Categories
NASIONAL

China terus menekan Islam Xinjiang, 22 pemimpin agama dipenjara

SHAH ALAM, 12 NOV: Kerajaan China terus menekan masyarakat Islam Uyghur di wilayah barat Xinjiang apabila memenjarakan 22 pemimpin agama membabitkan pelbagai alasan antaranya rogol, ajaran memyalahi undang-undang dan mengganggu ketenteraman awam, pada 10 November lalu.

Mereka bakal dipenjarakan antara lima hingga 16 tahun dan ada di kalangan pemimpin berkenaan digelar imam yang ganas dalam usaha memberi tekanan hebat kepada etnik berkenaan.

Memetik laporan The New York Times, 22 pemimpin agama itu juga dipenjarakan kononnya kerana terus melaksanaan program keagamaan walaupun sudah dipecat, menghasut kebencian kaum dan mengeksploitasi kepercayaan tahyul untuk melemahkan pelaksanaan undang-undang.

uyghur1Etnik Uyhgur menolak tindakan kejam itu dan mengadakan perhimpunan aman bagi membantah keputusan yang dilaksanakan pihak berkuasa Xinjiang.

Hukuman itu adalah sebahagian daripada tindakan yang diambil pihak berkuasa Xinjiang terhadap pelampau agama yang bermula pada Mei lalu.

Antara tindakan lain yang dilakukan ke atas masyarakat muslim Xinjiang termasuk sekatan terhadap amalan Islam di luar masjid, pengharaman tudung bagi kaum wanita dan hukuman ke atas golongan muda yang memuat turun ucapan jihad dari laman sesawang.

Langkah itu dilihat sebahagian daripada operasi pembersihan etnik yang dilakukan kerajaan China terhadap masyarakat Uyghur di wilayah Xinjiang menyebabkan populasi kaum itu berkurang secara drastik sehingga 45 peratus setakat ini.

Antara modus yang digunakan adalah memindahkan rakyat Uyghur dan menggantikannya dengan imigran terdiri daripada kaum Han yang akan menjaga kepentingan republik itu di wilayah berkenaan.

uyghurPopulasi etnik Uyghur bukan sahaja dikurangkan, bahkan mereka juga mendapat layanan kerakyatan kelas ketiga dan terpinggir daripada sebarang kemajuan ekonomi.

Selain itu, pihak berkuasa Xinjiang juga sentiasa mengawal kebebasan beragama dan memantau pergerakan individu yang disyaki cuba melanggar peraturan yang ditetapkan.

Kebimbangan dan kekhuatiran kerajaan China untuk memberi mandat dan hak kepada rakyat Uyghur yang beragama Islam dipercayai mempunyai kaitan dengan kepentingan politik.

-NFN-

Categories
NASIONAL

EKSKLUSIF: ABIM pergiat kempen penerangan penindasan Islam Xinjiang

Oleh: AFEEQA AFEERA

SHAH ALAM, 5 OGOS: Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) dijangka akan terus melancarkan kempen penerangan secara agresif bagi membuka mata masyarakat dunia berhubung penindasan yang dilakukan kerajaan China terhadap umat Islam Uyghur di Xinjiang.

Naib Presidennya, Mohammad Raimi Ab Rahim, berkata ia ditambah dengan serangan terbaru di wilayah itu sehingga mengorbankan hampir 100 nyawa dengan sebilangan besarnya terdiri daripada etnik Uyghur.

Katanya, ABIM turut mengambil kesempatan memberi penerangan berhubung isu Palestin yang juga menjadi keprihatinan umat Islam seluruh dunia selain di Xinjiang.

uyghur2“Kita jangkakan proses penerangan selepas Ramadan ini akan lebih agresif terutama dengan serangan terbaru kerana keadaan di sana bertambah teruk.

“Walaupun dunia kini lebih tertumpu kepada Palestin, tetapi pada masa sama masyarakat Islam di Malaysia tidak seharusnya melupakan kempen untuk membantu masyarakat Xinjiang dan Uyghur,” katanya kepada Selangor Kini.

Raimi berkata, kerjasama pihaknya bersama badan antarabangsa seperti di Turki dan Eropah masih berjalan lancar dan sedang menunggu langkah seterusnya untuk memberi kenyataan tegas berhubung penindasan terhadap umat Islam minoriti itu.

Katanya, buat masa ini pihaknya sudah menghantar protes dan akan terus membuat bantahan serta penerangan kepada seluruh masyarakat.

“Disebabkan maklumat yang agak terkawal di sana jadi kita sedang menunggu langkah berikutnya untuk memberikan satu kenyataan tegas apakah tindakan masyarakat komuniti Uyghur sedunia serta badan bukan kerajaan (NGO) yang membantu mereka.

raimi abim“Kita juga mohon kepada masjid dan surau yang mahukan penjelasan untuk hubungi ABIM dan mereka akan diberi penerangan,” katanya.

ABIM dengan kerjasama Global Peace Mission Malaysia (GPM) turut melancarkan Tabung Prihatin bagi membantu etnik Uyghur termasuk di seluruh dunia.

Etnik Uyghur tidak dibenarkan mengamalkan ajaran Islam antaranya kakitangan kerajaan dan kanak-kanak berumur di bawah 18 tahun dilarang untuk hadir ke masjid untuk mendirikan solat jemaah, larangan memakai tudung serta menyimpan janggut.

Selain itu, mereka turut dilarang daripada berpuasa kononnya sebagai justifikasi bagi memelihara kesihatan dan produktiviti kerja.

-NFN-

Categories
NASIONAL

EKSKLUSIF: 100 penduduk Islam Xinjiang mangsa serangan ganas 1 Syawal

Oleh: AFEEQA AFEERA

SHAH ALAM, 5 OGOS : Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) mengecam sekeras-kerasnya pertempuran ganas yang tercetus pada 1 Syawal lalu di bahagian barat Xinjiang, China hingga mengorbankan hampir 100 penduduk minoriti Islam di negara itu.

Naib Presidennya, Mohammad Raimi Ab Rahim, berkata tindakan itu adalah satu bentuk kekejaman yang seharusnya dikecam masyarakat dunia terutama berlaku di saat umat Islam sedang menyambut Aidilfitri.

Katanya, tiada tindakan jelas dan proaktif daripada kerajaan China berhubung serangan ganas itu, sebaliknya kepimpinan republik berkenaan dilihat lebih selesa berdiam diri dan membiarkan kekacauan terus berlaku di wilayah Xinjiang.

uyghurKita mengkritik keras serangan terbaru itu dan mendapati kegagalan berlaku di pihak keselamatan serta negara China kerana membenarkan pembunuhan juga kekacauan timbul tanpa sebarang tindakan proaktif untuk melindungi rakyat Islam Uyghur di sana.

“Ini adalah satu bentuk kekejaman yang harus dikecam dunia,” katanya kepada Selangor Kini.

Raimi berkata, insiden penindasan yang berlaku di Turkistan atau Xinjiang mendapat perhatian daripada masyarakat dunia, namun sedikit teralih berikutan tumpuan diberikan kepada isu Palestin.

Katanya, satu tunjuk perasaan turut dianjurkan beberapa hari lepas di Turki bagi membantah serangan dan pembunuhan yang dilakukan kerajaan China terhadap masyarakat Uyghur di wilayah berkenaan.

“Kita kecam tindakan yang dibuat kerajaan China terhadap masyarakat Uyghur dan ini dilakukan tatkala mereka ingin menyambut Syawal.

raimi-abim“Masyarakat Islam di sana tertindas dan dibunuh, bahkan kita juga sedang memantau secara dekat ketegangan yang berlaku di sana,” katanya.

Media tempatan China sebelum ini memaklumkan berpuluh penduduk dan penyerang maut serta cedera dalam serangan ganas di daerah Shache berdekatan gurun Taklamakan dalam wilayah berkenaan.

Media turut melaporkan, sekumpulan lelaki bersenjata pisau dan kapak menggempur sebuah balai polis dan pejabat kerajaan di bandar Elixku, manakala beberapa yang lain memasuki pekan Huangdi serta menyerang orang awam juga memusnahkan kenderaan.

Menurut agensi berita Xinhua, polis menembak mati anggota kumpulan bersenjata di lokasi kejadian, namun jumlah sebenar mangsa terkorban tidak diketahui memandangkan maklumat di Xinjiang sukar untuk disahkan.

Dilaporkan lebih 20 orang penduduk Uyghur terkorban dan 10 yang lain cedera, manakala 13 anggota keselamatan terkorban atau cedera, sementara 67 orang lagi ditahan.

Pekerja hotel dan restoran di Shache bagaimanapun tidak mengetahui berkenaan kejadian itu, manakala menurut Xinhua, siasatan awal mendapati insiden berkenaan dilancarkan secara terancang.

Kumpulan hak asasi mendakwa kerajaan China menindas penduduk Islam Uyghur, termasuk melarang mereka berpuasa di bulan Ramadan, namun kerajaan menyangkal dakwaan terbabit dan menegaskan pihaknya sudah meningkatkan pembangunan sektor ekonomi di penempatan penduduk minoriti itu.

-NFN-

Categories
NASIONAL

Tindakan China laksana pembersihan etnik kurangkan 45% populasi Islam Xinjiang

Oleh: AFEEQA AFEERA

SHAH ALAM, 30 JULAI: Pembersihan etnik yang dilakukan kerajaan China terhadap masyarakat Uyghur di wilayah Xinjiang menyebabkan populasi kaum itu berkurang secara drastik sehingga 45 peratus setakat ini.

Naib Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Mohammad Raimi Ab Rahim, berkata antara modus yang digunakan adalah memindahkan rakyat Uyghur dan menggantikannya dengan imigran terdiri daripada kaum Han yang akan menjaga kepentingan republik itu di wilayah berkenaan.

Katanya, populasi etnik Uyghur bukan sahaja dikurangkan, bahkan mereka juga mendapat layanan kerakyatan kelas ketiga dan terpinggir daripada sebarang kemajuan ekonomi.

uyghur1“Dulunya populasi etnik Uyghur ini adalah 95 peratus tetapi sekarang berkurang sehingga 45 peratus, manakala lebihan penduduk dibawa masuk dari luar ke wilayah itu sepanjang 60 tahun lalu.

“Apabila ramainya rakyat daripada etnik Han yang masuk, mereka diberi pekerjaan, bantuan ekonomi dan mendapat layanan kerakyatan kelas pertama, sementara golongan Uyghur ini terus terpinggir,” katanya dalam sesi temubual khas bersama Selangor Kini, baru-baru ini.

Raimi berkata, antara kaedah lain yang dilaksanakan China bagi mengawal populasi Uyghur adalah dengan menghadkan atau mengawal jumlah kelahiran, yang mana setiap keluarga dibenarkan untuk melahirkan satu atau maksimum dua orang anak.

raimi abimKatanya, langkah itu sedikit sebanyak akan mengurangkan kadar kelahiran serta menurunkan populasi etnik berkenaan sehingga ada yang terpaksa menjadi pelarian di Afghanistan, Pakistan dan Turki.

“Bila itu berlaku, maka tercapailah hasrat kerajaan China untuk melakukan pembersihan etnik. Pengusiran dan pembunuhan juga berlaku, tetapi ia tidak berlaku secara terbuka,” katanya.

-NFN-

Categories
NASIONAL

EKSKLUSIF: ABIM kerjasama dengan negara luar dedah penindasan Islam Xinjiang

Oleh : AFEEQA AFEERA

SHAH ALAM, 26 JULAI : Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) terus mempergiatkan usaha dengan menganjurkan kempen penerangan kepada masyarakat umum di seluruh negera berhubung penindasan kerajaan China terhadap umat Islam Uyghur di wilayah Xinjiang.

Naib Presidennya, Mohammad Raimi Ab Rahim, berkata pihaknya turut bekerjasama dengan badan bukan kerajaan (NGO) lain dari Eropah, Amerika Utara, Turki serta negara Islam lain untuk menyebarkan maklumat bagi membela nasib etnik Uyghur.

Beliau berkata, kempen yang bermula kira-kira dua minggu lalu mensasarkan kawasan masjid serta surau sebagai pusat maklumat dan mendapat respon menggalakkan daripada orang ramai.

uyghur1“Kita akan jalankan tanggungjawab untuk terangkan kepada masyarakat dalam fasa pertama kempen ini dan ia akan memakan masa panjang, memerlukan usaha diplomasi, perjanjian serta usaha di peringkat lobi yang lebih tinggi dalam konteks politik antara negara.

“Kita ingin dedahkan serta ceritakan pelbagai bentuk penindasan yang berlaku kepada etnik ini sejak lebih 50 tahun lalu,” katanya kepada Selangor Kini.

Bagaimanapun, Raimi berkata, proses penerangan itu mungkin berdepan sedikit kesukaran jika tidak mendapat kerjasama Persatuan Uyghur di seluruh dunia untuk mengetengahkan isu berkenaan.

Katanya, akses maklumat di China yang terhad sedikit sebanyak menyulitkan usaha pihak luar untuk mendapat maklumat berhubung masyarakat Uyghur.

“Biasanya di negara komunis agak sukar untuk mendapatkan maklumat kerana akses media itu terhad, bahkan berlaku kekangan bahasa antara kaum Uyghur dengan masyarakat luar untuk berkomunikasi. Semua persatuan seluruh dunia yang peka dengan isu perlu mainkan peranan dengan baik,” katanya.

raimi-abimABIM dengan kerjasama Global Peace Mission Malaysia (GPM) turut melancarkan Tabung Prihatin bagi membantu etnik Uyghur termasuk di seluruh dunia.

Etnik Uyghur tidak dibenarkan mengamalkan ajaran Islam antaranya kakitangan kerajaan dan kanak-kanak berumur di bawah 18 tahun dilarang untuk hadir ke masjid untuk mendirikan solat jemaah, larangan memakai tudung serta menyimpan janggut.

Selain itu, mereka turut dilarang daripada berpuasa sebagai justifikasi bagi memelihara kesihatan dan produktiviti kerja.

-NFN-

 

Categories
NASIONAL

LAPORAN KHAS: Umat Islam Xinjiang yang dipenjara tak dibenar jumpa keluarga

Oleh: AFEEQA AFEERA

SHAH ALAM, 18 JULAI: Hukuman terhadap etnik Uyghur beragama Islam di wilayah Xinjiang, China sejak berpuluh-puluh tahun lalu tidak setimpal dengan kesalahan yang didakwa mereka lakukan.

Mendedahkan hal itu, Naib Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Mohammad Raimi Ab Rahim, berkata ada  dipenjara untuk tempoh panjang disebabkan melanggar peraturan hal ehwal agama yang ditetapkan di republik itu.

Katanya, kesalahan itu merujuk kepada amalan berpuasa, bersolat, menutup aurat bagi wanita beragama Islam atau membaca al-Quran di tempat awam.

uyghur1“Yang diambil kira bukan kadar kesalahan tetapi pelanggaran terhadap perintah itu,” katanya padasesi temu bual khas bersama Selangor Kini.

Raimi berkata, kebanyakan ahli keluarga ethnik Uyghur yang dipenjara tidak dibenar bertemu mangsa, bahkan tiada pembelaan dilakukan.

Katanya, pihak berkuasa terdiri daripada polis, tentera dan Majlis Perbandaran Xinjiang masing-masing dikatakan bermain tarik tali berkenaan status mangsa dan saling menuding jari antara satu sama lain.

raimi-abim“Kes itu akan berpanjangan tanpa sesiapa tahu apa yang berlaku kepada mangsa.

“Kalau ahli keluarga buat aduan, pihak berkuasa akan beri jawapan mangsa sudah dibebaskan. Tiada dalam tahanan lagi atau kes masih dalam siasatan dan mereka belum dapat bukti.

“Respon itu tidak membantu mengurangkan kesedihan ahli keluarga mangsa,” katanya.

-NFN-

Categories
NASIONAL

LAPORAN KHAS: Umat Islam Xinjiang ditangkap tanpa sebab, dibunuh secara kejam

Oleh: AFEEQA AFEERA

SHAH ALAM, 17 JULAI: Nasib etnik Uyghur di wilayah Xinjiang, China disifatkan jauh lebih malang, berbanding penduduk di Gaza ekoran kekejaman dan penindasan terhadap mereka yang berlaku hampir setiap hari hanya kerana mengamalkan ajaran Islam.

Exco Undang-undang Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Mohd Khairul Anwar Ismail, berkata pihak berkuasa China sentiasa mengadakan kawalan ketat di kawasan tumpuan seperti masjid, universiti dan sekolah untuk memastikan tiada yang melanggar peraturan ditetapkan kerajaan itu.

Beliau berkata, jika suku kaum itu didapati melanggar peraturan, maka mereka akan dibawa ke balai polis untuk diseksa dan berkemungkinan dibunuh dengan kejam.

_76196776_450960539“Polisi kerajaan China adalah kita tidak akan tahu ke mana mangsa ini dibawa, bahkan kalau dijatuhkan hukuman juga tiada siapa yang akan tahu.

“Kalau kita lihat daripada konteks penindasan, memang berlaku kekejaman di dua wilayah itu cuma bezanya kalau di Xinjiang ia berlaku setiap hari tetapi di Gaza sekurang-kurangnya (penindasan) berlaku pada waktu tertentu.

“Rakyat Gaza boleh hidup dengan aman, cuma ketika Ramadan sahaja berlakunya serangan bom tetapi kalau mengikut laporan daripada ahli misi bantuan di sana, Gaza jauh lebih aman,” katanya dalam sesi temubual khas yang turut dihadiri Naib presiden ABIM, Mohamad Raimi Ab Rahim, bersama Selangor Kini, dekat sini, hari ini.

Khairul berkata, kaum Uyghur itu adakalanya ditangkap tanpa sebab, dicederakan dan dibunuh, manakala kaum wanita pula berdepan risiko dirogol.

ABIM, KhairulBeliau berkata, adakalanya hanya mayat mangsa yang diserahkan semula kepada ahli keluarga, namun pihak berkuasa di sana akan memberi alasan bahawa kematian itu disebabkan sakit ketika berada dalam tahanan.

“Pihak berkuasa di sana kalau sudah bertemu suspek, mereka akan ada lesen untuk bunuh, tangkap dan sebagainya, tetapi kalau seseorang itu bukan suspek, mereka akan rogol.

“Biasanya kalau masuk penjara, mangsa yang ditangkap akan diisytiharkan hilang,” katanya.

Identiti Islam dilarang ditonjolkan di wilayah Xinjiang seperti menyimpan janggut bagi lelaki, dilarang memakai tudung, tidak dibenarkan solat untuk kakitangan kerajaan bawah 18 tahun dan terbaru larangan berpuasa mula dikuatkuasakan terutama di sekolah dan universiti.

China ProtestMalah, masyarakat Islam di sana terus berhadapan tekanan oleh kerajaan China apabila pelajar universiti etnik itu diberi ugutan buang universiti atau hilang peluang kerjaya jika berpuasa.

Kerajaan China mendakwa, kempen melarang puasa itu adalah sebagai usaha menangani apa yang dianggap ‘perbuatan pengganas’ oleh minoriti Muslim Uyghur.

-NFN-

Categories
NASIONAL

China akan hukum media jika lapor isu penindasan masyarakat Islam Xinjiang

Oleh: AFEEQA AFEERA

KUALA LUMPUR, 11 JULAI: Naib Presiden Kongres Uyghur Dunia, Seyit Tumturk mendedahkan wakil media seluruh dunia dilarang daripada membuat lawatan di daerah Xinjiang, China berhubung isu penindasan penduduk Islam di sana.

Beliau berkata, walaupun sudah lebih 60 tahun kejadian itu berlaku, namun adalah mustahil bagi sebarang agensi media untuk membuat liputan berhubung isu berkenaan atau mereka turut berdepan tindakan daripada pihak berkuasa China.

abim“Media langsung tidak dibenarkan untuk melawat kawasan di situ dan mustahil bagi mereka mendapatkan liputan serta memainkan isu berkenaan penindasan kaum muslim.

“Jika kerajaan dapat tahu ada media yang cuba memainkan isu ini, maka mereka akan dihalang, ditangkap dan berkemungkinan diseksa di dalam penjara,” katanya pada sidang media bersama Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), dekat sini, semalam.

Ketika ini, umat Islam di wilayah berkenaan yang majoritinya terdiri daripada etnik Uyghur menghadapi pelbagai cabaran untuk menjalani amalan mereka sebagai umat Islam.

Terkini, penduduk Islam di Xinjiang dilarang untuk menjalani ibadah puasa ketika bulan Ramadan.

China Protest Kejadian ini adalah sebahagian daripada rentetan tragedi kemanusiaan yang dialami umat Islam di Xinjiang sejak sekian lama.

Pada tahun 2009, 184 umat Islam dari etnik Uyghur dibunuh dengan kejam ekoran satu rusuhan kaum yang berpunca daripada prejudis dan syak wasangka etnik China Han ke atas etnik itu.

Selain itu, proses penghakisan budaya dan agama turut dilakukan secara sistematik ke atas etnik Uyghur.

Proses ini berjalan secara intensif semenjak peristiwa Tragedi 11 September, yang mana antara prosesnya membabitkan larangan memakai tudung dan menutup aurat di kalangan golongan wanita serta mengamalkan adat istiadat juga ritual sebagai seorang Muslim terutama di kalangan kanak-kanak.

-NFN-

Categories
NASIONAL

15 kanak-kanak Islam Xinjiang dipenjara kerana baca Al-Quran

Oleh: AFEEQA AFEERA

KUALA LUMPUR, 11 JULAI: Bukan sahaja dikenakan larangan berpuasa di bulan Ramadan, bahkan umat Islam etnik Uyghur di daerah Xinjiang, China turut dihalang daripada mengamalkan perintah agama atau bakal berdepan tindakan daripada pihak berkuasa.

Menceritakan kisah penuh duka yang dialami masyarakat di situ sejak 60 tahun lalu, Naib Presiden Kongres Uyghur Dunia, Seyit Tumturk, berkata apa juga perkara yang berkait dengan kewajipan umat Islam dihalang kerajaan China dan masih berterusan sehingga kini.

Katanya, larangan mengamalkan ajaran Islam berada pada tahap tertinggi, bahkan kerajaan China sering mewar-warkan kepada media bahawa kaum muslim di situ sebagai pengganas.

uighur“Orang muslim di sana hidup sengsara tetapi mereka (pihak berkuasa) memanipulasinya dengan mengatakan bahawa puak muslim melakukan keganasan.

“Perkara ini sudah lama berlaku tetapi baru sekarang diberi perhatian kerana kita semua tahu media antarabangsa tidak selalu memihak kepada golongan muslim,” katanya dalam satu sidang media bersama Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), semalam.

Larangan berpuasa berkenaan dikeluarkan sebagai justifikasi bagi memelihara kesihatan dan produktiviti kerja sementara kakitangan kerajaan dan kanak-kanak berumur di bawah 18 tahun dilarang untuk hadir ke masjid bagi mendirikan solat jemaah selain larangan memakai tudung serta menyimpan janggut.

Bercerita lanjut, Seyit yang juga Presiden Persatuan Kebudayaan dan Solidariti Turkistan Timur, berkata berlaku satu insiden dua tahun lalu apabila 15 orang kanak-kanak ditangkap penguatkuasa China ketika sedang mempelajari al-Quran.

abim1Katanya, kanak-kanak malang itu kemudiannya dipenjara dan diseksa sehingga ada yang meninggal dunia ketika berada dalam tahanan polis.

Beliau berkata, tiada perubahan yang berlaku ke atas nasib etnik Uyghur walaupun Presiden China silih berganti, sebaliknya kaum muslim di sana terus ditentang.

“Kita harapkan pemimpin baru akan membawa polisi positif, tetapi sebaliknya mereka terus menentang kaum muslim, bahkan dalam lawatan terakhir beliau (Presiden) di daerah itu, beliau berjanji untuk menentang pengganas di sana.

“Siapa yang tinggal di sana tiada cara lain untuk hidup kerana kalau mereka berpuasa atau beribadah, mereka akan dipenjara dan diseksa. Kami mahu tunjukkan kepada media keadaan sebenar yang berlaku,” katanya.

-NFN-

Categories
NASIONAL

Dedah sejarah penduduk Islam Xinjiang, ABIM rancang kelilingi Malaysia

Oleh: AFIX REDZUAN

KUALA LUMPUR, 10 JULAI: Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) melahirkan keprihatinan terhadap perintah larangan berpuasa yang dikenakan terhadap umat Islam dari etnik Uyghur di daerah Xinjiang, China.

Larangan berpuasa berkenaan dikeluarkan sebagai justifikasi bagi memelihara kesihatan dan produktiviti kerja sementara kakitangan kerajaan dan kanak-kanak berumur di bawah 18 tahun dilarang untuk hadir ke masjid untuk mendirikan solat jemaah selain larangan memakai tudung dan menyimpan janggut.

133149_muslimbeijingNaib Presiden ABIM, Mohamad Raimi Ab Rahim, berkata larangan dan sekatan terhadap kebebasan asasi untuk mengamalkan agama Islam di kalangan masyarakat Uyghur adalah tidak munasabah dan bercanggah dengan hak asasi mereka.

“Sebagai tanda solidariti, ABIM dengan kerjasama Kongres Uyghur Sedunia sebagai badan induk etnik Uyghur di peringkat global akan mula menggerakkan kempen penerangan kepada umat Islam di Malaysia terhadap sejarah dan perkembangan terkini ektnik berkenaan.

“ABIM yakin hanya melalui kempen penerangan dan informasi yang tepat terhadap masalah penderitaan Uyghur sahaja membolehkan rakyat Malaysia dan komuniti antarabangsa akan dapat membantu nasib etnik ini dengan lebih berkesan,” katanya dalam satu sidang media, di sini, hari ini.

raimi abimKatanya, kempen berkenaan akan bermula hari ini dengan kerjasama beberapa pertubuhan lain selain siri penerangan yang akan dilakukan di masjid dan surau.

ABIM dengan kerjasama Global Peace Mission Malaysia (GPM) turut melancarkan Tabung Prihatin bagi membantu etnik Uyghur termasuk di seluruh dunia.

Sumbangan boleh dibuat atas nama Global Peace Mission, Bank Islam 14-023-01-002922-4 atau Maybank 5642-2161-1602.

-NFN-