Categories
BERITA UTAMA

ESSCOM gagal berfungsi, penculikan di Sabah jejas imej negara

Oleh: NORHAYATI UMOR

Isu pencerobohan dan penculikan kawasan perairan Sabah yang terletak di bawah Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) seperti menjadi satu ‘trend’ sejak kebelakangan ini.

Ramai yang tertanya ‘ada apa dan kenapa di Sabah? Persoalan itu sudah tentu menjadi tanda tanya umum selepas beberapa siri kejadian penculikan berlaku di Negeri Di Bawah Bayu tahun ini.

Ramai yang bingung dengan tiga kes penculikan dalam tempoh tiga bulan sejak April lalu di negeri yang dikenali dengan keindahan alam semula jadi dan menjadi tumpuan destinasi pelancongan marin khususnya di kalangan warga asing.

ESSCOMMalah, seorang pengurus syarikat ternakan ikan dalam sangkar iaitu warga China turut dijadikan mangsa selepas diculik di Pulau Baik di Lahad Datu.

Pada November 2013, seorang pelancong Taiwan ditemui mati ditembak dan isterinya diculik sekumpulan lelaki dalam kejadian di Pulau Pom Pom, Semporna.

Umum mengetahui, ESSCOM yang penubuhannya sudah genap setahun menelan perbelanjaan lebih RM200 juta, seolah-olah tidak memberi kesan dan impak terhadap kawalan keselamatan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak juga membuat rombakan untuk memperkukuhkan ESSCOM, pada 8 Julai lalu.

culikRombakan itu dibuat seolah-olah Najib mengakui penubuhan ESSCOM gagal menjalankan berperanan dengan baik.

Namun, selepas pengumuman rombakan itu, seorang anggota polis marin terbunuh, manakala seorang lagi hilang dipercayai diculik sekumpulan pengganas yang menyerang hendap sebuah resort di Pulau Mabul.

Ia diperkuatkan lagi apabila Sabah diisytiharkan perintah berkurung di kawasan perairan pantai timurnya bermula jam enam petang hingga enam pagi berkuatkuasa 19 Julai hingga 2 Ogos ini.

Episod kejadian penculikan yang berlaku di Sabah itu sudah tentu menggugat jumlah kehadiran pelancong ke negara ini memandangkan ia membabitkan aspek keselamatan.

Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz juga mengakui siri penculikan di negeri itu memberi impak negatif terhadap sektor pelancongan ketika persidangan Dewan Rakyat, baru-baru ini .

mole-ESSCOM-1Bukan itu sahaja, Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER) mendedahkan pencapaian pertumbuhan ekonomi bagi industri pelancongan negara menurun ketara ekoran beberapa episod penculikan di negeri itu, pada 22 Julai lalu.

Penurunan itu membimbangkan kerana memberi kesan terhadap industri pelancongan.

Ia sedikit sebanyak mencalar imej Sabah ketika negara mengalu-alukan kedatangan pelancong asing sempena Tahun Melawat Malaysia.

Mengulas siri insiden itu, Ahli Parlimen Batu, Tian Chua menggesa Kerajaan Pusat memberikan perhatian khusus dan mempertingkatkan tahap keselamatan negara ekoran beberapa insiden terkini yang menggugat keyakinan rakyat.

tianBeliau berkata, insiden yang berlaku membuktikan kemerosotan tahap keselamatan negara yang memerlukan Kerajaan Pusat bertindak segera.

Katanya, sudah tiba masanya Kerajaan Pusat melakukan penilaian khusus dan mempunyai perancangan rapi agar insiden itu tidak berulang.

“Bila diumumkan, seakan ia satu rancangan yang begitu disusun rapi, namun terbukti Esscom tidak berkesan.

“Kita perlu cari kelemahan hingga berlaku insiden itu. Insiden ini bukan rompakan pengganas bersenjata canggih kerana hanya kelompok yang tidak begitu pasti, tiada hubungan pengganas antarabangsa.

“Kita khuatir kalau ia tidak diatasi Malaysia terdedah kepada banyak serangan. Sudah sampai waktunya kerajaan perlu bertindak serius kerana ia sudah menjadi ancaman terhadap negara,” katanya ketika dihubungi Selangor Kini.

Tian Chua menyifatkan pihak kerajaan seakan ‘berdegil’ dalam menangani isu itu walaupun Parlimen sudah membahaskan berkenaan ESSCOM.

“Seharusnya ada peningkatan daripada segi tindakan kesediaan untuk menghadapi ancaman keselamatan. Malangnya, kita lihat tiada langkah kecemasan tambahan untuk menjamin keselamatan,” katanya.

Dalam siri insiden itu, menjadi pertikaian kepada semua pihak, bagaimana pintu sempadan negara begitu mudah dibolosi.

Kes itu sepatutnya mencelikkan semua pihak betapa selama ini agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri tidak mempunyai bidang kuasa walaupun diberi peruntukkan ratusan juta ringgit.

Penganalisis jenayah, Kamal Affendi Hashim juga tidak menafikan wujudnya elemen kekeluargaan sehingga mendorong seseorang individu itu menyalurkan maklumat kepada pihak lain.

“Mereka mungkin memberi maklumat dalaman contohnya berkenaan status seseorang individu serta lokasi mereka yang dikehendaki itu. Oleh itu, saya lihat manusia kini sudah menjadi satu komoditi kepada mereka (penculik) untuk mendapatkan sumber kewangan,” katanya.

-NFN-

Leave a Reply

Your email address will not be published.