Categories
SELANGOR

MPK sahkan Jalan Sri Damak 22, Taman Sri Andalas kawasan denggi tidak terkawal

KLANG, 24 JULAI: Daerah Klang menduduki tangga ketiga membabitkan kes demam denggi di Selangor sehingga Jun lalu, manakala di peringkat Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) pula, Majlis Perbandaran Klang (MPK) berada di tangga keempat daripada tujuh PBT negeri itu.

Kedudukan itu berada dalam keadaan membimbangkan apabila statistik menunjukkan lima kematian direkodkan bermula Januari hingga Jun tahun ini.

Sumber Jabatan Kesihatan MPK memberitahu, dalam tempoh enam bulan bermula Januari hingga Jun lalu, tiga lelaki dan dua wanita disahkan meninggal dunia akibat wabak denggi.

klang editSemua mangsa berusia lingkungan sembilan hingga 52 tahun dan tiga daripadanya meninggal dunia pada awal Februari lalu, manakala dua lagi pada Mei dan Jun.

Berbeza dengan tahun lalu, hanya satu kematian direkodkan di daerah itu yang membabitkan seorang lelaki berusia 48 tahun yang beralamat di Taman Mewah, Batu Belah.

Berikutan itu, Jun lalu beberapa lokasi diberi tumpuan sebagai kawasan ‘hot spot’ yang membabitkan kawasan Klang Selatan dan Klang Utara.

Di kawasan Klang Selatan, lokasi yang terbabit adalah Taman Mesra, Jalan Serampang, Taman Radzi, Bandar Bukit Tinggi, Taman Sentosa, Taman Maznah, Bandar Puteri, Taman Bukit Jati dan beberapa kawasan lagi.

AedesBagi Klang Utara pula, kawasan dikenalpasti adalah Pangsapuri Bukit Kuda, Kampung Batu Belah, Bukit Raja, Bandar Baru Klang, Jalan Meru, Jalan Pekan Baru, Jalan Prai, Apartmen Pelangi Court, Jalan Alor Star, Lebuh Pulai Pinang dan Jalan Kangar.

Sementara itu, Yang Dipertua MPK, Datuk Mohammad Yacob, berkata 2,217 kes membabitkan wabak itu dilaporkan, pada tahun lalu.

“Kes berkenaan meningkat kira-kira sekali ganda dalam tempoh sebulan bagi tahun ini. Keadaan ini amat merisaukan saya dan seluruh penduduk daerah ini.

“Bagi Januari tahun ini, 661 kes direkodkan, Februari (1393), Mac (2260), April (2758), Mei (3299) dan Jun (3992),” katanya yang memetik Sinar Harian.

MPKBeliau berkata, Jalan Sri Damak 22, Taman Sri Andalas diklasifikasikan sebagai kawasan wabak tidak terkawal.

“Ia dikategorikan demikian memandangkan kawasan itu tetap berlarutan dihantui wabak denggi walaupun pelbagai langkah pencegahan sudah dilakukan pihak berkuasa.

“Jadi, saya minta orang ramai memberikan kerjasama kepada pihak berkuasa dengan menghapuskan tempat pembiakan jentik-jentik,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published.