Categories
NASIONAL

Projek belum ada, DBKL sudah sibuk usir penduduk Chubadak

Oleh: AFEEQA AFEERA

KUALA LUMPUR, 23 JUN: Kira-kira 80 penduduk Kampung Chubadak Tambahan mengadakan demonstrasi secara amanbagi membantah tindakan meroboh rumah mereka yang sudah didiami sejak sekian lama di Dataran Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), di sini, hari ini.

Sambil membawa sepanduk “Pertahankan Kampung Warisan Melayu”, “Hormati Peneroka Bandar” dan “We are Malaysia, not panda”, demonstrasi itu turut menyaksikan pembabitan penduduk kampung pelbagai peringkat usia termasuk beberapa wakil rakyat dan aktivis politik.

03Antara yang hadir adalah Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu; Ahli Parlimen Batu, Tian Chua; Setiausaha Agung PSM, S Arutchelvan dan Pengerusi ANAK, Mazlan Aliman.

Memorandum itu kemudiannya diserahkan kepada Pegawai Pejabat Datuk Bandar, Mohd Shukri Rohim dan Timbalan Pengarah Jabatan Perancang Bandar, Norjannah Appendi.

Sementara itu, Tian Chua yang juga Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), berkata DBKL tidak mempunyai alasan jelas dan konsisten untuk merobohkan kampung berkenaan kerana sering memberi alasan bercanggah.

09Katanya, beliau sebagai Ahli Parlimen kawasan itu akan terus bersama rakyat untuk menentang penindasan terhadap mereka.

“Isu ini selagi tidak ada perancangan yang menghormati peneroka bandar, ia tidak akan selesai. DBKL kejap kata ingin bina kondominium kemudian nak buat kubur.

“Sama ada mereka tidak tahu atau tidak konsisten dan mereka hanya mahu robohkan rumah sahaja. Belum jelas projek pembangunan tetapi sudah sibuk hendak usir penduduk,” katanya sambil disambut dengan sorakan “Hidup Rakyat”.

Sementara itu, Mat Sabu pula berkata, kekeliruan dan kecelaruan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dapat dilihat dengan jelas sejak kebelakangan ini.

Katanya, rakyat perlu sentiasa bersatu menentang kezaliman dan membela keadilan untuk mengelakkan mereka daripada terus menjadi mangsa kerakusan kerajaan pusat.

“Kita mesti buat suatu perubahan dan kampung ini akan menjadi titik perpaduan untuk membela keadilan,” katanya.

Sementara itu, Malaysia Kini melaporkan Peguam Kampung Chubadak Tambahan, Ahmad Zamri Asa’ad Khuzaimi, berkata pihaknya akan menyerahkan memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong dan Perdana Menteri jika Datuk Bandar, Datuk Seri Ahmad Phesal Talib masih bertegas mahu merobohkan rumah penduduk.

07“Memorandum ini cara pertama, keduanya kita akan hantar memorandum kepada Menteri Wilayah Persekutuan), Perdana Menteri dan Yang di-Pertuan Agong jika tuntutan tidak didengar Datuk Bandar.

“Ia dihantar sebagai tanda kemarahan penduduk terhadap kenyataan Datuk Bandar yang bertegas akan melakukan perobohan walaupun terdapat rayuan dikemukakan di Mahkamah Tinggi,” katanya.

Ahmad Zamri menegaskan memorandum hari ini juga menuntut supaya Ahmad Phesal menghentikan aktiviti perobohan sehingga tamatnya tempoh injunksi, pada 26 Jun ini.

Selain itu, beliau menuntut supaya Ahmad Phesal berunding dengan penduduk kampung sebelum melakukan sebarang tindakan ke atas rumah penduduk kampung Melayu itu.

-NFN-

 

 

Leave a Reply

Your email address will not be published.