Categories
KENYATAAN MEDIA

DBKL wajib bantu Dapur Jalanan (Soup Kitchen)

Oleh: Tuan Ibrahim Tuan Man

Renungilah sebuah hadis Nabi yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah yang berbunyi :-

مَنْ نَفَّسَ عَنْ مُؤْمِنٍ كُرْبَةً مِنْ كُرَبِ الدُّنْيَا نَفَّسَ اللهُ عَنْهُ كُرْبَةً مِنْ كُرَبِ يَوْمِ القِيَامَةِ وَمَنْ يَسَّرَ عَلَى مُعْسِرٍ يَسَّرَ اللهُ عَلَيْهِ فِى الدُّنْيَا والآخِرَةِ – رواه مسلم

Yang bermaksud : ..Sesiapa yang melapangkan atau menolong seorang mukmin daripada satu kesusahan daripada kesusahan dunia nescaya Allah akan melapangkan atau menolong baginya daripada kesusahan-kesusahan hari qiamat. Dan sesiapa memudahkan atas orang yang sedang dalam kesusahan maka Allah akan memudahkan baginya kesusahan-kesusahan di dunia dan juga di akhirat.

PAS tidak bersetuju dengan kenyataan menghina Menteri Wilayah Persektuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor yang menyalahkan usaha murni yang dilakukan oleh Soup Kitchen memberikan makanan kepada mereka yang susah dan tidak berumah di Kuala Lumpur sebagai faktor yang menjejaskan imej bandar raya Kuala Lumpur.

BrogLWKCcAExFUYDBKL sepatutnya berganding tangan dengan NGO-NGO yang terbabit dengan Soup Kitchen dan bukan menghalau mereka.

Jika kebersihan menjadi satu masalah kepada Tengku Adnan, beliau sepatutnya mengarahkan DBKL untuk membantu membersihkan kawasan-kawasan yang digunakan oleh Soup Kitchen selepas habisnya aktiviti kebajikan mereka, sepertimana servis yang diberikan kepada kawasan-kawasan pasar dan pasar malam sekitar ibukota.

Silap-silap dengan kerjasama DBKL, aktiviti-aktiviti Soup Kitchen juga boleh berubah menjadi satu kawasan tarikan pelancong yang menguntungkan warga KL.

PAS mencadangkan agar Tengku Adnan turun sendiri melihat warga kota yang susah. PAS sendiri ada memberi makanan percuma kepada rakyat jelata yang susah tanpa mengira latar belakang daripada Pejabat Agong PAS di Jalan Raja Laut secara berkala.

Lebih elok jika Tengku Adnan mencadangkan agar dalam lingkungan 2km daripada pusat membeli-belah Lot 10 digazetkan sebagai kawasan bebas penjenayah, kongsi gelap, tandas kotor dan jalan berlubang.

Itu sebenarnya lebih membantu menaikkan imej bandaraya Kuala Lumpur daripada menghalang aktiviti kebajikan yang dilakukan oleh Soup Kitchen.

PAS akan mengerahkan Unit Amal untuk membantu Soup Kitchen sepanjang aktivitinya, termasuk aktiviti membersihkan kawasan yang digunakan Soup Kitchen untuk memastikan orang yang susah dapat terus diberi bantuan dari mereka yang sudi membantu.

Kerajaan perlu peka bahawa terdapat banyak rakyat yang hidup susah di Kuala Lumpur. Betul, imej Kuala Lumpur perlu dijaga tapi bukan dengan menghalang aktiviti kebajikan, sebaliknya aktiviti jenayah.

* Tuan Ibrahim Tuan Man adalah Naib Presiden PAS

Leave a Reply

Your email address will not be published.