Categories
AGENDA NASIONAL

Seminggu hilang di Hutan Temenggor, operasi cari kanak-kanak Orang Asli diteruskan

IPOH, 19 JAN: Kehilangan kanak-kanak perempuan Orang Asli dalam hutan di Kampung Selaur berhampiran Kampung Padang Jeri di Gerik masih menjadi misteri apabila operasi mencari dan menyelamat (SAR) gagal menemukannya walaupun sudah memasuki hari keenam hari ini.

Kamaliah Anab, 10, yang berambut keriting dan tinggal di Hutan Temenggor Kampung Selaur kali terakhir dilihat memakai baju kuning dan berseluar biru.

Ketua Polis Daerah Gerik Supt Zulkifli Mahmood berkata pihaknya menerima panggilan mengenai kehilangan Kamaliah pada kira-kira 10 pagi Jumaat lepas iaitu sehari selepas dia keluar mencari sumber makanan dan hasil hutan seperti rotan bersama keluarga dan rakan sebayanya.

“Mangsa (Kamaliah) disedari hilang selepas keluarganya pulang ke rumah. Pada hari kejadian, orang kampung ada mencari mangsa di kawasan sekitar berdekatan Hutan Temenggor namun gagal menjumpainya,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Beliau berkata polis bersama Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM), Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa), Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) serta pihak Sapura telah memulakan pencarian selepas menerima laporan namun belum memperoleh sebarang petunjuk.

“Pasukan SAR turut dipergiat dengan penglibatan Batalion 3 Pasukan Gerakan Am Senoi Praaq dan Unit Anjing Pengesan (K9) JBPM,” katanya.

Sementara itu, Jurucakap JBPM Perak berkata operasi pencarian yang diketuai pihak polis diteruskan pada 8.40 pagi tadi dalam jarak lapan kilometer.

“Operasi hari ini dijalankan dengan bantuan unit dron dari agensi luar bagi memudahkan pencarian di udara,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Seorang lelaki hilang, bot ditemukan tengah laut tanpa penumpang

SHAH ALAM, 11 OKT: Seorang lelaki tempatan dikhuatiri telah jatuh ke dalam laut semasa dalam perjalanan balik ke Pulau Carey selepas menghantar pelanggan untuk memancing di Pulau Ketam semalam.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Selangor, Kepten Maritim Mohd Rosli Kassim berkata bot mangsa telah ditemukan berpusing-pusing di tengah laut tanpa penumpang.

Beliau berkata Hasmudin Anak Omar, 24, dikhuatiri terjatuh ke dalam laut kira-kira 0.1 batu nautika selatan Selat Mahang, Pulau Che Mat Zin.

“Mangsa dikatakan kali terakhir dilihat memakai baju berwarna putih dengan berseluar pendek warna kuning sebelum dilaporkan hilang di laut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Rosli berkata sektor pencarian operasi mencari dan menyelamat hari ini merangkumi keluasan 114.58 batu nautika persegi dengan tertumpu di kawasan perairan Pintu Gedung sehingga Perairan Pulau Carey.

Beliau berkata operasi tersebut dikoordinasikan Sub Pusat Penyelamat Maritim (MRSC) Johor Bahru yang disambung pada jam 7 pagi tadi dengan mengatur gerak bot Maritim Pengawal 25 dan aset udara Maritim dan bantuan daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat, Pasukan Polis Marin,Tentera Laut Diraja Malaysia serta Angkatan Pertahanan Malaysia.

Katanya Pangkalan Hadapan Carilamat juga telah ditubuhkan di jeti Pasukan Polis Marin, Selangor dan orang awam diingatkan agar sentiasa memastikan aspek keselamatan diutamakan sebelum melakukan sebarang aktiviti di laut.

-BERNAMA

Categories
SELANGOR

Polis jejak lapan keluarga ‘hilang’ sebelum PKPD Taman Murni

SEPANG, 2 JULAI: Polis sedang menjejaki lapan lagi keluarga di Taman Murni yang didapati ‘menghilang’ sebelum Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di kawasan berkenaan berkuat kuasa pada 30 Jun lepas.

Ketua Polis Daerah Sepang ACP Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata terdapat 465 buah rumah di Taman Murni yang didiami 1,588 orang, dan daripada jumlah itu, 69 buah rumah tidak berpenghuni manakala lapan buah rumah berpenghuni didapati masih tiada orang.

Menurutnya, sebuah keluarga seramai empat orang telah pulang ke kediaman mereka secara sukarela semalam untuk menjalani saringan dan juga menerima suntikan vaksin.

“Sesetengah penduduk ‘menghilangkan’ diri sebelum PKPD kerana tidak mahu pergerakan disekat. Namun ada kelebihan (PKPD) kepada penduduk kerana saringan dijalankan, vaksin diberikan dan bekalan makanan disalurkan,” katanya kepada media selepas melaksanakan Op Patuh di kawasan perindustrian hari ini.

Sementara itu, beliau berkata sebanyak lapan sekatan jalan raya (SJR) dilaksanakan di kawasan Sepang dengan empat daripadanya bersempadan Negeri Sembilan.

Kemungkinan SJR akan diubah ke laluan masuk ke lebuh raya bagi pemeriksaan menyeluruh susulan pelaksanaan PKPD di hampir kesemua mukim di Selangor, bermula tengah malam ini.

Mengenai Op Patuh, Wan Kamarul berkata sebanyak 45 buah kilang di kawasan Putra Perdana, Dengkil, Sungai Pelek dan Bandar Baru Salak Tinggi akan diperiksa.

-BERNAMA

Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

Ingin bebas punca utama kanak-kanak, remaja lari rumah

KUALA LUMPUR, 15 MAC: Polis mendedahkan antara faktor utama kanak-kanak dan remaja dilaporkan lari dari rumah di negara ini pada 2019 disebabkan ingin bebas daripada kongkongan keluarga atau penjaga.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Siasatan Seksual Wanita dan Kanak-Kanak (D11) ACP Choo Lily berkata itulah penemuan pihaknya dalam 662 kes daripada 1,302 kes kehilangan mereka dalam lingkungan usia 12 hingga 15 tahun.

“Selain keinginan mencari kebebasan, punca yang menyumbang kepada gejala lari dari rumah adalah mengikut rakan sebaya yang mencatatkan 184 kes dan masalah keluarga 170 kes.

“Ada juga yang dilaporkan hilang kerana mengikut kekasih, mengikut sama ada ibu atau bapa bagi ibu bapa yang telah bercerai, selain tidak minat untuk belajar serta mencari kerja pada usia yang muda,” katanya dalam satu wawancara khas bersama Bernama baru-baru ini.

Terdapat juga mangsa yang melarikan diri daripada pusat perlindungan wanita atau kanak-kanak atau dijumpai mati lemas dalam tali air atau longkang.

Jelasnya lagi, terdapat remaja dilaporkan hilang namun apabila ditemukan, mereka enggan pulang ke pangkuan keluarga kerana sudah selesa dengan kehidupan dan pekerjaan mereka.

Menurut statistik, daripada jumlah keseluruhan 1,302 kes yang dilaporkan, 1,186 sudah ditemui manakala yang lain masih berstatus hilang.

Selain itu, Choo berkata Johor mencatatkan kes kanak-kanak dan remaja hilang tertinggi iaitu 193 orang, diikuti Selangor (189), Sabah (182) dan Sarawak (115).

Pelbagai usaha dilakukan bagi mengesan mangsa seperti membuat semakan melalui Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) atau syarikat telekomunikasi kerana kemungkinan mereka untuk mendaftar dengan dua pihak ini adalah tinggi.

“Walaupun jumlah kes dicatatkan untuk mangsa yang masih hilang rendah, kami memandang serius akan perkara itu.

Sementara itu, Choo berkata sistem National Urgent Response Alert atau NUR Alert yang dilancarkan pada 2007 dilihat berkesan dan membantu pasukannya dalam mengenal pasti mangsa yang dilaporkan hilang.

Beliau berkata, polis bekerjasama dengan 48 ahli lain dalam sistem NUR Alert terdiri daripada pelbagai kementerian dan pertubuhan bukan kerajaan bagi mengumpul maklumat dan mencari kanak-kanak hilang berusia bawah 12 tahun.

“Melalui siaran Nur Alert ini, dalam kebanyakan kes kita dapat mengesan mangsa dengan cepat. Orang awam boleh membuat laporan atau tampil untuk membantu mangsa dan tindakan lanjut akan diambil oleh pihak polis,” jelasnya.

Choo berkata, ibu bapa atau penjaga boleh terus melaporkan kehilangan anak mereka tanpa perlu menunggu tempoh 24 jam seperti kes kehilangan orang dewasa.

Mengulas lanjut, terdapat trend penurunan kes kehilangan yang dilaporkan daripada tahun 2017 sehingga tahun lepas.

“Dua tahun lepas (2017), sebanyak 1,505 kes dilaporkan dan menurun kepada 1,318 kes yang dilaporkan pada 2018. Daripada jumlah kes kanak-kanak dan remaja hilang selama tiga tahun sejak 2017 iaitu sebanyak 4,125 kes, 95 peratus atau 3,948 kes sudah dijumpai dan hanya 177 atau lima peratus yang masih hilang,” katanya.

-BERNAMA

Categories
NASIONAL

Polis minta kerjasama jejak kanak-kanak madrasah hilang

KUALA LUMPUR, 14 JULAI: Polis meminta kerjasama orang ramai untuk mengesan seorang kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun yang dilapor hilang sejak 2 Julai lalu.

Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Taiping, Perak dalam kenyataan hari ini berkata, Muhammad Danial Ridhwan Anuar diilihat kali terakhir di alamat tempat kanak-kanak itu menuntut di Madrasah Tarbiyah Madinatul Ilmi, Batu Kurau, Perak.

Ketua Komunikasi Korporat Polis Diraja Malaysia (PDRM), Datuk Asmawati Ahmad berkata mangsa berketinggian 148 sentimeter dengan berat 45 kilogram, berambut lurus dan berwarna hitam, mata berwarna hitam, berkulit putih, bermisai nipis, berbulu kening sederhana, mata sepet dan memiliki bibir nipis.

“Kanak-kanak itu didapati hilang dari madrasah berkenaan pada waktu Subuh pada hari tersebut seperti dilaporkan penjaga premis berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kanak-kanak itu diminta untuk menghubungi Balai Polis Taiping di talian 05-8291222, atau Inspektor Mohd Ashrul Afiq Abdul Halim di talian 019-3957182

-BERNAMA

Categories
SELANGOR

Zahiruddin hilang: Lebih 30 saksi dipanggil polis

SEMENYIH, 28 APR: Lebih 30 individu diambil keterangan berhubung kes kehilangan kanak-kanak lelaki, Muhammad Zahiruddin Putra Mohd Fauzi yang dilaporkan hilang selepas keluar dari rumahnya di sebuah flat di Bandar Seri Putra, Bangi, Isnin lepas.

Ketua Polis Daerah Kajang, ACP Ahmad Dzaffir Mohd Yussof berkata, kesemua individu yang dipanggil terdiri daripada anggota keluarga serta rakan sekelas Muhammad Zahiruddin Putra.

Beliau berkata pencarian kanak-kanak berusia lapan tahun berkenaan, tidak pernah dihentikan dan sedang dipergiatkan di luar daerah Kajang.

“Kawasan pencarian kini bertambah luas dengan tertumpu di seluruh kawasan Kajang selain daerah-daerah berhampiran selepas operasi mencari dengan bantuan pihak bomba dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia) sebelum ini gagal mengesan kanak-kanak itu,” katanya selepas ditemui di ‘Superheroes Challenge’ sempena Hari Polis ke-212, di sini.

Ahmad Dzaffir berkata, pihaknya masih belum menemui sebarang petunjuk positif berhubung lokasi kanak-kanak berkenaan.

“Kami menyiasat semua aspek termasuk unsur jenayah bagi merungkai misteri kehilangan Muhammad Zahiruddin Putra.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kehilangan kanak-kanak itu diminta menghubungi pegawai penyiasat kes, Sarjan Farah Nadia Mohd Hashim di talian 012 3600232 atau menghubungi balai polis berhampiran,” katanya.

Muhammad Zahiruddin Putra dilapor keluar dari rumahnya pada kira-kira pukul 8 pagi, Isnin lepas untuk bermain, dan sejak itu tidak pulang ke rumah.

Mohd Fauzi juga sudah membuat laporan polis mengenai kehilangan anaknya itu pada hari sama.

-BERNAMA

Categories
SELANGOR

Penuntut kolej swasta hilang

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 23 MAC: Seorang penuntut kolej swasta dilaporkan hilang selepas keluar dari rumah sewanya, di Seksyen 16, di sini, semalam.

Mohammad Hafiz Ismail, 24, dipercayai keluar bersama rakannya yang dikenali sebagai Wan menuju ke pasar malam dengan menaiki kereta Perodua Axia milik mangsa, pada jam 12.58 tengah malam.

Mangsa difahamkan ada menghubungi teman wanitanya, Sabrina Al-Jufri, sebelum keluar bersama rakannya itu.

Sabrina memaklumkan, beberapa jam selepas itu dia cuba menghubungi Hafiz, namun cubaan itu gagal apabila panggilan tidak dijawab.

Sabrina berkata, sejurus selepas itu dia menghubungi ibu mangsa untuk mendapatkan kepastian berhubung keberadaan Hafiz.

Bagaimanapun, ibu mangsa, Noorliah Kasbullah, 48, mengetahui anak lelakinya hilang selepas dimaklumkan Sabrina.

Noorliah berkata, dia juga cuba menghubungi anaknya itu, namun gagal kerana telefon bimbitnya sudah dimatikan.

“Hafiz pernah memaklumkan sebelum ini rakannya itu bekerja sebagai pembantu kedai makan berhampiran rumah sewanya,” katanya.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkenaan Muhammad Hafiz diharap boleh tampil memberi maklumat di balai polis berhampiran untuk tindakan lanjut.

Siasatan masih giat dijalankan sebagai laporan orang hilang.

Categories
SELANGOR

Warga emas cari keluarga

OLEH SABIRAH AZIZ

PUCHONG, 28 DIS: Seorang warga emas, Chang Ah Song, hari ini memohon bantuan untuk mencari ahli keluarganya yang gagal dikesan sejak tahun 2003, di Pusat Khidmat DAP Kinrara, di sini.

Ahli Dewan Negeri Kinrara, Ng Sze Han berkata, Ah Song, 74, datang ke pusat khidmat bagi meminta kerjasama daripada pelbagai pihak dan media supaya dapat mencari isteri juga empat anaknya yang kali terakhir tinggal, di Rawang.

“Saya memohon kepada sesiapa yang mempunyai maklumat atau mengenali isteri dan empat anaknya ini supaya tampil membantu juga terus menghubungi pihak kami.

“Sebelum ini, Ah Song pernah cuba mencari sendiri ahli keluarganya dengan pelbagai cara, namun masih gagal dan beliau memaklumkan salah seorang anak lelakinya kini bekerja sebagai pensyarah juga menetap di Puchong tetapi tidak berjaya ditemui.

“Jadi, saya meminta isteri dan anaknya menghubungi pihak kami untuk bertemu Ah Song yang amat merindui ahli keluarganya,” katanya.

Ahli keluarga dan orang ramai boleh menghubungi pembantu Sze Han, Rachel Lee di talian 019-6636296 atau terus menghubungi nombor telefon pejabat Pusat Khidmat DAP Kinrara, di talian 03-80821661.

Sementara itu, Ah Song yang pernah bekerja sebagai tukang kayu berkata, sudah banyak kali dia cuba menghubungi nombor telefon isteri dan anaknya tetapi gagal dihubungi.

“Ketika zaman bekerja dulu, memang saya selalu pergi bekerja jauh dan kali terakhir adalah di Johor selama enam bulan untuk mencari duit bagi menyara keluarga.

“Bagaimanapun, apabila saya pulang semula ke rumah di Rawang, ia sudah dijual dan terdapat orang lain yang tinggal, di situ.

“Kemudian, saya ada bertanya kepada ahli keluarga isteri, namun mereka juga tidak tahu di mana keluarga saya tinggal selepas itu,” katanya.

Justeru itu, Ah Song yang kini tidak mempunyai tempat tinggal tetap dan tidak bekerja memohon isteri juga empat anaknya datang berjumpa beliau yang berusaha mencari mereka, kira-kira 14 tahun lalu.

Difahamkan, isterinya, Siau Chew Hua kini berusia 70 tahun, dua anak perempuannya Chang Hui Yan, 50 dan Chang Hui Chui, 48, manakala dua anak lelakinya Chang Jin Siang, 43 dan Chang Jin Wei, 29 tahun.

 

Categories
NASIONAL

PDRM digesa guna kecanggihan jejak kehilangan Lam Kim Ming

OLEH AFIX REDZUAN

KUALA LUMPUR, 16 MAC: Polis Diraja Malaysia (PDRM) digesa mempergiatkan usaha menjejaki kehilangan kanak-kanak, Lam Kim Ming yang dipercayai dilarikan ibunya, Nadia Kristiani, 35, warga Indonesia, sejak 30 Jun 2016.

Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar berkata, bapa Kim Ming, Lam Ah Coy sebelum ini berjaya menghalang usaha bekas isterinya itu membawa anak mereka ke Indonesia.

“Usaha mencari Lam Kim Ming, 5, yang dilaporkan hilang Jun 2016 perlu dipergiatkan PDRM. Penculikan seperti ini tidak wajar berlaku di saat Malaysia menghadapi cabaran menangani soal keselamatan kanak-kanak yang kian membimbangkan.

“Lam Ah Coy berusaha mencari dan melakukan beberapa laporan polis bagi menjejaki anaknya. Namun, sehingga kini tiada sebarang tindakan dan maklum balas dikemukakan,” katanya.

izzahBeliau berkata demikian dalam satu sidang media bersama Ahli Parlimen Batu, Tian Chua di Lobi Parlimen, di sini, hari ini.

Katanya, polis dipohon menggunakan kepakaran dan teknologi serba canggih untuk mengesan lokasi suspek bagi membantu usaha mencari serta menyelamat Kim Ming yang berlarutan hampir setahun.

Ah Coy, 57, yang turut bersama dalam sidang media itu tidak dapat menyembunyikan kesedihan atas kehilangan anaknya hingga mengalirkan air mata.

Ah Coy berkata, itu bukan kali pertama anaknya dilarikan dan perkara sama mula berlaku, pada Disember 2011.

Ketika itu, Kim Ming baru berusia lima bulan tetapi Nadia berjaya diberkas polis daerah Rawang dan anaknya dikembalikan semula.

Suspek sekali lagi cuba membawa Kim Ming ke Kedutaan Indonesia bagi proses dokumentasi untuk menghantar anaknya ke republik itu tetapi berjaya dihalang selepas Ah Coy membuat laporan polis, pada 13 Jun 2016.

Lokasi terakhir Ah Coy mengesan anaknya di sekitar Jinjang, Kepong.

-NFN-

Categories
SELANGOR

2 beradik dilarikan penjenayah berjaya ditemui

Oleh: LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 25 JUN: Detik cemas seorang guru KAFA berakhir apabila dua anaknya yang dilarikan penjenayah berjaya ditemui di Puchong, semalam.

Kejadian berkenaan berlaku ketika guru terbabit berada di rumah pengasuh bagi menghantar bayinya berusia tiga bulan, namun bayi terbabit dan abangnya berusia sembilan tahun yang sedang tidur di dalam kereta dilarikan penjenayah.

Laman Facebook Polis Selangor turut memuatkan berita berkenaan cubaan melarikan dua mangsa terbabit dalam sebuah kenderaan jenis Proton Gen 2 dengan nombor pendaftaran WLX 4727.

Cubaan jahat itu bagaimanapun berjaya dipatahkan orang ramai yang menemui mangsa di tepi jalan berdekatan Kuil India di kawasan Maju Jaya, Puchong Utama, pagi semalam.

Sehubungan itu, polis Selangor menasihatkan orang ramai untuk tidak meninggalkan anak dalam kenderaan secara bersendirian kerana mengundang risiko berbahaya.

Melalui laman sosial Facebook itu juga, polis Selangor turut mengingatkan ibu bapa untuk memberi perhatian kepada keselamatan anak dalam jagaan dan sentiasa mengawasi mereka.

Ingatan itu dibuat ekoran pelbagai kes membabitkan golongan kanak-kanak ketika ini terutama membabiktkan penculikan dan kehilangan.

IMG-20140624-WA0005“Orang ramai dinasihati supaya menjaga keselamatan anak dalam jagaan supaya tidak ditinggalkan di dalam kenderaan sendirian tanpa pengawasan ibu bapa atau penjaga,” tulis Polis Selangor dalam satu status yang dimuat naik, semalam.

IMG-20140624-WA0003Mengikut statistik ibu pejabat polis Bukit Aman, terdapat 4,998 kes orang dilaporkan hilang pada tahun 2013 dan 2,382 orang berjaya dijumpai semula.

Sementara itu, 45 peratus daripada kes orang hilang membabitkan remaja dan kanak-kanak berusia 18 tahun ke bawah.

Antara kes kehilangan kanak-kanak termasuk kes Nurin Jazlin Jazimin, 8; Sharline Mohd Nashar, 5; Asmawi Jalaludin, 11, dan Nurul Nadirah Abdullah atau Dirang, 5.

Mereka adalah antara kanak-kanak yang ditimpa musibah selepas keluar bersendirian walaupun jarak dengan kediaman tidak jauh.

-NFN-