Categories
NASIONAL

Umno serlah politik kuno, Ku Nan mahu guru jadi propaganda

Oleh: Lizawati Madfa

SHAH ALAM 4 JUN : Umno-BN sekali lagi menyerlahkan politik kunonya apabila dengan terang-terangan mahu menjadikan guru sebagai agen propaganda mereka.

Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil berkata kenyataan terbaru Menteri Wilayah, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor semalam menyerlahkan politik kuno Umno-BN yang diamalkan sekian lama.

UMNO BN 55Katanya, keadaan ini sama sekali tidak sihat untuk masa depan pendidikan negara selain bertentangan dengan falsafah asas atau raison d’etre Pelan Pembangunan Pendidikan.

“Hingga ke hari ini hanya ahli-ahli politik Umno-BN yang punyai ‘kuasa’ untuk memasuki sekolah-sekolah, sedangkan wakil rakyat Pakatan Rakyat (PR) dihalang walau untuk program kebajikan.

“Oleh itu, ketidakadilan yang wujud akan bertambah teruk apabila guru-guru yang berpihak kepada Umno-BN mungkin akan menerima layanan yang baik.

“Manakala yang berpihak kepada PR atau tidak mahu berpihak pula mungkin ditukar tempat kerja, dilambatkan kenaikan pangkat atau lebih teruk dari itu,” katanya dalam satu kenyataan.

Semalam, dalam satu Majlis Penghargaan Guru di Kuala Lumpur, Tengku Adnan menggesa para penjawat guru kembali ke pangkuan Barisan Nasional (BN) dan berkata keputusan untuk menyekat guru dari menyertai politik adalah satu kesilapan.

Tengku Adnan juga berkata guru yang tidak menyertai politik boleh melemahkan BN kerana golongan itu sejak awal lagi merupakan penggerak parti.

Sehubungan itu, Fahmi menggesa Tengku Adnan dan Umno-BN supaya tidak memperalatkan guru-guru yang menjadi tiang seri pendidikan negara hanya demi kepentingan masa depan politik yang kuno lagi sempit.

“Umum sedia maklum, pendidikan membentuk masa depan bukan sahaja bagi seseorang individu, malah untuk seluruh negara.

“Namun, dasar pendidikan yang diangkat pentadbiran Umno-BN hingga kini terus menimbulkan polemik yang tidak produktif, sama ada dari segi isu bahasa, hubungan sosial, malah isi kandungan mata pelajaran itu sendiri,” katanya lagi.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.