Categories
NASIONAL

Kerajaan BN digesa hentikan tindas warga miskin kota

Oleh: LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 8 JULAI: Kerajaan Pusat digesa untuk menghentikan segera segala bentuk penindasan terhadap golongan warga miskin kota di negara ini.

Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah berkata sejak wujudnya Akta Orang Papa 1977, kerajaan berkuasa menangkap dan menahan golongan ini di pusat pemulihan secara paksa.

Nurul-IzzahKatanya, Ops Qaseh yang baru dilancarkan juga harus segera dihentikan kerana ia tidak banyak beza dengan polisi operasi sebelum ini terhadap warga miskin kota.

“Akta Orang Papa juga tidak kurang seperti Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang menahan orang tanpa perbicaraan dan sebagainya.

“Ini sama sekali bukan sistem yang berperikemanusiaan untuk menyelamat, memulih dan menjaga warga miskin kota tetapi tidak ubah seperti dasar menindas yang dilakukan penjajah British dahulu,” katanya dalam satu kenyataan.

Pada 11 Jun lepas, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rohani Abdul Karim mengumumkan Ops Qaseh akan dimulakan Julai ini bagi menangani isu warga miskin kota di sekitar ibu negara.

gelandanganAwal minggu lepas pula, Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor mengeluarkan kenyataan peminta dan pemberi sedekah akan didenda kononnya sebagai usaha mengurangkan budaya meminta sedekah.

Senada dengan Izzah, aktivis, Hishamuddin Rais berkata Kerajaan Pusat perlu mendekati warga miskin kota dalam usaha mengenalpasti keperluan dan kehendak mereka.

“Sebarang akta atau dasar berkenaan isu warga miskin kota tidak patut dilaksanakan sebelum perbincangan diadakan dengan mereka.

“Jangan mencari jalan mudah dengan menjenayahkan warga miskin kota kerana hukuman bukan penyelesaian,” katanya dalam satu sidang media di Kuala Lumpur.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.