Categories
AGENDA NASIONAL

Pesakit pusat nilai Covid-19 Sri Andalas terkawal

SHAH ALAM, 16 JULAI: Pusat penilaian Covid-19 (CAC) daerah Klang di Dewan Taman Sri Andalas terkawal berikutan penurunan kehadiran pesakit berbanding ketika hari pertama dibuka pada Isnin lalu.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Sungai Kandis Mohd Zawawi Ahmad Mughni berkata berdasarkan pemerhatian bilangan pesakit hanya ramai waktu pagi namun lengang pada tengah hari dan petang.

“Kerjasama pihak berkuasa melibatkan MPK (Majlis Perbandaran Klang), Rela (Jabatan Sukarelawan Malaysia) dan polis memastikan keadaan di CAC terkawal sejak Selasa sehingga ke hari ini.

“Pemantauan dilakukan bagi memastikan isu kesesakan pesakit tidak berulang namun jika bilangan menunjukkan peningkatan pada setiap hari, CAC ini akan dipindahkan,” katanya kepada SelangorKini.

Pada 13 Julai, Pengarah Kesihatan Selangor Datuk Dr Sha’ari Ngadiman berkata seramai 1,900 orang hadir ke CAC berkenaan pada Isnin lalu melepasi kapasiti 1,000 pesakit sehari.

CAC ditubuhkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pada akhir Januari lalu bagi menilai pesakit sama ada kekal dikuarantin di rumah atau perlu dibawa ke Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19. Jika perlu rawatan lanjut, pesakit dirujuk ke hospital.

CAC negeri ini diuruskan Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) dengan dibantu pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi melancarkan operasi.

 

 

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Penduduk Andalas berisiko rendah dijangkiti wabak dari CAC

SHAH ALAM, 16 JULAI: Risiko jangkitan Covid-19 secara aerosol (bawaan udara) kepada penduduk Taman Sri Andalas, Klang, dekat sini susulan pengoperasian Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) di Dewan Sukan Klang Taman Sri Andalas adalah sangat rendah.

Pejabat Kesihatan Daerah Klang (PKDK) menerusi hantaran di Facebook memaklumkan ia berikutan jarak antara dewan ke rumah terdekat adalah melebihi dua meter dan risiko jangkitan daripada pesakit yang beratur kepada komuniti juga adalah minimum kerana pesakit berada di luar bangunan yang mana kepekatan zarah virus adalah rendah disebabkan pengudaraan yang baik.

PKDK turut menjelaskan pemilihan Dewan Sukan Klang Taman Sri Andalas sebagai CAC adalah kerana lokasi fasiliti berkenaan berhampiran dengan hospital iaitu dalam jarak satu kilometer dan memudahkan ambulans menghantar kes Covid-19 kategori empat serta lima ke fasiliti itu untuk rawatan lanjut.

“Dewan Sukan Klang Taman Sri Andalas ini juga bersaiz besar dan memenuhi keperluan CAC termasuk ruang pendaftaran, penilaian doktor, pemotongan gelang dan borang kuarantin, katil pemerhatian serta rawatan yang dilengkapi tong bekalan oksigen,” menurut hantaran itu.

Sebelum ini media melaporkan pembukaan CAC di dewan tersebut mendapat bantahan daripada penduduk setempat yang menyuarakan kebimbangan kemungkinan akan berlaku peningkatan kes Covid-19 di kawasan tempat tinggal mereka.

-BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Sekatan jalan raya di Bukit Tinggi, Taman Sri Andalas

SHAH ALAM, 8 OKT: Mana-mana individu yang ingin mengadakan perjalanan keluar atau masuk ke kawasan Bukit Tinggi dan Taman Sri Andalas, Klang perlu memohon surat kebenaran daripada polis.

Ketua Polis Dearah Klang Selatan, ASP Shamsul Amar Ramli berkata pihaknya akan mengadakan sekatan jalan raya di kawasan terbabit semasa pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat pada 9 Oktober ini.

Berikut kenyataan penuh:

Lanjutan dari Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang akan berkuat kuasa pada 9 Oktober 2020, Polis Klang Selatan akan mengadakan sekatan jalan raya dan penutupan jalan seperti berikut:-

Bukit Tinggi, Klang

Sekatan jalan raya

– Persiaran Pegaga (Berhadapan Restoran Subaidah)
– Jalan Kim Chuan (Berhadapan 99 Speedmart)

Penutupan jalan

– Jalan Batu Unjur 9
– Jalan masuk berhadapan kedai elektrik Onking Chain-Store (Malaysia) Sdn. Bhd
– Lorong masuk berhadapan Kedai Motosikal Wisfatt

Taman Sri Andalas, Klang

Sekatan jalan raya

– Persimpangan masuk dan keluar Jalan Tun Dr. Ismail

Penutupan jalan

– Berhadapan Masjid Ar Rahimiah
– Jalan Sri Siantan
– Jalan Sri Siantan 41
– Jalan Sri Damak 53

Kebenaran rentas daerah

Orang ramai yang ingin keluar dan masuk ke kawasan Bukit Tinggi (Bayu Perdana, Flat Sri Angkasa, Apartment Vista Bayu dan Bayu Villa) dan Taman Sri Andalas dinasihatkan untuk mendapatkan surat kebenaran dari Polis Diraja Malaysia (Balai polis bergerak disediakan di dua lokasi tersebut).

Tiada keperluan surat kebenaran atau permit khas bagi tujuan keluar atau masuk ke lain-lain kawasan di daerah Klang setakat ini (tertakluk kepada perubahan semasa).

Masyarakat dinasihatkan agar sentiasa mematuhi PKPB. Tindakan kompaun akan dikenakan sekiranya terdapat ketidakpatuhan kepada SOP PKPB. Sila hubungi Bilik Gerakan Op COVID-19 di talian 03-33762400 sekiranya ada sebarang pertanyaan atau aduan

 

Categories
SELANGOR

MPK sahkan Jalan Sri Damak 22, Taman Sri Andalas kawasan denggi tidak terkawal

KLANG, 24 JULAI: Daerah Klang menduduki tangga ketiga membabitkan kes demam denggi di Selangor sehingga Jun lalu, manakala di peringkat Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) pula, Majlis Perbandaran Klang (MPK) berada di tangga keempat daripada tujuh PBT negeri itu.

Kedudukan itu berada dalam keadaan membimbangkan apabila statistik menunjukkan lima kematian direkodkan bermula Januari hingga Jun tahun ini.

Sumber Jabatan Kesihatan MPK memberitahu, dalam tempoh enam bulan bermula Januari hingga Jun lalu, tiga lelaki dan dua wanita disahkan meninggal dunia akibat wabak denggi.

klang editSemua mangsa berusia lingkungan sembilan hingga 52 tahun dan tiga daripadanya meninggal dunia pada awal Februari lalu, manakala dua lagi pada Mei dan Jun.

Berbeza dengan tahun lalu, hanya satu kematian direkodkan di daerah itu yang membabitkan seorang lelaki berusia 48 tahun yang beralamat di Taman Mewah, Batu Belah.

Berikutan itu, Jun lalu beberapa lokasi diberi tumpuan sebagai kawasan ‘hot spot’ yang membabitkan kawasan Klang Selatan dan Klang Utara.

Di kawasan Klang Selatan, lokasi yang terbabit adalah Taman Mesra, Jalan Serampang, Taman Radzi, Bandar Bukit Tinggi, Taman Sentosa, Taman Maznah, Bandar Puteri, Taman Bukit Jati dan beberapa kawasan lagi.

AedesBagi Klang Utara pula, kawasan dikenalpasti adalah Pangsapuri Bukit Kuda, Kampung Batu Belah, Bukit Raja, Bandar Baru Klang, Jalan Meru, Jalan Pekan Baru, Jalan Prai, Apartmen Pelangi Court, Jalan Alor Star, Lebuh Pulai Pinang dan Jalan Kangar.

Sementara itu, Yang Dipertua MPK, Datuk Mohammad Yacob, berkata 2,217 kes membabitkan wabak itu dilaporkan, pada tahun lalu.

“Kes berkenaan meningkat kira-kira sekali ganda dalam tempoh sebulan bagi tahun ini. Keadaan ini amat merisaukan saya dan seluruh penduduk daerah ini.

“Bagi Januari tahun ini, 661 kes direkodkan, Februari (1393), Mac (2260), April (2758), Mei (3299) dan Jun (3992),” katanya yang memetik Sinar Harian.

MPKBeliau berkata, Jalan Sri Damak 22, Taman Sri Andalas diklasifikasikan sebagai kawasan wabak tidak terkawal.

“Ia dikategorikan demikian memandangkan kawasan itu tetap berlarutan dihantui wabak denggi walaupun pelbagai langkah pencegahan sudah dilakukan pihak berkuasa.

“Jadi, saya minta orang ramai memberikan kerjasama kepada pihak berkuasa dengan menghapuskan tempat pembiakan jentik-jentik,” katanya.

Categories
NASIONAL

Operasi tembak gagak di Klang

gagak 1

KLANG 28 OKT : Majlis Perbandaran Klang (MPK) menjalankan operasi menembak gagak bagi membanteras aktiviti haiwan liar itu yang semakin berleluasa di daerah Klang, baru-baru ini.

Setiausaha MPK, Ehsan Mukri, berkata operasi seawal jam 7 pagi yang disertai kira-kira 151 peserta itu dilakukan hasil aduan orang ramai sekitar daerah berkenaan.

Beliau berkata, beberapa lokasi seperti Kapar, Taman Sri Sentosa dan Taman Sri Andalas adalah kawasan tumpuan gagak dan menjadi sasaran utama peserta operasi berkenaan.

“Setiap ekor gagak dibayar bounti sebanyak RM3 dan acara yang diadakan dapat mengawal populasi haiwan yang terkenal dengan masalah kesihatan itu,” katanya.

Katanya, hasil daripada operasi itu, sejumlah 6,874 gagak berjaya ditembak, sekali gus mencatatkan peningkatan berbanding tahun lalu.

gagak 2

Ehsan berkata, penyertaan daripada penembak juga adalah konsisten setiap tahun dan membantu MPK menangani masalah yang berpunca daripada haiwan itu.

“Pihak penganjur ada menerima cadangan daripada peserta supaya program ini diadakan sebanyak dua kali setahun memandangkan sambutan yang menggalakkan, di samping dapat mengurangkan populasi haiwan berkenaan kelak,” katanya.

-NFN-