Categories
NASIONAL

Esscom: Reaksi Zahid Hamidi hanya retorik, mana penyelesaian?

Oleh: AFEEQA AFEERA

SHAH ALAM, 16 JULAI: Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi didakwa sering memberi reaksi bersifat retorik dan politik setiap kali membabitkan isu pencerobohan di perairan Sabah termasuk peranan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) yang dipertikai banyak pihak.

Berhubung insiden membabitkan dua anggota polis baru-baru ini, Zahid sekali lagi mengeluarkan kenyataan retorik apabila menyatakan serangan hendap itu dilakukan kerana penceroboh ingin membalas dendam berikutan peningkatan keselamatan yang dilakukan Esscom.

Zahid-HamidiMenyangkal kenyataan itu, penulis buku politik, Shahbudin Husin, berkata jika benar kawalan keselamatan kian meningkat, maka seharusnya siri penculikan dengan melibatkan kematian tidak sepatutnya berlaku.

Katanya lebih menghairankan apabila Panglima Tentera Laut, Abdul Aziz Jaafar mendedahkan bahawa kapal-kapal yang berkawal di perairan itu tidak dibenarkan menembak penceroboh selain meminta kerajaan segera mengubah peraturan demi memastikan tindakan pengawalan lebih berkesan.

“Walaupun Zahid memberi kebenaran menembak dibolehkan asalkan dapat menghalang penceroboh, persoalan yang timbul ialah apakah sebagai Menteri Dalam Negeri beliau tidak mengetahui bahawa kapal tentera laut yang berkawal di perairan Sabah selama ini tidak dibenarkan melakukan tembakan?

“Jika beliau tidak mengetahuinya, ia menunjukkan satu lagi kelemahannya sebagai menteri yang menjaga keselamatan negara ini.

“Tetapi jika mengetahuinya pula, bagaimana beliau tergamak mengatakan kumpulan penculik itu melakukan serangan kerana ingin membalas dendam berikutan kawalan keselamatan meningkat. Bagaimana mahu dikata kawalan keselamatan meningkat sedangkan menembak pun tidak dibenarkan?” soalnya.

Mengulas lanjut, Shahbudin berkata amaran Zahid yang meminta supaya media sosial tidak memperlekeh usaha pasukan keselamatan mengawal perairan Sabah juga adalah tidak wajar.

mole-ESSCOM-1Katanya kenyataan tidak mantap serta kekurangan kewibawaan oleh Zahid sendiri akhirnya mengundang perlekehan itu berikutan kelemahan pasukan keselamatan sendiri.

“Meskipun Zahid berjaya melonjakkan namanya sebagai Menteri Dalam Negeri jauh lebih baik daripada penyandang sebelumnya, namun hakikatnya semua itu hanyalah pementasan sementara sahaja.

“Jika sebelum pemilihan Umno suaranya begitu lantang menentang penghapusan Ordinan Darurat dan penggantian Akta Hasutan dengan undang-undang baru, di manakah suara Zahid sekarang ini?

“Barangkali jika pemilihan Umno diadakan setahun sekali, mungkin pula media tidak cukup ruangan untuk memuatkan kenyataan dan kegarangannya mengenai pelbagai isu yang menyangkut hal-hal berkaitan Melayu terutamanya,” katanya lagi.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.