Categories
NASIONAL

Gelandangan: “Kami menjijikan kamu? Terimalah balasan Allah nanti”

Oleh: NAZLI IBRAHIM

KUALA LUMPUR, 5 JUL: Golongan gelandangan di Kuala Lumpur menyifatkan langkah Kementerian Wilayah Persekutuan Dan Kesejahteraan Bandar yang mahu mengenakan denda kepada pihak yang menghulurkan sumbangan kepada golongan itu dan penerima sumbangan adalah tindakan tidak berperikemanusiaan.

Salah seorang gelandangan yang ditemui Selangor Kini di Jalan Tunku Abd Rahman, di sini ,yang cuma mahu dikenali sebagai Pak Long, 68, percaya tindakan itu diambil berikutan menteri di kementerian terbabit, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansorm menganggap golongan yang menjadikan kaki lima Bandaraya Kuala Lumpur itu sebagai menjijikkan.

photo 2-756717“Mungkin dia rasa orang seperti kami menjijikkan, sedangkan kami tidak mencuri, tidak buat maksiat, bahkan ramai di antara kami yang bekerja. Pak Long sendiri bekerja jaga parkir dan tak paksa orang mahu bayar atau tidak. Kalau tak bayar pun Pak Long tetap redha dan senyum pada orang itu.

“Orang kaya seperti dia jangan angkuh. Balasan bukan di akhirat sahaja. Kita hidup lagi Allah dah berikan balasan atas setiap apa yang kita lakukan tak kira walaupun menteri. Kita tak akan berkuasa selamanya dan takkan mampu menongkat langit.

“Sekarang, dia buat macam ini tetapi silap hari bulan agaknya masa nak pilihan raya nanti dia benarkan semula,” katanya yang berasal dari Melaka itu.

Pak Long mula tinggal di jalanan selepas menghadapi tekanan hidup apabila kehilangan insan tersayang iaitu isteri dan empat anaknya dalam satu kemalangan jalan raya yang tragis di Melaka hampir dua tahun lalu.

pengemisSelepas kehilangan semua anggota keluarganya, Pak Long sering dilihat tidur di pusara isteri dan anaknya akibat tekanan perasaan yang melampau sehingga menyebabkan segelintir penduduk kampung menganggapnya gila.

Pak Long berkata, setiap kali berada di rumahnya, ingatan dan bayangan orang tersayang sentiasa wujud menyebabkan dia sentiasa berada di dalam kesedihan.

Kira-kira hampir sebulan selepas itu, beliau mengambil keputusan berhijrah ke Kuala Lumpur akibat tidak lagi mampu menanggung perasaan rindunya kepada arwah isteri dan anaknya.

-NFN-

Leave a Reply

Your email address will not be published.