlin Jazimin, 8; Sharline Mohd Nashar, 5; Asmawi Jalaludin, 11, dan Nurul Nadirah Abdullah atau Dirang, 5.

Mereka adalah antara kanak-kanak yang ditimpa musibah selepas keluar bersendirian walaupun jarak dengan kediaman tidak jauh.

-NFN-

Leave a Reply

Your email address will not be published.