Categories
NASIONAL

Larangan Puasa: Adun DAP gesa Kerajaan Pusat bersuara pertahan hak Muslim di Xinjiang

SHAH ALAM 4 JULAI: Kerajaan Malaysia digesa bersuara bagi minoriti Muslim di Xinjiang yang dilarang daripada berpuasa di bulan Ramadan.

ADUN Damansara Utama, Yeo Bee Yin, berkata larangan itu menidakkan lebih kurang 10 juta umat Islam Xinjiang melaksanakan tanggungjawab salah satu daripada lima rukun Islam.

133149_muslimbeijing“Kita kecewa laporan berita kerajaan pusat di Beijing, China melarang penjawat awam, pelajar dan ahli Parti Komunis China beragama Islam berpuasa dalam bulan mulia Ramadan di Xinjiang daerah autonomi Uyghur,” kata Bee Yin dalam kenyataan media.

Beliau berkata, Putrajaya mesti meyakinkan Beijing bahawa membenarkan umat Islam Xinjiang berpuasa pada bulan Ramadan tidak menimbulkan ketegangan agama tetapi dapat menyemai rasa hormat, kemanan dan keharmonian sesama mereka.

“Kita menyeru Putrajaya menemukan penyelesaian baik dan memberikan suatu peringatan kepada Beijing supaya menghormati hak minoriti Muslim di Xinjiang,” katanya.

uighurBeliau berkata, adalah disedari kepentingan membentuk hubungan baik dengan China sebagai sebuah kuasa ekonomi, sehinggakan Putrajaya sanggup berbelanja puluhan juta untuk dua ekor panda bagi meraikan ulangtahun ke 40 hubungan diplomatik Malaysia-China.

Bagaimanapun, dipercayai bahawa Putrajaya sudah boleh mengalihkan perhatian mereka daripada Xing Xing dan Liang Liang di Zoo Negara dan memberi perhatian kepada hak 10 juta umat Islam di Xinjiang.

“Dengan semangat kebebasan beragama dan perlindungan hak minoriti, kita berharap supaya kerajaan Malaysia tidak akan berdiam diri terhadap larangan kerajaan pusat di Beijing terhadap ibadah puasa di bulan Ramadan bagi daerah Xinjiang.

“Sebagai rakan setaraf Beijing, Putrajaya boleh memberikan pandangan berbeza terhadap isu tersebut tanpa merosakkan hubungan diplomatik antara kedua-dua negara,” katanya.

EZY

 

Leave a Reply

Your email address will not be published.