Categories
SELANGOR

MPSJ bantu 720 fakir miskin rai Aidilfitri

Oleh: NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 22 JULAI: Seramai 720 orang fakir miskin dan golongan orang kurang upaya (OKU) serta ibu tunggal menerima RM200 sempena sambutan Aidilfitri yang akan disambut tidak lama lagi.

Sumbangan dalam bentuk wang tunai itu disumbangkan oleh Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ).

mpsjMajlis Penyampaian Sumbangan Program Kesejahteraan Bandar (PKMB) MPSJ 2014 merupakan inisiatif MPSJ untuk membantu golongan yang memerlukan.

Majlis penyampaian sumbangan itu disampaikan oleh Exco Kebajikan dan Hal Ehwal Wanita, Rodziah Ismail.

Hadir sama Yang Dipertua MPSJ, Datuk Asmawi Kasbi dan Timbalannya, Abdullah Marjunid.

Dalam kenyataan kepada Selangor Kini, Timbalan Pengarah Korporat MPSJ, Muhammad Azli Miswan berkata setiap tahun MPSJ menyediakan peruntukan RM300,000 untuk tujuan Program Kesejahteraan Masyarakat Bandar (PKMB) MPSJ itu.

“Tahun ini, penyampaian sumbangan bagi tahun 2014 diberikan dalam bentuk wang tunai sahaja iaitu sebanyak RM200 kepada setiap penerima. Seramai 30 penerima bagi setiap JKP dengan jumlah keseluruhan penerima adalah 720 orang dengan jumlah keseluruhan sumbangan sebanyak RM144,000,” katanya.

Beliau berkata sumbangan terbabit adalah bagi membantu golongan kurang berkemampuan selaras dengan konsep kemasyarakatan setempat.

“Kita juga mahu mengeratkan dan memperkukuhkan hubungan baik yang sedia ada terjalin di antara MPSJ, Jawatankuasa Penduduk (JKP) dan penduduk serta kerjasama dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat,” katanya.

Selain itu, sumbangan hamper dan baucer turut diberikan kepada lima orang wakil anak yatim daripada Sekolah Agama Pintar Al-Amin dan Sekolah Menengah Maahad Sains Tahfiz

Program itu juga mendapat kerjasama Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) daripada tiga agensi iaitu Giant Subang Jaya, Sunway Pyramid, Bandar Sunway dan F&N Beverages Marketing Sdn.Bhd.

Katanya, MPSJ berharap program seumpama ini dapat diteruskan di masa akan datang dan mendapat kerjasama serta sokongan padu daripada semua pihak terutama sektor korporat dan swasta.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.