Categories
SELANGOR

Selangor anjur seminar antarabangsa, rangka dasar komprehensif sistem sisa pepejal

Oleh: HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 12 JUN: Kerajaan Negeri akan menganjurkan seminar antarabangsa bagi merangka satu dasar yang komprehensif bagi pengurusan pelupusan sampah atau sisa pepejal bersepadu di Selangor.

Exco Kerajaan Tempatan, Kajian dan Penyelidikan, Datuk Teng Chang Kim, berkata dasar yang realistik bagi jangka panjang amat penting untuk diputuskan demi pembangunan Selangor dalam usaha terus kekal sebagai negeri kompetetif di negara ini.

“Sudah sampai masa untuk kita membuat penilaian lebih mendalam berhubung kesan yang dihadapi selain merumus satu dasar sesuai bagi pengurusan sisa pepejal di negeri ini. Namun, tentunya Kerajaan Negeri memerlukan peruntukan daripada Kerajaan Persekutuan untuk menjayakan dasar yang dapat memastikan kemampanan dan keberkesanan dalam pengurusannya.

sisa pepejal 2“Kita akan mengadakan satu seminar antarabangsa dengan menjemput pakar dari luar negara selain pihak berkepentingan di Selangor,” katanya dalam Majlis Dialog Belanjawan Selangor 2015, di sini.

Sementara itu, Pengurus Besar Worldwide Sdn Bhd (Worldwide), Zamri Abdul Rahman, berkata hanya kira-kira lapan peratus kawasan tanah di Selangor yang boleh dibangunkan sebagai tapak pelupusan sampah atau sisa pepejal ketika pembentangan kertas kerja berkenaan Dasar Pengurusan Sisa Pepejal Bersepadu.

Katanya, setakat ini Worldwide membangunkan dua tapak pelupusan sanitari iaitu di Jeram dan Tanjung 12 yang mampu bertahan untuk tempoh 10 tahun.

“Antara isu berkenaan pengurusan sisa pepejal di Selangor adalah peningkatan kadar penjanaan, kenaikan kos, kekurangan tanah, kesedaran awam, pengurusan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), perkhidmatan dilakukan tidak di bawah Akta 672 yang mana tiada peruntukan daripada Kerajaan Persekutuan.

zamri worldwide“Dengan pertambahan penduduk dan taraf kehidupan yang meningkat, maka turut berlaku peningkatan kepada jumlah penghasilan sampah atau sisa pepejal di Selangor. Ketika ini dianggarkan kira-kira 8,000 tan sampah terhasil setiap hari,” katanya.

Zamri berkata, berkenaan objektif polisi pengurusan sisa pepejal adalah untuk memperbaiki keadaan dan membawa pengurusan sisa pepejal ke tahap yang lebih tinggi daripada perkhidmatan juga mengalihkan sisa pepejal sebanyak mungkin dari tapak pelupusan serta meningkatkan kadar kitar semula.

“Kerajaan Negeri boleh mengambil contoh sistem dijalankan di beberapa negara Asia seperti Singapura, Jepun atau Taiwan sebagai panduan dalam mencari sistem pengurusan sesuai untuk dipraktikkan di negeri ini,” katanya.

-NFN-

Leave a Reply

Your email address will not be published.