Categories
NASIONAL

EKSKLUSIF: ABIM kerjasama dengan negara luar dedah penindasan Islam Xinjiang

Oleh : AFEEQA AFEERA

SHAH ALAM, 26 JULAI : Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) terus mempergiatkan usaha dengan menganjurkan kempen penerangan kepada masyarakat umum di seluruh negera berhubung penindasan kerajaan China terhadap umat Islam Uyghur di wilayah Xinjiang.

Naib Presidennya, Mohammad Raimi Ab Rahim, berkata pihaknya turut bekerjasama dengan badan bukan kerajaan (NGO) lain dari Eropah, Amerika Utara, Turki serta negara Islam lain untuk menyebarkan maklumat bagi membela nasib etnik Uyghur.

Beliau berkata, kempen yang bermula kira-kira dua minggu lalu mensasarkan kawasan masjid serta surau sebagai pusat maklumat dan mendapat respon menggalakkan daripada orang ramai.

uyghur1“Kita akan jalankan tanggungjawab untuk terangkan kepada masyarakat dalam fasa pertama kempen ini dan ia akan memakan masa panjang, memerlukan usaha diplomasi, perjanjian serta usaha di peringkat lobi yang lebih tinggi dalam konteks politik antara negara.

“Kita ingin dedahkan serta ceritakan pelbagai bentuk penindasan yang berlaku kepada etnik ini sejak lebih 50 tahun lalu,” katanya kepada Selangor Kini.

Bagaimanapun, Raimi berkata, proses penerangan itu mungkin berdepan sedikit kesukaran jika tidak mendapat kerjasama Persatuan Uyghur di seluruh dunia untuk mengetengahkan isu berkenaan.

Katanya, akses maklumat di China yang terhad sedikit sebanyak menyulitkan usaha pihak luar untuk mendapat maklumat berhubung masyarakat Uyghur.

“Biasanya di negara komunis agak sukar untuk mendapatkan maklumat kerana akses media itu terhad, bahkan berlaku kekangan bahasa antara kaum Uyghur dengan masyarakat luar untuk berkomunikasi. Semua persatuan seluruh dunia yang peka dengan isu perlu mainkan peranan dengan baik,” katanya.

raimi-abimABIM dengan kerjasama Global Peace Mission Malaysia (GPM) turut melancarkan Tabung Prihatin bagi membantu etnik Uyghur termasuk di seluruh dunia.

Etnik Uyghur tidak dibenarkan mengamalkan ajaran Islam antaranya kakitangan kerajaan dan kanak-kanak berumur di bawah 18 tahun dilarang untuk hadir ke masjid untuk mendirikan solat jemaah, larangan memakai tudung serta menyimpan janggut.

Selain itu, mereka turut dilarang daripada berpuasa sebagai justifikasi bagi memelihara kesihatan dan produktiviti kerja.

-NFN-

 

Leave a Reply

Your email address will not be published.