Categories
SELANGOR

Paip dasar laut SYABAS rosak lagi, Pulau Ketam putus bekalan air

Oleh: NAEEM RAFFI

SHAH ALAM, 15 JULAI: Seluruh Pulau Ketam dan Sungai Lima kembali terputus bekalan air apabila paip dasar laut yang membekalkan air terawat ke wilayah tersebut sekali lagi mengalami kerosakan.

Pengurus Besar, Jabatan Komunikasi Korporat & Hal Ehwal Awam Syabas, Priscilla Alfred, berkata kejadian itu berpunca daripada kerja penggerudian dasar laut oleh pihak ketiga, pada petang 12 Julai lalu.

“Ketika ujian terhadap penyaluran semula bekalan air ke Pulau Ketam dan Sungai Limau dilakukan oleh SYABAS, terdapat kerosakan baru pada jajaran paip yang sama di lokasi berlainan, sekali lagi ekoran kerja penggerudian dasar laut yang sama oleh pihak ketiga.

DSC_6241“Sehubungan itu, bekalan air kepada pengguna belum dapat pulihkan semula. Pada masa ini, kerja mengesan kebocoran sedang dilakukan oleh penyelam bertauliah lantikan SYABAS sebelum pembaikan kerosakan dapat dilaksanakan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Bermula 21 Jun lalu, seluruh Pulau Ketam dan Sungai Lima terputus bekalan air tidak berjadual ekoran kejadian paip pecah di dasar laut dengan jajaran paip sepanjang 18 kilometer.

Kerja penyambungan semula jajaran paip berjaya disiap sepenuhnya dengan penyambungan paip terakhir disempurnakan, pada 11 Julai lalu sebelum ia kembali rosak akibat kerja penggerudian dasar laut oleh pihak ketiga.

Sekurang-kurangnya 1,184 akaun pengguna membabitkan 5,921 pengguna di dua kawasan itu terputus membekalkan air bersih apabila paip bersaiz 450mm, jenis High Density Polyethylene (HDPE) itu pecah.

DSC_6319“SYABAS akan membuat laporan kepada pihak berkuasa termasuk Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) untuk tindakan terhadap pihak ketiga itu di atas kesalahan di bawah Seksyen 122, Akta Industri Perkhidmatan Air 2006,” katanya.

Bagi mengurangkan kesulitan pengguna, SYABAS terus mengagihkan bantuan bekalan kecemasan air botol dengan menggunakan bot muatan yang disewa secara khas.

Sehingga kini, 57,500 botol air botol diagihkan kepada penduduk di Kampung Sungai Lima dan Pulau Ketam melalui Pusat Perkhidmatan setempat (PKS) yang diaktifkan di Pulau Ketam dan Sungai Lima.

-NFN-

Leave a Reply

Your email address will not be published.