Categories
SELANGOR

Abdul Khalid hargai sokongan Presiden PAS kekal jawatan MB

Oleh : AFEEQA AFEERA

SHAH ALAM, 26 JULAI : Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mengucapkan terima kasih atas sokongan dan kepercayaan yang diberikan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang kepadanya untuk terus menerajui pentadbiran Kerajaan Selangor hingga akhir penggal.

Beliau dalam satu kenyataan ringkas di Facebooknya berkata, sokongan itu amat bermakna kerana Selangor selaku negeri maju memerlukan suasana politik yang stabil untuk memastikan urus tadbir berjalan lancar.

“Saya bersama barisan Exco juga akan memastikan slogan Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU 13) iaitu meneruskan kecemerlangan terus diterjemahkan dalam bentuk tindakan,” katanya.

MBAbdul Khalid berkata demikian sebagai respon kepada kenyataan Abdul Hadi yang mempertahankannya sebagai Menteri Besar Selangor berikutan beliau tidak pernah khianat dalam menjalankan amanah kepada rakyat.

Terdahulu, Abdul Hadi berkata, hasil penelitian dan kaji selidik dilakukan beliau sendiri melalui beberapa pihak sama ada dalam PAS mahupun luar, didapati majoriti Selangor masih bersetuju Abdul Khalid dikekalkan sebagai menteri besar, namun bergantung kepada perkenan Sultan Selangor.

Haji Abdul Hadi AwangKatanya, kecemerlangan perkhidmatan Abdul Khalid dalam menerajui Selangor hingga ke tahap yang lebih baik termasuk mempertahankan Selangor pada Pilihan Raya Umum ke-13 tidak boleh dinafikan meskipun terdapat kecelaruan yang ditimbulkan dalam Pakatan Rakyat.

Sebelum ini, Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat yang bermesyuarat, pada 23 Julai lalu, menerima cadangan PKR untuk menggantikan Abdul Khalid dan mencalonkan presidennya Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail untuk mengisi jawatan itu.

Abdul Hadi berkata, alasan pihak yang mahu menukar Menteri Besar Selangor adalah tidak kukuh dan beliau secara peribadi tidak setuju kerana melihat Abdul Khalid tidak terlibat dalam masalah besar.

-NFN-

Leave a Reply

Your email address will not be published.