Categories
AGENDA NASIONAL

Worldwide Holdings kerjasama lima PBT, bangun pusat pengurusan sisa pepejal

SHAH ALAM, 26 OGOS: Worldwide Holdings Berhad (Worldwide Holdings) bekerjasama dengan lima pihak berkuasa tempatan (PBT) Selangor membangunkan pusat pengurusan sisa pepejal bersepadu (ISWMC) terbesar, berteknologi hijau dan moden di negara ini.

Ketua pegawai eksekutifnya berkata kerjasama membabitkan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ), Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) dan Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS).

Datin Paduka Norazlina Zakaria menjelaskan kemudahan pusat pengurusan sisa pepejal dalam rawatan sisa buangan bakal dibina di pusat pelupusan sampah sedia ada di Jeram dengan loji waste-to-energy (WTE) menjadi sebahagian komponen ISWMC.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari (tengah) bergambar bersama Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Nor Azmie Diron (dua, kiri), EXCO Kerajaan Tempatan Ng Sze Han (dua, kanan), Ketua Pegawai Eksekutif Worldwide Holdings Datin Paduka Norazlina Zakaria (kiri) dan Ketua Pegawai Operasi Bahagian Pengurusan Projek dan Teknologi Hijau Worldwide Holdings Zamri Abdul Rahman (kanan) selepas majlis menandatangani perjanjian pembangunan pusat pelupusan sisa buangan di Jeram antara Worldwide Holdings dan PBT pada 19 Ogos 2021. Foto Unit Korporat Worldwide Holdings

“Kami berbesar hati dengan kepercayaan diberi Kerajaan Negeri untuk menerajui pembangunan ISWMC di Selangor dan berharap dapat menyokong usaha merealisasikan agenda strategik pemeliharaan alam sekitar dan negeri pintar menjelang 2025.

“Pelaksanaan teknologi WTE juga selaras matlamat kerajaan untuk mencapai kapasiti penjanaan tenaga boleh diperbaharui sebanyak 20 peratus menjelang 2025,” katanya dalam kenyataan.

Sementara itu, Norazlina berkata kerjasama itu menyumbang kepada usaha memastikan tarikh mula operasi (COD) ditetapkan Suruhanjaya Tenaga dapat dipenuhi bermula pertengahan 2024.

Majlis menandatangani perjanjian bersama lima PBT terbabit diadakan pada 19 Ogos lalu secara maya sambil disaksikan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari.

Worldwide Holdings diketuai Norazlina manakala MBSA diwakili Datuk Bandar Dato’ Zamani Ahmad, Sharipah Marhaini Syed Ali (Timbalan Datuk Bandar MBPJ) Noraini Roslan (Timbalan MBSJ), Mohd Fauzi Mohd Yatim (Yang Dipertua MPAJ), Rahilah Rahmat (Yang Dipertua MPKS).

 

Categories
AGENSI SELANGOR

KDEBWM saring petugas, kutipan sampah beberapa kawasan sedikit lewat

SHAH ALAM, 3 JULAI: KDEB Waste Management Sdn Bhd (KDEBWM) memaklumkan akan berlaku kelewatan bagi kutipan sisa pepejal di beberapa kawasan di Selangor.

Pengarah urusannya berkata ia berikutan operasi saringan terhadap petugas pembersihan selain sanitasi jentera bagi mencegah Covid-19.

“Kawasan yang terbabit adalah Kajang, Petaling Jaya, Subang Jaya, Sepang, Kuala Langat dan Ampang Jaya.

“KDEBWM juga telah mendapatkan khidmat pekerja sokongan bagi memastikan kutipan sisa pepejal dan pembersihan awam dilaksana mengikut jadual,” kata Ramli Mohd Tahir menerusi kenyataan hari ini.

Ramli berkata sekiranya terdapat masalah kelewatan kutipan sampah, orang ramai boleh menghubungi pusat aduan setempat atau pihak operasi cawangan terlibat ditalian 019-375 9592 dan 019-375 3980.

“Kami memohon maaf atas kesulitan dialami dan akan terus komited memberikan khidmat pengurusan sisa pepejal terbaik kepada rakyat Selangor,” katanya.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Tekad KDEBWM beri khidmat terbaik, pastikan Selangor negeri terbersih

KUALA LUMPUR, 3 APRIL: KDEB Waste Management (KDEBWM) berazam meneruskan khidmat terbaik dalam pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam di seluruh negeri.

Pengerusinya Ng Sze Han berkata syarikat itu juga bakal mempergiat program kitar semula di setiap pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi menjadikan Selangor negeri terbersih.

“Ini antara aspek yang perlu ditekankan jika mahu memastikan negeri ini paling bersih dan hijau. Semestinya, kita sentiasa komited untuk bekerja lebih kuat ke arah itu,” katanya.

Beliau ditemui pada Majlis Penganugerahan International Business Review ASEAN 2020 di Pusat Dagangan Dunia Putra di sini malam tadi.

KDEBWM, anak syarikat Kerajaan Negeri meraih anugerah bagi kategori kecemerlangan korporat dalam sektor utiliti oleh The IBR Asia Group.

Sementara itu, ketua media dan perhubungan awamnya berkata syarikat terbabit berjaya mengubah industri sampah ke arah pengurusan pintar menggunakan teknologi internet segalanya.

“Kejayaan ini bukan sahaja sebagai pembakar semangat malah pemangkin untuk memberi perkhidmatan lebih baik selain berharap mengembangkannya ke seluruh negara,” kata Mahfuzah Muhamad Tarmidi.

Pada Julai tahun lalu, syarikat itu menerima pengiktirafan terbesar dari Frost and Sullivan.

KDEBWM mengambil alih sepenuhnya perkhidmatan pengurusan kutipan sampah domestik di semua PBT seluruh negeri pada Januari 2020.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

PBT luar bandar terima dana urus sisa pepejal

SHAH ALAM, 6 NOV: Pihak berkuasa tempatan (PBT) luar bandar menerima bantuan kewangan daripada Kerajaan Negeri untuk menguruskan sisa pepejal.

EXCO kerajaan tempatan berkata PBT berstatus majlis daerah dan perbandaran tidak mempunyai hasil mencukupi untuk menanggung kos tersebut pada setiap tahun.

“Pada 2019, Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL) menerima bantuan kewangan RM1.25 juta, Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS) RM878,000, Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS) RM1.34 juta dan Majlis Daerah Sabak Bernam (MDSB) RM1.97 juta.

“Pada tahun ini, MPKL mendapat dana RM1.27 juta, MDKS (RM1.61 juta), MDHS (RM1.46 juta) dan MDSB (RM1.97 juta),” kata Ng Sze Han.

Beliau menjawab soalan wakil rakyat Dusun Tua Edry Faizal Eddy Yusof berhubung pengurusan sisa pepejal kawasan luar bandar pada sidang Dewan Negeri Selangor hari ini

Sze Han berkata PBT terlibat perlu mengemukakan permohonan dan nilai kontrak pada setiap tahun untuk bantuan kewangan.

“Kerajaan Negeri berharap bantuan ini akan memastikan kebersihan kawasan luar bandar terutama kampung bagan, kampung baru, kampung tradisi dan kampung tersusun,” katanya.

Categories
AGENDA NASIONAL

SWCorp tingkat sasaran kitar semula 40 peratus menjelang 2025

KUALA LUMPUR, 2 OGOS: Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) kini meningkatkan sasaran kadar kitar semula di enam negeri dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur di bawah seliaannya kepada 40 peratus menjelang 2025.

Pengarah Bahagian Penyelidikan dan Teknologi SWCorp Ir Zulkifli Tamby Chik berkata pihaknya yakin sasaran itu boleh dicapai susulan perkembangan positif dalam peningkatan kutipan barangan kitar semula, selain telah mencapai sasaran 30 peratus yang ditetapkan tahun ini.

“Berdasarkan cerapan data yang dibuat, terdapat peningkatan kutipan kitar semula yang ‘ketara’ pada tahun 2020 berbanding 2019.

“Misalnya jumlah kutipan barangan kitar semula pada Mei tahun ini adalah sebanyak 307.63 tan berbanding (tempoh sama) Mei tahun lepas yang berjumlah 163.15 tan,” katanya kepada Bernama.

Zulkifli berkata trend positif itu juga dilihat ketara ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula Mac lepas, yang mana ia dilihat dipengaruhi sikap dan kesedaran masyarakat terhadap budaya kitar semula yang sekali gus membantu mengurangkan sisa pepejal ke tapak pelupusan sampah.

“Walaupun perkhidmatan lain (seperti pusat kitar semula) yang menjadi penyumbang utama barangan kitar semula ditutup (semasa PKP), namun masih terdapat peningkatan dalam kutipan kitar semula dan “penggerak” peningkatan adalah peranan masyarakat,” katanya sambil menambah perbandingan antara dua tahun itu juga dilihat meningkat pada bulan yang lain.

Perkembangan positif itu juga membantu mempengaruhi penurunan janaan sisa pepejal terutama mencecah 40 peratus ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) iaitu daripada 582,585 tan sebelum PKP kepada 343,061 tan selepas PKP.

“Semasa PKPB (Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat), jumlah janaan sisa pepejal menurun pula kepada 209,207 tan dan semasa PKPP (Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan) (setakat 30 Jun) ia menurun lagi kepada 166,058 tan,” katanya yang juga berpandangan penurunan itu berikutan penutupan sektor komersial, perindustrian dan keinstitusian (ICI) sejak PKP diumumkan .

Ditanya adakah agensi tersebut menjangkakan jumlah janaan sisa pepejal itu akan menunjukkan penurunan selepas PKPP, Zulkifli berkata ia bergantung kepada sikap masyarakat untuk mengekalkan amalan positif tersebut.

“Kerajaan menghabiskan hampir RM1.9 billion setahun untuk kerja-kerja kutipan, pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam ini, jika trend positif (pengurangan janaan sisa pepejal) ini dikekalkan, ia juga dapat menjimatkan perbelanjaan negara selain menyumbang kepada kelestarian alam,” katanya.

Dalam pada itu, SWCorp juga akan memperluas dan mempertingkatkan penggunaan teknologi pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam dalam memastikan kualiti perkhidmatan berkualiti tinggi dan pengurusan kos yang efektif.

Zulkifli berkata pihaknya akan meneliti aspek fasiliti dan tapak pelupusan yang semakin terhad dan mencemarkan alam sekitar melalui kolaborasi dengan pihak industri dan tenaga pakar dalam mencapai tahap kos operasi yang cekap dalam jangka masa panjang.

“Kita tidak boleh bergantung kepada tapak pelupusan , kerana tapak pelupusan di Malaysia dah agak banyak dan tepu, jadi kita akan lihat balik strategi dan pelan tindakan komprehensif, dengan mewujudkan fasiliti ke arah penukaran sisa pepejal kepada tenaga (Waste to Energy), rawatan sisa binaan dan rawatan sisa makanan,” katanya.

Buat masa ini terdapat empat tapak penunu mini yang dalam projek perintis masing-masing di Pulau Langkawi, Pulau Pangkor, Cameron Highlands dan Pulau Tioman.

“SWCorp juga berhasrat meneroka pembangunan dalam bidang perawatan sisa makanan dengan teknologi ‘Anaerobic Digester’ memandangkan ia merupakan komposisi terbesar sisa pepejal di Malaysia iaitu 44.5 peratus,” katanya.

SWCorp bertanggungjawab mengawal selia enam negeri yang menerima Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 672) iaitu Kedah, Perlis, Pahang, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor serta Kuala Lumpur dalam perkhidmatan pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam.

Agensi itu turut mengawal selia Tapak Pelupusan Tertak Batu, Terengganu, untuk pelupusan sisa pepejal.

-BERNAMA

Categories
EXCO SELANGOR

Sisa pepejal bakal jadi sumber tenaga elektrik

SHAH ALAM, 8 NOV: Worldwide Holdings Berhad (WHB), anak syarikat Kerajaan Negeri akan membangunkan teknologi bagi menukar sisa pepejal di Selangor menjadi sumber elektrik dan baja.

EXCO Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam dan Pembangunan Kampung Baru, Ng Sze Han berkata, WHB kini diberi tanggungjawab dalam menguruskan  Pusat Pengurusan Sisa Pepejal Bersepadu ((ISWMC) dan dalam jangka panjang diharap sisa pepejal tersebut dapat dimanfaatkan.

“Dengan adanya teknologi baharu, sisa pepejal di Selangor bukan dilupuskan semata-mata tetapi akan menjadi sumber tenaga elektrik, penghasilan baja selain kutipan barangan kitar semula juga boleh menambah nilai kepada aktiviti ekonomi Kerajaan Negeri,” katanya.

Beliau  (PAKATAN-Kinrara) berkata demikian bagi menjawab soalan Dewan Undangan Negeri Teratai, Lai Wai Chong berkenaan pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam di Selangor.

Katanya, secara dasar, pengurusan sisa pepejal dan kerja-kerja pembersihan awam yang berkualiti memerlukan perbelanjaan besar dan sukar dikurangkan oleh Kerajaan Negeri.

“Ia kerana berlaku pertumbuhan pesat bandar-bandar, pertambahan kawasan perumahan dan penambahan bilangan penduduk,” katanya.

Justeru katanya, menerusi penggunaan teknologi baharu dalam pengurusan sampah diharap mampu mengubah persekitaran negeri ini.

Bagaimanapun, Sze Han berkata, usaha untuk mengurangkan kos pelupusan sampah hanya boleh dicapai melalui pengurangan jumlah sampah itu sendiri dan komuniti dididik melakukan pengasingan sisa pepejal.

“Kaedah terbaik dalam mengurangkan sampah adalah melalui pengasingan sisa pepejal dan melakukan proses kitar semula,” katanya.

Selain itu, katanya, Pihak Berkuasa Tempatan juga diminta memperhebatkan kempen kesedaran berkenaan pengasingan sisa pepejal dan memperkenalkan sistem pengasingan sisa di peringkat isi rumah atau  komuniti penduduk.

Categories
BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

Selangor rangka undang-undang pengasingan sisa pepejal

SHAH ALAM, 6 NOV: Kerajaan Negeri akan melaksanakan undang-undang mewajibkan pengasingan sisa pepejal mengikut jenis di setiap premis termasuk kediaman dan pusat perniagaan.

EXCO Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam dan Pembangunan Kampung Baru, Ng Sze Han berkata pihaknya sedang menyiapkan draf Rang Undang-Undang (RUU) Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam Selangor bagi tujuan itu.

“Hasrat ini sudah dimaklumkan kepada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) bagi memohon rundingan, yang akan menyaksikan orang ramai mengasingkan sisa pepejal mengikut jenis.

“Ia merangkumi bahan yang boleh dikitar semula, sisa baki dan sisa pukal di tempat berasingan sementara menunggu hari kutipan ditetapkan.

“Sebagai langkah awal draf RUU itu dibincangkan ke peringkat seterusnya, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) sudah memulakan program pengasingan sisa atau program kesedaran di kawasan masing-masing,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Chua Wei Kiat (PAKATAN-Rawang) di Dewan Negeri Selangor (DNS) hari ini.

Sze Han berkata kesedaran penduduk berhubung perkara itu masih rendah walaupun pelbagai kempen kesedaran dilakukan di pelbagai peringkat.

“Berdasarkan tinjauan rambang dan pemerhatian, antara sebab utama mengapa kurangnya sambutan dalam kalangan penduduk untuk melaksanakannya kerana beranggapan sistem imbuhan sedia ada tidak berbaloi dan kurang menarik.

“Penduduk juga tidak mahu mengeluarkan kos tambahan bagi membeli plastik yang berbeza warna bagi membuat pengasingan sampah,” katanya.

Categories
AGENDA NASIONAL

RM6.85 juta perkasa sisa pepejal dan kitar semula

SHAH ALAM, 1 NOV: Sejumlah RM6.85 juta diperuntuk untuk pengurusan sisa pepejal dan sampah pukal strata bagi tahun 2020.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata hal itu bagi membantu Pihak Berkuasa Tempatan yang tidak memiliki dana mencukupi bagi menyelesaikan masalah berkenaan.

Katanya purata jumlah sampah yang dikutip adalah kira-kira 7,000 tan sehari membabitkan 500 tan di kawasan kampung dengan anggaran jumlah penduduk luar bandar 2.2 juta orang.

“Dalam konteks pengurusan sisa pepejal domestik di kawasan kampung, isu longgokan sampah tidak terkawal serta pembuangan sampah oleh pihak luar yang tidak bertanggungjawab adalah cabaran kepada Kerajaan Negeri.

“Tanpa mengenepikan faktor migrasi bandar dan limpahan pembangunan ke kawasan luar bandar, sudah pasti jumlah sampah ini akan terus meningkat,” katanya pada pembentangan Belanjawan #Selangor2020.

Pada masa sama, Amirudin berkata Kerajaan Negeri amat prihatin dan sentiasa komited dalam
memastikan setiap perancangan dan pembangunan yang dilaksanakan secara holistik bagi mewujudkan persekitaran kehidupan berkualiti serta pembentukan masyarakat yang sejahtera.

“Bagi tujuan itu, Kerajaan Negeri akan memberi fokus kepada pewujudan Pusat Kitar Semula yang komprehensif di semua Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) selaras konsep ekonomi kitaran iaitu Waste to Wealth.

“Justeru, bagi menjayakan hasrat itu pada tahun 2020 Kerajaan Negeri akan memperuntukkan RM600,000 bagi mewujudkan Pusat Kitar Semula yang komprehensif di semua PBT,” katanya.

Antara lain:

-Kerajaan Negeri memperuntukan RM500,000 bagi pelbagai program konservasi sungai termasuk program Sahabat Sungai (Friends of River)

-RM 500,000 sebagai projek perintis kitar semula yang membabitkan beberapa kampung terpilih

-RM1.5 juta melalui PBT akan mewujudkan kesukarelawanan hijau dalam kalangan komuniti setempat bagi melaksanakan program secara berkala bagi menghijaukan alam sekitar, mengindahkan landskap, menjaga kebersihan kawasan sekitar dan memastikan kawasan masing-masing bebas dari pembakaran terbuka dan pencemaran

-Sasaran 21 Sahabat Sungai akan diwujudkan dengan kerjasama pelbagai pihak pada tahun 2020

Categories
AGENDA NASIONAL

Kerajaan komited laksana sistem pengurusan sisa pepejal lebih teratur

KUALA TERENGGANU, 28 OKT: Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan akan melaksanakan sistem pengurusan sisa pepejal yang lebih teratur dan efektif di seluruh negara.

Menterinya, Zuraida Kamaruddin berkata, sebagai permulaan, empat tapak pelupusan sampah baharu yang lebih teratur dengan kombinasi beberapa teknologi lebih moden akan dibina dan dinaiktaraf di seluruh Terengganu.

Katanya, empat lokasi yang telah dikenalpasti ialah di Sungai Ikan untuk pelupusan sampah bagi daerah Kuala Terengganu dan Setiu, Bukit Jemalang (Kemaman dan Dungun), Tertak Batu (Marang dan Hulu Terengganu) serta Pengkalan Keling (Besut).

“Dalam taklimat mengenai pengurusan sisa pepejal yang disampaikan kepada saya semalam, terdapat tujuh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di seluruh Terengganu, namun tapak pelupusan sampahnya berterabur dan tidak dikawal selia dengan efektif.

“Oleh itu, ia perlu diselaraskan dengan pemilihan empat lokasi tersebut untuk memastikan Terengganu sebagai negeri pelancongan yang akan mempunyai sistem pengurusan terbaik dari aspek kebersihannya,” katanya kepada pemberita selepas melawat tapak cadangan terminal pengangkutan awam bersepadu di KT Sentral dekat Bandar Baru Bukit Besar di sini, hari ini.

Ketika ini, Terengganu hanya menghasilkan kira-kira 500 tan sampah setiap hari dan jumlah itu dikategorikan sebagai sederhana berbanding negeri maju yang menghasilkan sisa pepejal lebih tinggi seperti Selangor kira-kira 7,000 tan sampah sehari dan Kuala Lumpur sebanyak 3,000 tan.

Zuraida berkata, fokus utama kementerian ialah pengurusan yang teratur dan bersistematik tanpa mengira kuantiti sampah di sesebuah negeri.

“Negeri yang maju lagi banyak sampah, tapi isunya di sini ialah pengurusan yang berkesan, kalau pengurusan tak elok, sikit pun jadi teruk. Sebab tu negeri maju pengurusannya lebih kemas, banyak teknologi baharu dan boleh kitar semula serta menghasilkan duit sebenarnya.

“Jadi kita nak mula dengan Terengganu ni dari peringkat awal sebelum jadi lagi banyak sampah tu. Bila pengurusannya tersusun dan teratur, semuanya akan bersistem dan tidak mendatangkan masalah apabila Terengganu semakin membangun,” katanya.

Mengulas mengenai pembinaan terminal pengangkutan awam bersepadu itu, Zuraida berkata kerajaan pusat akan menyokong cadangan pembinaan itu, namun Kerajaan Negeri perlu membuat pembentangan yang lebih terperinci kepada Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan KPKT untuk kelulusan.

“InsyaAllah kita akan serap projek ini ke dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12). Projek ini dijangka mengambil masa tiga tahun untuk disiapkan dengan kos dianggarkan RM156 juta.

“KT Sentral ini akan menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi dan sektor pelancongan di Terengganu seterusnya menjadi ‘mini Putrajaya’ kerana kawasan sekitarnya juga pesat dengan pembangunan beberapa agensi kerajaan seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Jabatan Kimia, Jabatan Audit Negara dan Jabatan Kesihatan,” katanya.

Ditanya mengenai hentian bas sedia ada di Jalan Syed Husin di sini, Zuraida berkata kerajaan tidak akan merobohkannya, malah ia akan dinaiktaraf untuk memberi peluang kepada lebih ramai peniaga beroperasi di situ.

“Kedudukannya juga sangat strategik dan akan bertindak sebagai hub sokongan untuk sistem pengangkutan awam bersepadu di Kuala Terengganu,” katanya.

-BERNAMA

Categories
SELANGOR

Kerjasama tambah baik urus sisa pepejal

OLEH SABIRAH AZIZ

SHAH ALAM, 13 NOV: Pihak Berkuasa Tempatan akan bekerjasama dengan pihak industri atau perkilangan bagi menguruskan sisa pepejal dengan lebih berkesan, kata Exco Kerajaan Tempatan, Pemutihan Kilang Haram dan Pembangunan Kampung Baru, Ean Yong Hian Wah.

Beliau berkata, antara perancangan jangka pendek ialah mendidik pekerja dan pengurusan tertinggi industri mengamalkan lebih banyak aktiviti kitar semula seacara berperingkat, di samping memberikan pelbagai inisiatif serta perkongsian berkaitan program 3R (Reduce, Reuse, Recycle).

“Selain itu, pihak industri diminta mewujudkan polisi kitar semula sebagai aktiviti yang perlu diamalkan, sekali gus menganjurkan kempen berkenaan kepentingan pengurusan sisa di pusat penjanaan sisa, di kawasan mereka.

“Bagi perancangan jangka panjang, pembabitan syarikat kontraktor pengurusan sisa yang berminat menjadi panel akan ditambah supaya masalah lambakan sampah haram dapat diatasi secara berkesan dan mengambil alih pengurusan sisa industri jika ada peruntukan mencukupi serta keperluan logistik besar,” katanya.

Beliau berkata demikian menjawab pertanyaan Ahli Dewan Negeri Sekinchan, Ng Suee Lim berkenaan pengurusan sisa pepejal industri, pada sidang Dewan Negeri Selangor (DNS), hari ini.

Hian Wah berkata, pemantauan berkala juga akan dilakukan terhadap pengusaha kilang dan kontraktor panel dilantik dengan membuat auditan pengurusan serta pelupusan sisa industri.

Selain itu, katanya, Kerajaan Negeri akan menjemput pelabur swasta membuat pelaburan bagi meneroka sistem rawatan dan pelupusan sisa industri baharu serta efisien.

“Perancangan ini membolehkan keselamatan dan kesejahteraan alam sekitar dikekalkan serta ditambah baik,” katanya.

Categories
SELANGOR

Pembangunan ISWMC atasi masalah pelupusan sisa pepejal

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 7 NOV: Kerajaan Negeri melaksanakan pembangunan Integrated Solid Waste Management Centre (ISWMC) bagi penambahbaikan sistem pelupusan dan rawatan sisa pepejal di Selangor.

Exco Kerajaan Tempatan, Pemutihan Kilang Haram dan Pembangunan Kampung Baru, Ean Yong Hian Wah berkata, pelaksanaannya berdasarkan kelulusan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri pada 18 Mei tahun lalu dengan anak syarkat Kerajaan Negeri, Worldwide Holdings Berhad (WHB) membangunkannya bersebelahan Tapak Pelupusan Sanitari Jeram (TPSJ) Kuala Selangor.

“ISWMC adalah sistem pelupusan dan rawatan sisa pepejal menyeluruh merangkumi fasiliti seperti Loji Waste To Energy (WTE), Loji Kitar Semula, Loji Pencemaran Anerobik (AD), Loji Kompos, Loji Kitar Semula Sisa Binaan serta Pusat Penyelidikan dan Pembangunan.

“Dengan adanya ISWMC, sisa pepejal dihasilkan di Selangor bukan hanya dilupuskan tetapi menjadi sumber kepada tenaga elektrik, penghasilan baja, kutipan barangan kitar semula dan sebagainya yang dapat menambah nilai kepada aktiviti ekonomi negeri,” katanya ketika menjawab pertanyaan lisan Ahli Dewan Negeri (ADN), Dr Idris Ahmad dalam Sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) di sini, hari ini.

Berhubung kemudahan dan jangka hayat tapak pelupusan sampah, beliau menjelaskan, terdapat sembilan tapak pelupusan sisa pepejal beroperasi ketika ini dengan Tapak Pelupusan Sisa Lengai Dengkil (TPSLD) yang pertama pada 2004 sehingga 2029.

Tambahnya, TPSLD dengan keluasan 140 ekar berkemampuan menampung kapasiti sisa pepejal sebanyak 250 tan sehari.

“Tapak pelupusan lain antaranya TPSJ mula beroperasi pada 2007 hingga 2027 berkeluasan 293 ekar dengan kemampuan kapasiti 3,100 tan sehari, Tapak Pelupusan Sanitari Tanjung Duabelas dari 2010 hingga 2027 (160 ekar) (1,600 tan sehari) dan Tapak Pelupusan Terbuka Pancang Bedena dari 2016 hingga 2026 (25 ekar) (80 tan sehari).

“Manakala yang lain seperti Tapak Pelupusan Sanitari Bukit Tagar dari tahun lalu hingga 2047 (400 ekar) (400 tan sehari), Tapak Pelupusan Sisa Lengai Kuang mulai 2007 hingga 2022 (27 ekar) (290 tan sehari) dan Tapak Pelupusan Sisa Lengai Sungai Kertas dari 2011 hingga 2018 (14 ekar) (350 tan sehari),” katanya.

Semantara dua tapak lagi, katanya, Tapak Pelupusan Sisa Lengai Pulau Ketam yang mula beroperasi 2015 hingga 2020 seluas 0.4 ekar dan kapasiti dua tan seminggu dan Tapak Pelupusan Sisa Lengai Misi Restu Sdn Bhd bermula 2016 hingga 2030 (42 ekar) (270 tan sehari).

=EZY=

Categories
SELANGOR

Tiada aduan negatif, WHB urus SATS dengan baik

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 22 OGOS: Worldwide Holding Berhad (WHB) berjaya mengendalikan operasi Stesen Pemindahan Sisa Pepejal (SATS) di Seksyen 21 di sini, dengan baik di sepanjang tempoh lima tahun pengurusannya.

Exco Kerajaan Tempatan, Pemutihan Kilang Haram dan Pembangunan Kampung Baru, Ean Yong Hian Wah, berkata anak syarikat Kerajaan Negeri itu tidak pernah menerima aduan negatif maka tuduhan dibuat ke atasnya adalah tidak berasas sama sekali.

“Tuduhan Menteri Kesejahateraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Tan Sri Noh Omar, mengenai ketidakcekapan pengurusan WHB adalah satu fitnah dan tidak tepat.

“Ingin dimaklumkan bahawa sepanjang tempoh pengurusan tapak SATS, WHB tidak pernah menerima sebarang aduan tidak baik berkenaan pengurusan dan perkhidmatannya daripada pihak berkuasa tempatan (PBT), KPKT dan agensi berkaitan pengurusannya,” katanya dalam kenyataan kepada SelangorKini.

Beliau berkata, di sepanjang tempoh lima tahun pengurusannya, WHB menerima lawatan lebih 10 kali daripada KPKT dan pelbagai agensi antaranya Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp), Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Negera (JPSPN) Dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) yang memberikan maklum balas baik.

“KPKT telah menempatkan dua pegawai SWCorp selama dua bulan bagi menjalani latihan pengurusan alam sekitar di SATS dan laporan pengoperasian serta penyelengaraannya diberikan kepada kementerian dibuat secara berkala.

“Surat aduan daripada KPKT berhubung ketidakpuasan pengoperasian dan penyelenggaraan SATS tidak pernah diterima WHB sepanjang tempoh lima tahun,” katanya.

Dalam laporan media, Noh berkata, KPKT akan segera membaiki stesen itu setelah mengambilalih operasinya pada akhir Julai lalu untuk memudahkan penghantaran sisa pepejal ke stesen oleh empat PBT yang kini menghantar sisa itu ke Tapak pelupusan di Jeram.

KPKT juga dikatakan menghentikan kontrak kontraktor dilantik Kerajaan Selangor yang tamat pada 21 Mei lalu kerana tidak berpuas hati dengan kerja dijalankan.

Dalam Sidang Dewan Negara, Timbalan Menteri KPKT, Datuk Halimah Mohamed Sadique menyatakan Kerajaan Selangor berhenti menggunakan SATS selepas Kerajaan Persekutuan mengambilalih operasinya pada Julai lalu.

=EZY=