Categories
SELANGOR

Syabas patut segera atasi paip pecah jejas Pulau Ketam & Sg Lima

Oleh: Naeem Raffi

SHAH ALAM 24 JUN: Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) digesa menangani masalah paip pecah di dasar laut dengan segera bagi membolehkan 5,921 pengguna di kawasan Pulau Ketam dan Sungai Lima menerima bekalan air bersih.

Adun Selat Kelang, Dr Halimah Ali turut mengesa Syabas belajar dari pengalaman lalu dan mencari kaedah terbaik agar masalah sama tidak berulang.

“Mahu atau tidak, Syabas perlu mengambil serius perkara ini dengan memikirkan jalan terbaik bagi mengatasi kes seumpamanya dari terus berulang.

“Sekiranya tidak, apa jaminan masa depan untuk penduduk di Pulau Ketam dan Sungai Lima,” jelasnya ketika dihubungi Selangor Kini.

syabassKawasan Pulau Ketam dan Sungai Lima terputus bekalan air tidak berjadual sejak 21 Jun lalu ekoran kejadian paip pecah di dasar laut dengan jajaran paip sepanjang 18 kilometer.

Sekurang-kurangnya 1,184 akaun pengguna di kedua-dua kawasan itu terputus membekalkan air bersih apabila paip bersaiz 450mm, jenis High Density Polyethylene (HDPE) dilaporkan bocor.

Syabas dalam satu kenyataannya berkata tempoh sekurang-kurang seminggu diperlukan bagi melakukan kerja-kerja pembaikan.

Syabas juga menagih khidmat tenaga penyelam profesional dan peralatan pembaikan khusus untuk kerja-kerja pembaikan paip di dasar laut.

“Sudah tentu ia menyusahkan penduduk di sana. Mereka bukan berada di tanah besar (Darat) yang mudah mencari talian hayat sekirannya air dari tangki simpanan mereka habis.

“Ia bukan sahaja menjejaskan kehidupan harian penduduk disana, mata pencarian pengusaha hotel, restoran makanan laut dan juga industri perikanan turut terjejas,” katanya.

Sebelum ini, penduduk Pulau Ketam pernah terputus bekalan lebih tiga minggu.

Kejadian pada 13 Oktober 2008 itu turut berpunca dari masalah paip pecah di dasar laut.

Selangor Kini difahamkan kejadian pada tahun 2008 itu berpunca daripada sauh dari kapal yang melalui kawasan jajaran paip yang membekalkan bekalan air bersih ke Pulau Ketam.

“Ini adalah masalah yang berulang dan Syabas sendiri mengakui kerja-kerja baik pulih paip bocor di dasar laut bukan suatu kerja yang mudah serta memerlukan masa yang panjang,” jelasnya.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.